BAB 53

65 9 20
                                    

BUKA mata sahaja, Khalif sudah disajikan dengan roman wajah ibunya. Khalif memejamkan mata semula kerana kaki dan tangannya yang berbalut itu terasa sakit.

"Khalif? Kamu dah bangun?" Soalan itu dibalas dengan anggukan kecil daripada Khalif.

Dia melirik ke arah ibunya sekejap-sekejap. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum mengetap bibir kuat.

"I-Ibu... Tsk, Khalif takut, ibu..." Suara yang agak serak itu menutur perlahan. Empangan mata mula pecah dan mengalirkan airnya.

"Ibu ada dekat sini, Lif. Jangan takut..." Sakinah mengusap rambut Khalif dengan begitu lembut.

Pantas tangan kirinya yang tidak berbalut itu meraih tangan kanan ibunya lalu mengucup ia bersama tangisan lebat.

"Kh-Khalif... Minta maaf ibu... Khalif anak... Derhaka. Khalif... Tak guna. Selalu m-maki ibu, d-doakan yang bukan-bukan dekat i-ibu. Mesti K-Khalif masuk n-neraka... Kan ibu?" Tergagap-gagap Khalif menyebut setiap perkataan yang keluar dari mulut kerana nafasnya tidak teratur.

Sakinah menggeleng kepala sambil menatap wajah anaknya dengan pandangan sebak. Dia tidak sangka Khalif akan berubah secara drastik setelah kemalangan itu. Tetapi segala yang terjadi kepada anak bongsunya itu memang memberikan hikmah yang besar.

Sakinah bersyukur.

"Ibu selalu maafkan kamu. Jangan cakap macam itu... Semua manusia buat salah, Lif. Tapi semuanya boleh berubah selagi mana masih hidup. Ibu tak pernah anggap kamu sebagai anak derhaka. Tak usah menangis macam ini," tutur Sakinah. Dia menyeka air mata Khalif perlahan-lahan.

"Tapi Khalif j-jahat d-dengan ibu." Tersedu-sedan Khalif dibuatnya.

"Tak... Anak-anak ibu semua baik. Cuma nakal sikit saja." Sakinah mengukir senyuman manis untuk menghilang rasa bersalah yang semakin lama, semakin bertambah-tambah di dalam hati Khalif.

"Ibu s-selalu baik d-dengan Khalif walaupun K-Khalif degil. Khalif s-sayang ibu." Nafasnya cuba diatur, tetapi ia sukar.

Mungkin hentakan yang dialami pada bahagian dada ketika kemalangan itu terlalu kuat sehingga dia tidak mampu menarik dan menghembus nafas seperti biasa. Peparunya akan terasa sesak ketika menarik nafas dan dia akan berasa lelah setelah menghembuskan ia.

"Ayah dengan a-abang mesti b-bencikan Khalif. S-Sebab Khalif banyak t-tipu dia orang," ujar Khalif, sedikit terseksa. Sakinah kasihan pula apabila melihat kesukaran yang dihadapi Khalif ketika itu.

"Kan ibu kata jangan cakap dan fikir bukan-bukan... Ayah dengan abang kamu itu betul-betul risaukan kamu tau." Khalif terdiam selepas mendengar balasan daripada ibunya itu.

Perasaan bersalah semakin membarah dan membengkak di dalam hati. Dia perlu memohon maaf pada kedua mereka.

"Rehatlah dulu, Khalif. Ibu teman kamu dekat sini." Selimut ditarik agar menutupi tubuh anaknya daripada kesejukan dek kerana suhu pendingin hawa yang terlalu rendah itu.

"Khalif sayang i-ibu..." Ucapan itu dituturkan ketika kelopak matanya terpejam rapat.

"Ibu pun sayang anak ibu seorang ini. Tidur ya... Kalau sakit ke apa, beritahu ibu terus," pesan Sakinah. Khalif hanya menggumam sebagai balasan.

Bayangan ketika kereta itu meluncur laju dan melanggarnya sehingga tercampak ke tepi penghadang jalan berlegar-legar di ruang memori.

Dahinya berkerut sejenak menahan sakit kepala yang tiba-tiba menyerang. Namun dia tidak mahu menunjukkan sebarang reaksi yang ketara agar ibunya tidak tahu bahawa dia sedang menahan sakit.

— — —

TUBUH Khalif dibaringkan dengan berhati-hati di atas katil. Peparu Khalif bagai hendak pecah setelah berjalan dari kereta hingga ke biliknya di dalam rumah.

"Itulah... Ibu dah kata yang kamu itu kena pakai kerusi roda. Tapi kamu tak nak dengar cakap ibu. Degil sangat! Kan dah sesak nafas," bebel Sakinah. Khalif tersengih dan menggaru pelipis menggunakan tangan kiri memandangkan tangan kanannya masih belum pulih.

Doktor juga telah menyatakan bahawa tangan dan kakinya yang retak itu mengambil masa beberapa bulan untuk sembuh seperti sediakala. Dan tempoh masa itu sangatlah lama baginya.

"Duduk atas kerusi roda itu buat Khalif rasa macam dah tua lah ibu. Tak suka." Kepala digelengkan persis anak kecil. Lantas cubitan ketam daripada Sakinah menyinggah pada lengan kirinya.

Khalif menjerit sakit sebelum Sakinah melepaskan cubitan tersebut. Anaknya itu mengusap-usap bahagian yang dicubit itu sambil mencebik bibir.

"Ibu. Motor Khalif teruk ke?" soal Khalif.

"Boleh tahan teruk juga. Tapi kawan kamu yang Rajesh itu dah bawa ke bengkel. Insya-Allah, beberapa minggu lagi siaplah itu," kata Sakinah. Khalif mengangguk lambat-lambat.

Sakinah berjalan ke arah bakul baju yang terjatuh itu. Diambilnya satu persatu pakaian yang bersepah di bawah lalu dimasukkan semula ke dalam bakul untuk dilipat nanti.

"Ibu tak payahlah lipat baju itu. Nanti Khalif buat sendiri," ujar Khalif.

"Kamu itu sakit. Baring saja atas katil, tak perlu buat kerja. Jangan jadi macam abang kamu itu, degil sungguh. Ibu halang dia supaya jangan banyak bergerak pun, dia tetap nak bergerak ke sana ke mari juga. Katanya kalau tak bergerak, lagi dia rasa sakit." Khalif tergelak kecil.

Macamlah dia tidak tahu perangai abangnya yang terlebih aktif itu!

Sakinah mendekati Khalif semula. Terasa hangat pula hatinya saat melihat senyuman dan gelak tawa daripada Khalif. Maklumlah, sudah lama dia tidak melihat akan situasi itu. Selama ini, anak itu asyik menayang riak tidak berperasaan dan wajah yang dilanda amarah melampau sahaja.

"Lif... Janji dengan ibu yang kamu takkan pergi berlumba dekat luar itu lagi lepas ini. Janji dengan ibu yang kamu akan betul-betul berubah jadi baik. Janji dengan ibu yang kamu akan berusaha sungguh-sungguh untuk berjaya dalam hidup. Ibu tak nak tengok anak ibu terbiar rosak dekat luar sana. Ibu yakin, kamu pun nampak sendiri ramai kawan-kawan kamu yang terjerat dengan gaya hidup tak sihat macam itu... Jadi, ibu harap kamu jadi manusia yang baik dan selalu bagi manfaat dekat orang, bukan jadi contoh tak baik ya?" jelas Sakinah, panjang lebar.

"Baik, ibu. Khalif janji, Khalif akan jadi anak yang baik untuk ibu dan ayah. Khalif juga akan jadi adik yang baik untuk abang." Khalif tersenyum dengan setulus hati.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now