TAYAR kereta Audi A7 berhenti bergerak. Merasakan, tiada lagi rentak meneruskan perjalanan, Ha-joon bertanya kepada Do-Hyun yang memandu. “Kenapa berhenti? Dah sampai ke?”
“Sudah Tuan. Leng Hor sudah turun,” jawab Do-Hyun sambil menunjukkan sekumpulan manusia yang telah melangkah keluar dari sebuah Toyota Alphard yang terparkir di hadapan mereka.
Kang Ha-joon mula mengangguk dan bersiap sedia.
“Dah sampai ke?” tanya Daniel pula tatkala melihat perilaku Ha-joon. Dia mula menggeliat membetulkan urat-urat di badan. Lenguh sungguh dia. Perjalanan dari China Town ke lokasi Jane yang terletak di kawasan hutan Daegu mengambil masa kira-kira dua jam lebih.
Mereka bertolak dari jam 11 malam lagi. Sepanjang jalan dia tidak rehat mahupun tidur. Hanya fokus pada jalan. Hati sudah tentu sangat risau akan keadaan Jane. Mujurlah gangster itu cepat tahu kawasan Jane. Syukurnya dalam hati.
Ha-joon dan Do-Hyun mengiakan.
Daniel mula membetulkan pakaian di tubuh. Dia mengenakan tshirt dan jaket kulit sahaja berserta seluar jeans. Dalam fikiran sudah mengingat teknik-teknik muai Thainya. Pasti hari ini akan banyak guna tenaga.
Kang Ha-joon pula hanya mengenakan hoodie hitam dan seluar senada. Dia juga telah bersedia.
Mereka berdua akhirnya menapak turun dari kereta mewah Ha-joon. Mata mula meliar sekeliling menggunakan cahaya lampu kereta.
Terdapat dua buah bangunan terbiar terhidang di depan mata. Semak samun memenuhi bangunan tersebut.
Bangunan persis sebuah pusat membeli-belah yang terbengkalai. Tingginya lebih kurang empat aras sahaja. Namun siapa tahu, di dalamnya memang tempat yang sesuai untuk samseng beranak pinak. Atau untuk makhluk halus berkeliaran. Atau juga tempat tahanan penculikan.
Sebanyak lima buah Toyota Alphard telah digunakan untuk membawa orang bawahan Leng Hor yang berjumlah lebih kurang 50 orang ramainya. Sungguh memberi kelebihan kepada mereka bagi menyelamatkan Jane dan juga menumpaskan pihak yang terlibat.
Bahu Ha-joon terasa disentuh dari belakang lantas dia mula berpaling. Dan terus dia kelam kabut untuk menyambut telefon pintar yang telah dilempar oleh Leng Hor. Mujurlah tangannya berjaya menyambut objek itu.
“Kau pergi cari kawan kau tu sampai jumpa. Kalau dah jumpa update aku. Dua orang budak aku akan ikut kau. Aku tunggu kat kawasan ni,” suruh Leng Hor seraya menyandarkan badannya ke sebuah badan Toyota Alphard. Rokok sudah semestinya dikeluarkan dan dihisap.
Ha-joon merengus geram. Cis! Ingatkan dia yang akan ikut, rupanya anak buah dia! Gerutunya dalam hati. Dia kemudian menggesa Daniel yang sedang memandang sekitar. Memeriksa sekeliling. Terus diajaknya Daniel untuk menjejaki Jane mengikut lokasi yang tertera di bangunan pertama.
Baru sahaja beberapa langkah, mereka terhenti. Terpaku kerana terasa angin laju melepasi mata mereka. Angin laju yang memberi bunyi yang berdentum kuat di hujungnya.
Mereka telah diserang hendap dengan tembakan yang datang dari entah mana!
Tembakan itu jelas sebagai amaran. Daniel mengetap rahang menahan rasa, Ha-joon mengenggam penumbuk. Leng Hor membuang putung rokok. Jang Nai sudah bersedia di sisinya. Nampaknya, musuh sudah tahu ketibaan mereka.
Selang beberapa saat, hujan tembakan demi tembakan tiba. Kali ini sudah nampak garis mulanya. Dari dalam kedua-dua bangunan itu! Dan kala itu, sudah ada beberapa anak buah Leng Hor telah tumbang.
“Cari tempat berlindung!” jerit Leng Hor lantang kepada anak buahnya. Mereka semua akhirnya berlari menyelamatkan diri masing-masing ke dalam bangunan pertama memandangkan jaraknya lebih dekat. Daniel dan Ha-joon turut berbuat sama.
YOU ARE READING
| C🐧|TOGETHER
Romance○BLURB○ Takdir yang tertulis tidak seharusnya dipersalahkan... Di usianya yang begitu muda, Jane meninggalkan keluarga jauh di kampung dan menjanjikan kebahagiaan harta. Gaji yang lumayan dan taraf hidup yang mewah sememangnya menarik minatnya untuk...