♤ BAB 45 ♤

76 4 0
                                    

DANIEL melirik jam di tangan yang menunjukkan ke pukul 2.15 petang. Debaran di hati semakin kencang untuk menyambut kepulangan Jane. Sudah lima belas minit dia berada di situ menanti ketibaan gadis itu.

Di sekelilingnya, sudah ramai dengan wartawan dan pihak berwajib yang bakal memandu arah semua mangsa sebelum dilepaskan ke kediaman masing-masing. Dia menjarakkan diri sedikit daripada wartawan bagi memberi ruang menyelesaikan tugas mereka.

Dia tahu yang dia tidak akan berjumpa terus dengan gadis itu tetapi hatinya ingin melihat sendiri kepulangan Jane. Sebenarnya, jasanya membantu mangsa pemerdagangan manusia itu sengaja disembunyikan. Boleh sahaja dia menyelit dalam kerumunan orang ramai itu untuk memperkenalkan diri sebagai salah seorang penyelamat tetapi dia tidak ingin ada sesiapa yang tahu. Cukup orang-orang yang terlibat sahaja.

Jantung sedikit tersentak apabila terasa bahunya ditepuk lembut dari belakang. Terus dia berpusing untuk melihat pemilik tangan yang menyapanya.

“Korang buat apa dekat sini?” soalnya. Sedikit terkejut dengan kunjungan dua manusia di hadapannya itu.

Hariz dan Eden ketawa sinis.

“Aku datang nak tengok bidadari kau yang dikatakan cantik sangat tu!” kata Eden.

Mendengarkan itu, Daniel mengeluh berat. Wajah Hariz yang sedang tersengih-sengih kekok dijeling. Pasti sedang berasa bersalah kerana sudah membawa Eden sekali. Tidak semena-mena bertambah orang yang tahu tentang Jane.

Sorry bro, aku just bagitahu dia yang kau ke sini je. Tak sangka pulak dia ajak aku datang!” kata Hariz seraya mengaru-garu keningnya yang tidak terasa gatal pun.

“Ye, Niel, aku tak sabar nak tengok perempuan yang dikatakan cantik sangat tu sampai-sampai boleh jentik hati kau yang baru aje putus cinta,” terang Eden seraya menepuk-nepuk lembut bahu Daniel.

Daniel gigit bibir sendiri. “Aku tak kata pun yang aku...”

“Yang kau apa? Yang kau suka dia?”

Hariz agak terkejut mendengar soalan Eden kepada sepupunya itu. Daniel apatah lagi.
Jantung Daniel berdetak laju.

“Aku tunggu dia balik aje. Kau suka buat cerita tak tentu hala!” Tak teratur nadanya. Tangan naik menggosok tengkuk demi melegakan denyutan jantung yang semakin hebat mengepam.

Hariz pandang Daniel dengan pandangan tajam, Eden pula semakin tertawa deras.

Daniel melepaskan keluhan. Susah nak lari daripada menjadi mangsa usikan budak Eden ini. Diam adalah pilihan tepat.

Keadaan kembali tenang selepas Eden habis sisa-sisa ketawanya. Hariz pula masih tidak berubah riak.

“Dia patut sampai pukul berapa?” soal Eden. Serius.

“Kalau tak silap, pukul 2.45 petang lebih kurang,” jawab Daniel.

“Dah tak lama dah.” Eden pandang jam. Lagi beberapa minit.

“Niel, kau nak sambut dia balik aje kan? Lepas ni, kau terus balik rumah kan?” Hariz bersuara serius. Eden juga nampaknya tertarik dengan soalan itu.

Daniel diam sejenak. Berfikir jawapan apa yang sesuai.

“Jangan cakap yang kau nak hantar dia balik?” duga Hariz. Terkelip-kelip mata Eden.

Daniel memandang kedua-dua sahabatnya itu seraya berkata. “Ya. Aku nak hantar dia balik.” Tegas.

Memang dia sudah nekad untuk membawa sendiri Jane pulang ke pangkuan keluarga. Biarpun tiada ikatan tetapi dia sudah terlanjur menjadi penyelamat. Jadi, dia sendiri yang akan pastikan Jane sampai dengan selamat.

| C🐧|TOGETHER Where stories live. Discover now