TANGAN menguis-guis pasir pantai di sisi. Bibir dikemam menahan kegundahan hati sambil mata memandang lurus ke arah permandangan laut biru. Namun, dia tidak fokus kerana lelaki di sebelahnya itu masih kekal dengan pandangan tajam.
Geram sungguh Daniel terhadap Jane. Kalau tentang ugutan Hariz tidak terdengar di telinganya, pasti gadis itu nekad untuk berhenti kerja. Mujurlah dia tiba lebih awal ke kampung gadis itu selepas Hariz terlepas bicara mengenai perilaku kasarnya. Jika tidak, sampai bila-bila pun dia terselindung daripada persengketaan Hariz dan Jane.
Kali ini, Daniel telah melancarkan perang dingin dengan sepupunya itu. Enak sekali mengambil keputusan tanpa mengira perasaannya. Tidak mengapa, yang penting Hariz sedar akan sikapnya yang melampau itu.
Jane masih diam, dan Daniel mula tidak sabar.
“Balik KL esok. Bawak mak awak sekali. Pasal Kingen tu, saya ikut awak buat laporan polis, biar dia tak ganggu lagi.”
“Tapi dia takde kat rumah tu. Keluarga dia dah lama pindah. Mana kita nak cari dia?”
“Awak pernah jumpa dia kan?”
Jane angguk.
“Lagi mudah. Sekarang zaman dah canggih. Gambar kabur? Describelah macam mana pun. Semua boleh dilukis, edit sampai jadi muka jahanam tu.”
“Tapi...”
“Takde tapi-tapi... Kita serahkan semuanya pada pihak polis. Yang penting sekarang keselamatan awak dan family awak,” tegas Daniel.
Kedengaran keluhan tipis oleh Jane. “Saya tak nak kaitkan awak lagi, Daniel. Hari tu syarikat awak hampir muflis, kali ini apa lagi yang Kingen boleh buat? Saya tak nak karier awak hancur disebabkan saya. Sebab kisah dendam yang tak berkesudahan ni.”
“Sebab syarikat saya hampir muflislah saya nak tangkap penjahat tu. Dia dah babitkan saya, takkan saya nak berdiam diri? Sejak hari kena sabotaj, saya dah lancar perang padanya. Saya pun berharap dia muncul sekarang dan bukanlah lagi jadi pengecut hanya tahu buat kerja sembunyi.”
“Dia bahaya Daniel. Dia boleh buat apa sahaja. Silap hari bulan nyawa pun boleh melayang!” Jane mula risau.
“Sebab dia bahayalah kita kena tamatkan semua ni.” Kata-kata Daniel membuatkan Jane terdiam. Sememangnya itu adalah keinginannya.
Melihatkan Jane masih bisu, Daniel mengambil peluang untuk bertenang. Sebenarnya, kedatangannya ke Terengganu bukan semata-mata untuk menyekat Jane daripada berhenti kerja, bukan sekadar untuk bertanya khabar keadaan gadis itu yang telah senyap selama beberapa hari tetapi dia hendak meluahkan sesuatu yang bakal melakukan perubahan besar dalam hidupnya. Dan dia rasa sekarang adalah waktunya.
Daniel memandang Jane dengan pandangan yang redup. “Jane...” panggilnya lembut.
Jane menoleh ke arah Daniel dan tatkala itu hatinya membatu. Tubuh mengeras. Terkejut dengan paparan di depan mata.
Sebentuk cincin emas belah rotan bersemayam indah di atas kotak baldunya. Perlahan-lahan mata memandang wajah Daniel yang sedang tersenyum manis dan nampak ikhlas. ‘Mengapa?’ sudah terbentuk di hati dan menanti perkataan Daniel tentang perbuatannya.
“Kita kahwin. Saya dan awak, kita kahwin,” ucap Daniel tenang walhal hati sedang gemuruh.
Luahan Daniel memaku Jane dengan pukulan gendang jantung bertalu-talu. Terpaku sehingga tiada kata yang mampu terluah bersama mata yang mula bergenang dengan air jernih. Orang yang dia cintai sedang melamarnya sekarang. Boleh gila dibuatnya. Tapi, dia dan Daniel berbeza.
“Saya... tak boleh,” ucap Jane lantas berdiri untuk pulang ke rumah. Hati berdebar. Daniel sudah hilang akal barang kali? Lupakah lelaki itu akan status dirinya? Walaupun lelaki lain juga belum tentu akan menerima masa silamnya inikan pula Daniel yang memang jelas sedia tahu? Lupakah Daniel tentang itu?
YOU ARE READING
| C🐧|TOGETHER
Romance○BLURB○ Takdir yang tertulis tidak seharusnya dipersalahkan... Di usianya yang begitu muda, Jane meninggalkan keluarga jauh di kampung dan menjanjikan kebahagiaan harta. Gaji yang lumayan dan taraf hidup yang mewah sememangnya menarik minatnya untuk...