PERUT berkeroncong sudah minta diisi. Jane gosok perutnya memujuk untuk bertahan sambil tersengih kekok kepada enam orang perempuan di hadapannya.
Rasanya, sudah berejam rancangan mereka memancing orang di sebalik alat perakam suara itu tetapi usahkan nasi, roti pun tidak menjengah masuk dari sebalik pintu yang berkunci.
Alasan hendak kencing juga dibiar sepi oleh orang-orang yang sepatutnya. Sungguh kejam mereka yang menggurung tahanan.
“Lapar kan?” tanya Jane kepada semua yang ada. Mereka yang dilihat, semakin tidak berdaya.
Ada yang tidur sekejap lepas itu, bangun semula. Ada yang merenung dinding. Sudah bermacam posisi telah dia lihat. Sungguh, dia kasihan. Pernah juga dia tarik dan pulas tombol pintu tetapi hampa tidak berjaya dibuka.
Angela yang masih sedikit bertenaga mengangguk lemah.
Jane lepas keluhan kesal. Kalaulah dia seorang yang kuat untuk tolong mereka semua, pasti mereka tidak berlama di dalam bilik itu.
Mata termenung lurus ke arah sebuah meja sisi di sebelah katil. Lama meja sisi itu tenggelam dalam tatapannya. Meja yang diperbuat daripada kayu keras. Kalau hentak kepala orang, boleh pengsan.
Renung punya renung, Jane tak sengaja timbul idea yang memberi harapan.
Meja sisi itu kemudian dia rapati. Ada dua laci yang boleh ditarik keluar. Jane senyum sekejap. Dia tahu apa nak buat. Memang buat masa ini, apa-apa sahaja alat yang ada boleh digunakan untuk kepentingan diri.
Survival kit yang DIY (do it yourself). Lebih kurang macam itulah konsepnya.
Terus laci meja sisi itu ditarik dan diangkat. Tindakannya yang mula menjadi tumpuan enam orang di dalam bilik itu dibiarkan.
Langkah terus dilajukan ke pintu. Tidak menunggu apa-apa isyarat, laci meja itu mula menghentak kuat tombol pintu.
Jane lakukan berkali-kali. Kelentang-kelenting bunyinya. Selagi tombol itu tidak pecah atau terlerai dari pintu selagi itu dia cuba.
Dan... Dia berjaya!
Jane tersenyum puas melihat tombol pintu itu sudah terbaring di atas lantai. Tidak dia sedari bahawa keenam-enam insan yang bersama di dalam bilik itu telah pun tegak di belakangnya. Mereka semua pamer rasa syukur yang amat atas usaha Jane.
Angela menepuk lembut bahu Jane sambil menangis membuatkan gadis itu terus berpaling memandang mereka semua. Jane sudah tentu rasa senang hati.
“Jom keluar!” kata Jane girang.
Mereka berenam mengangguk.
Jane buka pintu seluasnya. Mula memandang suasana di luar. Namun, apa yang terbentang di depan mata bukanlah seperti yang disangkakan.
Di luar bilik tiada pengawal yang menjaga seperti kebiasaannya penculik yang menjaga tahanannya. Tetapi apa yang lebih teruk, bilik mereka sekarang berhadapan dengan bilik lain. Di sebelahnya juga ada bilik lain. Lagi dan lagi bilik dengan kedudukan yang sejajar.
Jane hitung bilik-bilik yang ada. Kesemuanya dalam 20 buah bilik dan masing-masing bernombor. Sepuluh bilik berhadapan dengan sepuluh bilik yang lain. Ada lorong di tengahnya.
Jane pandang rakan setahanannya tadi dengan riak aneh. “Tempat apa ni? Kita kat mana?”
Mereka yang lain angkat bahu gaya tidak tahu. Ada yang menggeleng kepala juga.
Suasana lorong tengah malap dan suram. Jarak lantai dengan bumbung juga sempit. Seolah mereka berada di dalam sebuah bekas yang kedap udara.
Jane keresahan. Mereka yang lain turut serta merasainya.
YOU ARE READING
| C🐧|TOGETHER
Romance○BLURB○ Takdir yang tertulis tidak seharusnya dipersalahkan... Di usianya yang begitu muda, Jane meninggalkan keluarga jauh di kampung dan menjanjikan kebahagiaan harta. Gaji yang lumayan dan taraf hidup yang mewah sememangnya menarik minatnya untuk...