BAB 33

50 9 21
                                    

KELUHAN berat terlepas di bibir Hilman. Dia memandang tajam ke arah Helmi yang sedang menunduk ke bawah.

"Masuk!" sergah Hilman. Terhenjut bahu Helmi saat disergah begitu.

"Man... Kenapa marah-marah ini?" Halim yang berjalan dari bilik menggunakan tongkat itu menegur perbuatan anaknya.

"Abah tengok lah adik ini. Dah pandai mencuri duit budak-budak sekolah." Terkejut Halim saat mendengar kata-kata Hilman itu.

"Adik mencuri? Betul ke ini?" Dia seperti tidak mempercayai perkhabaran tersebut.

"Betul, abah. Cikgu disiplin jumpa Hilman tadi. Adik dah curi duit seorang pelajar ini. Budak itu menangis-nangis sebab kena ugut," jelas Hilman.

Halim melabuhkan duduk di atas sofa. Dia mengurut dada dan melafazkan istighfar secara perlahan.

"Adik buat apa ini? Ya Allah... Duit yang abah bagi selama ini tak cukup ke sampai perlu mencuri?" Wajah Helmi yang dibasahi air mata ditatap lama.

"Abah... Adik tak curi duit pun. Adik kena tuduh." Helmi cuba mempertahankan diri.

"Tak payah nak berselindung adik. Abang dah agak yang adik mesti ada buat sesuatu dekat belakang kami selama ini. Abah pun tak perlu percayakan dia lagi," tutur Hilman, berang.

"Dah, jangan berbalah sesama adik beradik lagi. Man... Tak usah marah-marah ya. Biar abah yang cakap dengan adik. Kamu pergilah rehat dulu. Berpeluh-peluh dah muka itu." Dengan nada yang tenang, Halim menyuruh Hilman masuk ke bilik.

Dia tidak mahu Hilman bertindak mengikut emosi saja. Biarlah dia sendiri yang menasihati Helmi.

"Dengar sini baik-baik adik. Lepas ini, kalau abang dapat tahu dari cikgu yang adik buat kerja-kerja buruk macam ini dekat sekolah lagi, siap!" tegas Hilman. Terketar-ketar tangan Helmi waktu itu.

Hilman terus beredar ke biliknya. Berlama-lama di ruang tamu itu membuatkan hati dan fikirannya serabut. Halim menggeleng perlahan sebelum memfokuskan perhatian kepada Helmi seorang.

Senyuman kecil dia ukir pada ulas bibir untuk menyejukkan hati anak bongsunya yang ketakutan.

"Adik... Sini duduk sebelah abah." Kusyen sofa di sebelahnya ditepuk-tepuk. Helmi melangkah longlai dan duduk di sebelah Halim.

"Pandang sini," arahnya. Helmi cuma menurut tanpa banyak bunyi.

Halim bertindak menyeka air mata yang mengalir ke pipi anaknya dengan penuh kasih sayang.

"Cuba cerita dekat abah, betul ke adik mencuri?" Belakang tubuh Helmi diusap lembut.

"Tak, abah. Adik tak mencuri. Ada orang yang tuduh adik buat semua itu sebab adik ada dekat tempat kejadian. Abah tolonglah percayakan adik... Tak ada sesiapa yang percaya cakap adik termasuk abang." Semakin Halim seka air matanya, semakin deras ia mengalir ke pipi anak kecil itu.

Halim tidak banyak soal terus memeluk tubuh Helmi dengan erat. Dia percaya dengan setiap yang keluar dari mulut Helmi kerana dia tahu anaknya itu tidak akan menipu dalam kata-kata.

"Ya, ya. Abah percaya." Pelukan itu dileraikan olehnya.

"Tapi, kalau adik menipu, ingatlah yang Allah itu maha mengetahui. Abah nak pesan, adik kalau boleh cari kawan yang baik. Kadang-kadang, orang yang tak suka dengan kita itu duduk dalam kalangan kawan kita sendiri. Jadi, hati-hati dalam persahabatan. Tak semua orang yang dekat dengan kita itu baik," beritahu Halim.

"S-Sebenarnya..." Mulutnya tiba-tiba terkunci rapat. Ingin saja dia beritahu tentang Zaidi dan Nabil, tetapi dia masih berbelah-bagi.

"Sebenarnya apa?" Soalan daripada abahnya dibalas dengan gelengan kecil.

"Tak ada apa-apa lah. Adik tak tahu nak sambung ayat apa lagi." Bibir itu tersengih sendiri.

"Yalah kalau macam itu. Adik pergi masuk bilik, mandi, solat zuhur kalau belum, lepas itu kita makan sama-sama. Abah ada masak makanan kegemaran adik hari ini." Halim memaparkan senyuman manis.

"Kenapa abah masak? Kaki abah itu belum sembuh sepenuhnya lagi tahu? Nanti kalau abah jatuh macam mana? Kan sakit." Helmi kelihatan resah. Dia tidak mahu melihat abahnya itu sakit.

"Abah saja masakkan untuk anak-anak abah ini. Lama sangat tak berperang dekat dapur. Lagipun, abah dah boleh jalan sikit-sikit. Kalau abah rasa kaki ini kebas, abah rehat sekejap. Jangan risau ya. Abah kan kuat, bukan macam adik... Asyik nangis saja." Hidung kecil milik Helmi dicuit perlahan.

"Adik kuatlah. Abang itu yang buat adik nangis." Bibir dimuncungkan sedikit. Halim tergelak kecil dengan telatah si anak itu.

"Sudah, pergi bersihkan diri itu. Merah pipi anak abah dibuatnya," kata Halim.

"Baik, abah!" Helmi menabik hormat lalu berlari-lari anak menuju ke bilik.

Halim menyandarkan tubuhnya pada badan sofa.

"Ya Allah, hindarilah anak-anak ku daripada sebarang bahaya dan perkara yang membawa kepada keburukan," doa Halim di dalam hati.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now