JANE mendongak ke atas memandang bangunan tinggi yang tersergam megah di hadapannya. Hari ini merupakan hari pertama dia bekerja di syarikat lelaki itu sebagai tea lady.
Selama di KL dia menyewa bilik di sebuah rumah sewa yang berdekatan. Mujurlah Laila membantunya mencari rumah sewa tersebut dengan harga bilik yang berpatutan. Daniel ada menawarkan diri untuk membantu tetapi Jane menolaknya dengan baik. Cukuplah untuk kali ini. Biarlah dia berdikari pula. Tambahan pula lelaki itu sudah banyak menyumbang.
Dengan langkah Bismillah, kaki menapak masuk ke dalam bangunan tersebut. Sebaik sahaja menjengah ke dalam, bau wangi yang semerbak menenangkan jiwanya. Cukup membuktikan yang syarikat itu mengeluarkan produk yang memiliki haruman bunga, dan seangkatan dengannya.
Jane lakar senyuman manis. Nasib baik dia pernah search tentang syarikat ini jadi tidaklah dia menjadi seorang yang buta ilmu tentang produk penjagaan kulit.
Kini, diri sedang menunggu di hadapan pejabat Daniel. Menurut setiausaha Daniel, Khairul Jamaludin, Daniel ingin berjumpa dengannya. Mahu tidak mahu terpaksalah Jane menunggu dengan lebih lama sedikit kerana Daniel dikatakan masih belum masuk pejabat.
Jane mengeluarkan telefon bimbit. Waktu sudah ke pukul sepuluh pagi tetapi bayang Daniel masih tidak kunjung tiba.
Heningnya pejabat ini memperlihatkan staf-staf menunduk tekun membuat kerja. Adalah sesekali melihat beberapa orang lalu lalang. Ada yang senyum tak kurang juga ada yang tidak perasan akan kehadirannya. Semua nampak fokus.
Dalam suasana sedikit damai itu, datang seorang wanita melangkah anggun mendekati meja setiausaha Daniel itu. Tindak-tanduknya memberi magis beku kepada semua mata yang ada. Terpersona dengan auranya bak puteri raja. Dengan suara yang gemersik disanding bersama senyuman ayu, dia menyapa empunya meja.
“Assalamualaikum...”
Nampak wanita itu sedikit pun tidak kekok untuk berada di pejabat ini. Mungkin tetamu Daniel. Jane hanya mengeras di kedudukan.
“Waalaikumussalam, Miss Alia. Err, Encik Daniel belum masuk lagi,” beritahu Khairul kepada wanita itu. Dia sudah kenal benar dengan si pelawat tersebut. Kalau boleh setiap hari wanita itu ingin berkampung di syarikat Daniel.
“Takpe, saya tinggalkan bekal dia dekat sini ye!” beritahu Alia Annisa dengan senyuman lebar. Mangkuk tingkat yang disangkut di tangan tadi diletakkan di atas meja Khairul.
“Miss, I am sorry tapi Encik Daniel pesan untuk jangan terima lagi. Miss bawak balik semula ya bekal ni.” Khairul senyum hambar dan serba salah hendak menolak lagi. Setiap kali bekal makanan itu tiba setiap kali itu jugalah Daniel memintanya untuk memulangkan kembali.
Senyuman Alia Annisa semakin mengendur. “No! Bekal ini dibuat dengan kasih sayang jadi saya nak dia makan jugak! Dah nak tengah hari pun. Kejap lagi mesti dia lapar, mesti dia nak makan!” jelasnya.
Jane menunduk memandang telefon bimbitnya. Telinga mendengar setiap sketsa itu tetapi apa yang menarik perhatian adalah bekalan yang dibawa serta tuannya juga. Mata mencuri-curi pandang dan tatkala itu hati berbisik.
Sungguh indah ciptaan tuhan yang satu ini. Alur wajah macam pattern Arab. Jane senyum kelat. Semua perempuan yang berdamping dengan Daniel sangat jauh tingkatnya berbanding dengan dirinya. Pakaian yang tersarung di tubuh wanita itu nampak elegan namun masih menutup aurat berbanding dirinya yang berbaju kurung kain kapas. Itupun baju kurung yang diguna semasa menduduki STPM dahulu. Mujurlah masih muat di badan.
Dia akui, adalah sedikit rasa cemburu dengan wanita-wanita yang wujud di samping Daniel namun cepat-cepat akal tersedar. Dia pipit dan Daniel enggang, masakan boleh terbang sekali? Kebaikan lelaki itu, tidak akan sekali-kali dimanfaatkan. Daniel tawarkan kerja pun, hati rasa syukur sangat. Jadi, siapalah dia untuk mengharapkan sesuatu yang lebih antara mereka?
YOU ARE READING
| C🐧|TOGETHER
Romance○BLURB○ Takdir yang tertulis tidak seharusnya dipersalahkan... Di usianya yang begitu muda, Jane meninggalkan keluarga jauh di kampung dan menjanjikan kebahagiaan harta. Gaji yang lumayan dan taraf hidup yang mewah sememangnya menarik minatnya untuk...