KASUT heels merah hati bersaiz tiga inci yang terletak kemas di kakinya dilepas laju dan dibiarkan berselerak di hadapan pintu utama apartmen. Jane terhuyung-hayang melangkah ke ruang tamu.
Tubuh direbahkan pula di atas sofa berwarna biru lembut yang nampak masih baru di apartmen perkongsian bersama tiga lagi gadis yang senasib dengannya. Mata kian kabur. Penat.
Tubuh yang tersarung dress sendat paras paha berwarna merah jambu pula dipandang sekilas. Sendat sangat. Langsung tidak melindungi pahanya yang putih gebu.
Perlahan-lahan dia bangun. Tidak bermaya saja lagaknya. Langkah diatur ke ruang dapur pula.
Peti ais dibuka kasar.
Huh tiada apa! Kosong.
Yang tinggal hanya beberapa ketul sosej milik rakan serumahnya. Susu kegemarannya juga sudah habis!
Tangan mula meraba perut yang berkeroncong hebat. Lapar! Mata kemudian dihalakan pada satu botol kaca yang dilihat terisi penuh. Kaku dia di hadapan peti ais itu.
Sunyi.
Akhirnya, tangan mencapai jua botol tersebut dan terus meneguk rakus. Hilang dahaganya. Dia kemudian terduduk lemah. Tangan masih memegang botol namun dia diam mengelamun. Fikiran menerawang jauh.
"Ana, ni ada sedikit duit untuk Ana belanja dekat sana. Ini aje yang mak boleh bagi."
Beberapa keping not bernilai RM50 di atas tapak tangan tua itu, Jane pandang sepi. Air mata mula bergenang. Wanita separuh umur di hadapannya dipandang hiba.
Belum pun dia puas berkasih sayang, sekarang dia harus pergi. Tidak pernah dia berpisah jauh daripada wanita hebat itu seumur 20 tahun hidupnya. Belum pun kaki melangkah keluar dari rumah, hati mula rindu.
"Mak..."
Tangan tua emaknya, Jane raih. Mata redupnya juga dipandang kasih. Kekuatannya bagaikan tenggelam dalam mata kuyu itu. Hilang serta merta. Tidak sanggup rasanya dia melihat pandangan sayu yang dilemparkan kepadanya. Nanar hatinya.
"Ana pergi tak lama..." Jane menahan tangis.
Mendengarkan itu, Puan Salina raih tubuh anaknya erat. Ditepuk-tepuk perlahan belakang bahu anaknya memberi kekuatan yang sudah pun kedengaran esakan yang deras. Dia tersenyum nipis. Namun di hati tak siapa yang tahu. Sedihnya perpisahan ini."Ana, nak... pandang mak."
Kedua-dua tangannya yang hampir dimamah usia memegang lembut pipi Jane yang sudah kebasahan dengan air mata. Senyuman manis diukir di bibirnya yang pucat.
"Nurul Jannah... cantik anak mak ni. Ana dengar cakap mak ya. Mak dengan adik-adik baik-baik aje dekat sini. Jangan beratkan fikiran Ana dengan keadaan kami. Jadi, Ana jangan nangis! Ana kena ingat yang pemergian Ana membawa sekali restu mak. Doa mak sentiasa pada Ana. Mak yang sepatutnya minta maaf sebab Ana terpaksa lepaskan hasrat sambung belajar semata-mata nak bantu mak dengan adik-adik."
"Mak... jangan cakap macam tu. Ini semua pilihan Ana! Ana yang nak adik-adik dapat belajar dengan baik. Ana pergi sana dengan niat nak ubah nasib kita." Jane mengesat tubir matanya yang berair.
Mak hanya senyum mendengarnya.
"Dah, dah... kita tak payah sedih-sedih lagi. Buruk dah mak tengok." Mak ketawa kecil, cuba menceriakan suasana. Tangan mengusap lembut pipi Jane. Hidung anak sulungnya dicuit manja.
"Ni, Ana pergi dengan siapa?" Puan Salina mengusap lembut kepala Jane.
"Dengan Helmi. Kejap lagi dia datang ambik. Kan, dia yang nak bawak Ana kerja dekat sana. Sekarang pun Ana tengah tunggu Sakinah. Dia pun ikut sekali."
"Oh... Hati mak lega sikit bila tahu ada Helmi dengan Sakinah sekali. Ana jaga diri ya kat tempat orang. Makan minum jangan nak berkira! Jaga kesihatan! Yang paling penting jaga agama dan maruah keluarga."
Mendengarkan pesanan emaknya, Jane kembali sebak. Segera dia menarik tubuh tua emaknya ke dalam pelukan. Ana janji mak. Ana akan bahagiakan mak dengan adik-adik. Desis hatinya.
Hembusan angin sejuk yang hadir dari peti sejuk di hadapannya, langsung menyedarkan dia daripada lamunan yang panjang.
"Mak, kalaulah Ana fikir baik-baik, mesti takkan jadi macam ni," rintih Jane.
Air mata mengalir lagi. Sungguh! Berat ujiannya kali ini. Tidak disangka dia tersesat dalam haluan ini. Hanya dengan kata-kata manis yang menghujani, keinginannya membuak-buak. Dan dia akhirnya terpedaya.
Tidak mahu berlama-lama di hadapan peti sejuk itu, dia bingkas bangun. Kaki menuju ke bilik, tuala mandi dicapai. Badan yang terasa berlengas harus dibersihkan.
Jam di dinding pula dipandang. Pukul lima pagi. Tangan naik memicit kepala. Pusing. Dah lama rasanya corak tidurnya bertukar. Dah lama rasanya tidak disapa mentari pagi. Bilakah semua ini akan berakhir?
Tidak mahu banyak mengeluh. Tidak mahu banyak berfikir. Kaki melangkah longlai menuju ke bilik air. Aku kena kuat! Demi mak! Demi adik-adik!
●●●●●
RAMBUT panjang hitam pekat paras bahu, Jane sisir rapi. Krim muka dioles pada wajah. Seketika kemudian, Jane merenung dirinya sendiri di hadapan cermin. Lama wajahnya menghiasi dada cermin. Iras mak! Desis hati Jane sambil tersenyum.
Hatinya bangga. Dia membawa sekali wajah Puan Salina. Syukur rasanya. Bagaikan terasa emaknya ada di sebelah.
Jane tersenyum lagi. Mak memang cantik. Sebab keturunan belah mak semua mix Cina dan Arab. Mungkin sebab itu, dia terkena sedikit tempias genetik mak. Adik kembarnya juga sama namun wajah mereka lebih mirip arwah ayah. Lebih kemelayuan. Rindunya makin lama makin sarat pada ahli keluarganya.
"Arghh!" Sudahlah melayan perasaan! Jerit hatinya.
Langsir di tingkap ditarik bagi menutupi segenap ruang bilik. Walaupun matahari telah menyapa tanda siang telah tiba namun dia perlukan suasana yang gelap gelita untuk menjemput lena.
Rutinnya bermula setelah manusia siang berpusu-pusu pulang ke sarang. Sudah dua tahun dia melaluinya. Dia sudah biasa. Sudah alah. Sudah sebati dengan jiwa walaupun tidak rela. Mungkin itu takdir hidupnya. Dan dia jalani dalam terpaksa.
Jam di telefon diintai. Sudah pukul 6.45 pagi.
Kalau di Malaysia waktu solat Subuh di semenanjung mungkin masih belum tamat. Di Korea, subuhnya lebih awal satu jam. Langkah diatur perlahan menuju ke almari berwarna putih.Pintu almari tersebut dibuka perlahan.
Tangannya meraba-raba mencari bagasi. Jumpa. Zip bagasi tersebut ditarik. Ada sebuah beg sederhana besar berwarna maroon di dalamnya. Dicapai beg tersebut lalu dibuka zipnya perlahan dan dalam samar-samar dia memegang isi dalamnya. Lembut sifatnya.Telekung mak! Hati menjerit girang. Terubat sedikit kerinduan pada emaknya.
Telekung putih suci itu dicapai kemudian dikenakan pada tubuh. Kini, dia membawa diri pula ke hadapan cermin. Senyuman manis terukir di bibir. Tetapi tidak lama. Hatinya tiba-tiba dilanda kesedihan. Dia mengeluh lagi. Layak ke aku? Masihkah engkau memandangku ya Allah? Dia mempersoalkan dirinya.
Sejak kedatangan dia ke Korea ini, tidak pernah sekalipun dia tunduk menyembah pada penciptanya. Terasa dirinya kotor! Tidak layak!
Dua tahun dia bergelut dengan perasaannya yang berdosa. Dan dalam tempoh itu juga, suruhan yang esa ditinggalkan sepenuhnya. Bacaan dalam solat pun dia sudah ingat-ingat lupa. Bahkan senyuman indah yang sentiasa menghiasi bibir manisnya telah pun pergi. Yang dipamerkan hanyalah plastik semata-mata!
Kini, dia bukan lagi Nurul Jannah! Nurul Jannah yang sangat taat pada perintah Ilahi itu sudah lama terkubur. Dia bukan pemilik jasadnya lagi!
Telekung itu kemudian dilepaskan dari badan dan disimpan kembali di tempatnya. Kali ini dia kalah lagi dengan perasaan bersalahnya. Biarlah! Sememangnya aku tidak layak! Tetapi sampai bila? Sampai bila aku harus menjadi wanita jahil selamanya?
TBC...
YOU ARE READING
| C🐧|TOGETHER
Romance○BLURB○ Takdir yang tertulis tidak seharusnya dipersalahkan... Di usianya yang begitu muda, Jane meninggalkan keluarga jauh di kampung dan menjanjikan kebahagiaan harta. Gaji yang lumayan dan taraf hidup yang mewah sememangnya menarik minatnya untuk...