BAGASI di sisi, Daniel lihat dengan perasaan berbelah bahagi. Dia kini berdiri tegak di depan pintu apartmen milik Jane.
Snow cap putih di tangan, dia pandang sebentar. Termenung sekejap kerana teringat-ingat amaran Jane semalam supaya menjauhinya.
Dia nak ke jumpa aku lagi? Hati tertanya-tanya. Mahu ketuk pintu tetapi sudah 30 minit berlalu tidak dibuatnya. Keliru. Gelisah. Risau diri dimarah lagi oleh Jane.
Daniel masih lagi berkira-kira. Mata melirik luggage semula. Dia dah siap nak tinggalkan Korea pada malam hari.
Tipu jika dia kata, dia tidak terasa hati dengan penolakan Jane tetapi dia seorang yang berpegang pada janji. Takkan sudah mengaku kalah?
Keluhan berat terlepas juga. Jane harus dia jumpa untuk kali yang terakhir. Dia hendak kepastian yang jelas. Selepas itu, dia takkan ganggu Jane lagi dan lapor pada pihak berkuasa dengan bukti yang akan dia kumpul secara rahsia.
Nafas dihela seraya tangan naik untuk mengetuk pintu buat kesekian kalinya. Belum pun sempat tangannya berlaga pada dada pintu, pintunya sudah terkuak dari dalam. Semerta Daniel kembali ke kedudukan asal.
Terlihat Saleha yang menjenguk keluar bersama Laila dan Qistina. Tubuh mereka sudah lengkap dengan 'pakaian kerja' sebabnya malam nanti, ketiga-tiga mereka harus bertugas di sebuah rumah urut yang terletak di bandar Paju.
Melihat kehadiran Daniel, riak wajah mereka jelas tidak keruan. Terkejut. Saleha kemudian bertindak cuba untuk mengawal reaksi mukanya.
Daniel lempar senyum ikhlas selepas melihat ketiga-tiga wanita itu.
"Encik Daniel? Buat apa kat sini?" soal Saleha sedikit teragak-agak. Suaranya bergetar.
"Err... Jane ada? Saya nak jumpa dia kejap." Daniel menjelaskan niatnya.
"Ana? Ana takde encik. Dia dah keluar."
"I see. Dah lama ke?"
Saleha angguk. Qistina dan Laila laju mengiakan.
"Urgent ke nak jumpa Ana?" soal Laila pula.
"Eh tak, saya nak bagi ni je. Snow cap dia tertinggal semalam."
"Oh, nanti saya bagi dia. Ada apa-apa lagi?" Snow cap tersebut bertukar ke tangan Laila.
Daniel geleng kepala seraya tersenyum nipis.
"Encik Daniel dah nak balik Malaysia ke?" tanya Laila lagi selepas melihat sebuah bagasi tegak elok di belakang Daniel.
"A'ah. Malam ni. Sebab tu saya nak jumpa Jane."
"Ana mungkin lambat balik. Nanti kami bagitahu dia yang encik cari dia."
Daniel hanya senyum. Sedikit keruh wajahnya mendengar pernyataan itu.
"You all nak pergi mana?" soal Daniel pula. Sekadar berbasa-basi.
"Err... Kami nak keluar," jawab Saleha sepintas.
"Oh... be careful," pesan Daniel ikhlas. Usai sahaja meminta izin untuk berlalu pergi, perlahan langkah kakinya diangkat menuju ke lif. Tidak lagi berpaling ke belakang. Jane, inikah pengakhiran pertemuan kita? Daniel bersoal dalam hati. Mengeluh sendirian.
Laila menghantar pemergian Daniel dengan pandangan sayu. "Kita memang tak nak bagitahu dia ke?" soalnya kepada dua orang gadis di belakangnya.
Saleha sedang mengunci pintu manakala Qistina terbongkok membetulkan heels yang dipakai.
"Ana tak nak libatkan dia," ucap Saleha. Dia sudahpun berdiri di sisi Laila.
"Tapi kan, kita masih tak tahu Ana tu selamat ke tak." Suara Laila sedikit kuat kedengaran.
YOU ARE READING
| C🐧|TOGETHER
Romance○BLURB○ Takdir yang tertulis tidak seharusnya dipersalahkan... Di usianya yang begitu muda, Jane meninggalkan keluarga jauh di kampung dan menjanjikan kebahagiaan harta. Gaji yang lumayan dan taraf hidup yang mewah sememangnya menarik minatnya untuk...