BAB 2

66 13 10
                                    

"HILMAN, abah tengok kamu asyik muram saja dua tiga hari ini. Ada masalah ke? Kalau ada, ceritalah dekat abah. Jangan pendam sendiri," tutur Halim, lembut.

Hilman menggaru belakang tengkuknya perlahan.

"Tak adalah abah. Hilman okey. Cuma biasalah, penat sikit. Baru-baru jadi pelajar universiti abah, banyak benda kena buat." Hilman mengukir senyuman nipis.

"Memang ada masalah sikit sebenarnya. Tapi Man tak tahulah nak cerita macam mana. Nanti abah gelakkan Man pula," sambung Hilman bersama sengihan di bibir.

"Ada pula fikir macam itu? Buat apa abah nak gelak? Cerita sajalah, Man." Halim menggeleng sedikit.

"Hilman sebenarnya suka dengan seorang ini. Dia kawan Man dari sekolah lagi. Kebetulan pula, kami satu bidang yang sama. Man pun dah lama simpan rasa suka dekat dia. Cuma... Hari itu, Hilman nampak dia dengan seorang lelaki. Dia orang macam rapat sangat. Nak kata itu abang atau adik dia, tak boleh jadi juga. Sebab dia cuma ada abang saja. Man kenal abang dia." Dia berhenti daripada menyambung cerita.

"Abang cemburu lah itu... Kan? Kan?" Helmi menghalakan jari telunjuk ke arah abangnya sambil tersenyum nakal.

"Bukanlah. Abang cuma... Entah. Cemburu, tapi sikit," jawab Hilman.

"Man, abah pun tak tahu nak cakap macam mana. Tapi, kamu betul suka dengan dia?" soal Halim, hairan.

Yang dia tahu, anaknya itu tidak pernah pula bercinta dengan sesiapa selama ini. Dan dia ingat lagi Hilman pernah memberitahu bahawa dirinya tidak mahu bercinta selagi tidak tamat pengajian.

"Betul. Tapi sekadar suka. Man tak pernah luahkan apa-apa pada dia pun abah. Man pendam rasa suka itu saja selama ini," jujur Hilman.

Halim meng'oh'kan saja.

"Tak apalah, Hilman. Kalau perempuan itu dah ada lelaki lain, kamu tak usah cemburu. Biarlah dia. Kamu fokus pada pelajaran dulu. Jangan disebabkan rasa cinta, cita-cita kamu tak tercapai. Hal percintaan ini boleh difikirkan selepas habis belajar. Kamu juga yang cakap dengan abah macam itu, kan?" ujar Halim. Hilman mengangguk kecil.

Ada benarnya kata-kata abahnya. Dia juga tidak mahu fikiran dan jiwa asyik terganggu dek kerana rasa cemburu dan cinta berkecamuk di dalam hati.

Soal Syahidah dan Khalil itu dia harus biarkan seperti yang dikatakan Halim. Buat apa sibuk memikirkan kebahagiaan orang lain sedangkan kebahagiaan diri sendiri tergadai?

Hilman senyum.

"Betul kata abah. Biarlah dia... Asalkan Hilman bahagia dengan abah dan adik," kata Hilman.

"Kan bagus macam itu. Dah, abang. Jom tolong adik buat kerja sekolah. Adik nak siapkan cepat-cepat supaya dapat tengok movie malam ini!" Dia menarik tangan Hilman lalu dibawa ke bilik.

"Hey, hey. Janganlah tarik abang macam ini adik." Terpaksalah Hilman membiarkan sahaja si adik menariknya.

Halim hanya tertawa kecil dengan keletah dua anaknya itu.

— — —

SYAHIDAH duduk di kerusi kafeteria sementara menunggu Khalil yang sedang membeli makanan sambil mengomel sendirian.

"Asyik makan saja budak ini! Tak kenyang ke perut itu?" omelnya.

"Syahidah." Bibirnya yang sedang terkumat-kamit itu terhenti saat namanya dipanggil seseorang.

Syahidah memandang ke arah gerangan yang memanggil itu.

"Oh, Hilman rupanya. Ya, kenapa awak panggil saya?" soal Syahidah.

"Saja. Ingat nak berbual sekejap." Dia bercakap tanpa menatap Syahidah. Mata ditalakan pada kaunter pembayaran.

Saat susuk tubuh Khalil yang menerpa indera penglihatan, Hilman menghela nafas berat. Namun, dia cuba membuang perasaan tidak senang itu lalu menyambung perbualan yang terhenti tadi.

"Awak dah berubah sekarang." Itu saja ayat yang mampu meniti bibir.

"Berubah? Ya ke? Mungkinlah. Saya yang tak perasan agaknya. Tapi awak pun sama. Makin segak," ujar Syahidah.

Hilman tergelak kecil.

"Segak? Macam tak percaya saja." Hilman tidak mahu meninggi diri.

"Tak percaya sudah. Ini, cuba awak cakap apa perubahan yang awak nampak dekat saya?" Satu pertanyaan diutarakan.

"Kalau dulu, awak pendiam. Sekarang, makin peramah pula saya tengok. Yang tak berubah, gaya awak. Tetap simple dan masih menutup aurat." Syahidah tertawa sedikit dengan pernyataan Hilman.

"Peramah? Saya ramah dengan orang yang saya kenal. Dengan orang lain, saya janggal nak berbual. Saya pun tak ada kawan selain awak dan Khalil dekat sini. Kawan perempuan ada, tapi lain bidang. Jumpa pun sekali-sekala saja." Syahidah mengalihkan mata ke arah langit biru yang terbentang luas.

Burung-burung yang berterbangan di udara sambil bergurau-senda membuatkan bibir delimanya mengeluarkan tawa.

"Khalil itu-"

"Ya, saya?" Khalil menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah membentuk peace.

Baru saja Hilman ingin menyambung apa yang dia ingin katakan, tetapi Khalil sudah menyampuk dari belakang.

"Siapa Khalil untuk awak, Syahidah?" Tanpa dia sedar, soalan itu muncul dari mulut. Hilman terus menunduk selepas itu.

Dia sudah terlepas cakap.

"Apa kau buat ini, Man? Kalau dia marah macam mana?" Hilman tidak senang hati. Dia mulai rasa segan atas persoalan yang diajukan itu.

"Kau okey?" Khalil menepuk bahunya. Hilman mengangkat muka dan tersenyum kelat.

"Saya rasa, awak salah faham kut. Sebenarnya Hilman, Khalil ini sepupu belah arwah ibu saya. Sebab itu kami rapat. Tak ada apa-apa hubungan lain pun. Awak mesti terlebih fikir ini. Takkan saya nak bercinta dengan sepupu saya pula?" Syahidah tertawa kecil.

Sedikit terhibur dengan Hilman yang sudah cuak.

"Takkanlah aku nak suka dengan buah hati kau, Hilman." Seolah-olah mengetahui isi hati Hilman, Khalil membalas.

"B-Buah hati?" Hilman tergagap-gagap.

"Khalil ini, ke situ pula. Kami sahabat dari sekolah lah. Terkejut Hilman dengar perkataan buah hati itu," jelas Syahidah.

"Kalau ya pun, apa salahnya... Nanti Khalil beritahu Abang Syah. Mana tahu dia bagi restu. Bolehlah Hilman masuk meminang Idah. Tak ke gempak itu?" Dengan penuh santai sambil menyedut air sirap limau ais, Khalil membuatkan pipi Syahidah merah padma.

Begitu juga dengan Hilman yang dilanda rasa segan.

"Comel kau orang berdua ini!" Meletus tawa Khalil dibuatnya. Pantas Syahidah memukul lengannya yang berlapik baju menggunakan beg dompet. Khalil mengaduh sakit.

"Berbisa betul pukulan Idah ini..." Lengannya digosok-gosok untuk menghilangkan rasa sakit.

"Ambil itu. Padan muka Khalil!" Syahidah berlalu pergi dari situ meninggalkan kedua mereka.

Dia segan!

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now