BAB 59 (AKHIR)

140 11 22
                                    

GAMBAR konvokesyen itu ditatap lama bersama senyuman. Memori indah di luar dewan konvokesyen melintas di dalam fikirannya. Hilman melepaskan nafas panjang.

"Abah. Hilman berjaya abah. Dulu, abah teringin nak tengok Man naik pentas ambil sijil tapi tak dapat. Sekarang, Allah dah makbulkan doa abah. Allah dah capaikan keinginan abah." Air mata semakin turun mencurah-curah dari tubirnya.

"Terima kasih, abah... Sebab selalu doakan Man berjaya. Terima kasih." Tubuh Halim dipeluk erat. Hilman tewas dalam pelukan itu.

Helmi cuma melihat kedua beranak itu dari belakang sambil tersenyum manis. Dia sememangnya faham apa yang dirasai oleh Hilman ketika itu.

"Hilman... Kamu kan anak abah. Mestilah abah akan sentiasa doakan anak-anak abah supaya berjaya dunia akhirat. Abah tumpang bangga dan gembira dengan pencapaian kamu. Tahniah, Man." Belakang tubuh anaknya ditepuk lembut sebagai tanda untuk menyalurkan sedikit kekuatan.

Pelukan tersebut dileraikan oleh Halim sendiri.

"Sudah, Man. Kamu boleh menangis pula dekat tengah-tengah ramai orang ini ya?" Tangan kanan naik menyeka mutiara jernih yang mengalir ke pipi Hilman.

"Terharu." Hilman tersenyum kecil. Pandangan ditalakan pada Helmi yang cuma berdiam diri di belakang mereka.

"Adik. Sini kejap." Dia menyuruh adiknya datang mendekat. Helmi hanya menurut.

Ubun-ubun kepala adiknya diusap lembut. Halim mengukir senyuman tenang melihat kedua anaknya itu.

"Adik, janji dengan abang yang lepas ini adik akan belajar sungguh-sungguh untuk banggakan abah. Okey? Abang nak tengok adik berjaya," bisiknya pada kuping Helmi. Si adik mengangguk tanda faham.

"Abang dengan abah doakan juga keputusan SPM adik cemerlang. Bulan depan keluar keputusannya. Risau," ujar Helmi.

"Aamiin." Hilman dan Halim mengaminkan ia serentak.

Hilman memapar senyuman manis. Tamat sahaja pengajian selama lebih kurang tujuh tahun di peringkat universiti, dia, Syahidah dan Khalil meneruskan kehidupan sendiri dengan kerjaya masing-masing.

Mereka sudah jarang bertemu dan hanya mampu berkomunikasi secara dalam talian sahaja. Tambahan pula, Syahidah sekarang menjadi doktor pelatih di hospital yang berlainan dengannya. Khalil juga sibuk dengan urusannya.

"Man? Tersenyum-senyum ini dah kenapa?" Soalan daripada Halim menghentikan lamunan Hilman.

"Tak ada apa-apa. Teringat kawan-kawan," jujur Hilman. Halim menyengguk faham. Dia menunggu balasan lain daripada anaknya seorang itu.

"Abah, Hilman ingat... Nak tamatkan zaman bujanglah." Sebaris ayat itu mengundang Halim menjongketkan kening sebelah. Hairan.

"Biar betul? Dengan siapa? Syahidah?" Hilman tersengih-sengih seraya mengangguk lambat-lambat.

"Dia nakkan kamu ke?" Sengaja Halim menyoal begitu. Dia ingin melihat reaksi Hilman.

"Mana tahu. Kami kan dah kenal lama," jawab Hilman.

"Pergilah jumpa keluarga dia. Tanya apa yang patut. Takkan itupun abah nak kena ajar juga?" kata Halim.

"Abah kena temankanlah. Kalau Man pergi seorang diri, tak syok lah." Bahu abahnya dipaut.

"Yalah... Tengok macam mana nanti. Kamu ini tak ada keberanian langsung." Halim tergelak kecil.

"Abah pun mesti sama saja macam Man kan? Tak payah ejek Man lah..." Hilman menyilangkan tangan ke dada.

"Mana ada! Abah dulu pergi jumpa arwah atuk kamu seorang saja tau," jelas Halim.

"Cakap besar... Tak nak percaya." Hilman mengusik abahnya.

"Betul. Kamu apa tahu..." Senyuman bangga terlukis di bibir Halim.

Ketika itu, Helmi yang baru bangun tidur menggosok matanya yang redup itu sambil berjalan ke arah kedua mereka.

"Apa bising-bising ini? Adik nak tidurlah," bebel remaja berusia 17 tahun itu.

"Tidur saja. Sedar sikit diri itu dah besar. Dah habis SPM, keputusan pun dah dapat. Cubalah jadi rajin sikit." Telinga kiri Helmi dipiat sedikit kuat tanda melepaskan geram.

Si adik itu asyik berkurung dalam bilik saja selepas habis sekolah. Kalau buat apa-apa yang bermanfaat di dalam itu tidak mengapa juga. Ini asyik terbongkang saja di atas katil!

Sebab itu Hilman geram sungguh dengan Helmi.

"Ini ke muka pelajar contoh? Pemalas!" komen Hilman.

"Abah, tengok abang ini! Asyik judge adik saja. Adik tidur sebab nak hilangkan stres masa belajar dulu tau. Abang tak faham..." adu Helmi pada abahnya.

"Betul lah kata abang kamu itu. Asyik tidur saja mana boleh! Tengok badan itu, dah naik sikit." Halim sudah menahan gelak di dalam hati. Begitu juga dengan Hilman.

"Tipu! Mana ada adik gemuk. Berat adik masih 51 kilogram saja tahu? Normal lah untuk budak umur 17 tahun." Helmi menafikan pernyataan abahnya.

"Yalah itu... Entah-entah dah nak cecah 60 kilo!" Hilman melepaskan tawa juga akhirnya.

"Abang!" Helmi mengerutkan dahi tidak puas hati.

"Dah, jangan bergaduh pula. Jom kita pergi masjid, solat asar. Alang-alang semua dah ada ini," ajak Halim. Hilman dan Helmi bersetuju dengan cadangan tersebut.

— — —

SEJAM lebih mereka bersembang tentang majlis pertunangan antara Syahidah dengan Hilman. Syah bersyukur kerana Hilman betul-betul mencintai adiknya dan bukan pula bertindak memainkan perasaan sahaja.

"Saya harap majlis mereka tidak ditangguh-tangguh lah. Yalah, bertunang lama-lama pun susah juga. Lebih baik kita percepatkan majlis nikah. Jadi tak adalah wujud fitnah atau perkara yang tak diingini antara mereka nanti." Kata-kata daripada Halim disambut baik oleh Syah.

Dibiarkan sahaja anak kecilnya yang berusia dua tahun itu ralit bermain-main dengan kolar bajunya waktu itu.

Seketika dia memandang wajah Syahidah. Si adik yang cuma menunduk segan itu ditatap bersama senyuman nipis. Dia tahu Syahidah suka.

"Jadi... Pak cik ada cadangan tentang tarikh majlisnya? Saya setuju saja. Asalkan bukan waktu bekerja. Yalah, kesian pula dekat Idah nanti," ujar Syah.

"Bulan dua tahun depan, abang. Kalau bolehlah..." Hilman yang bercadang. Syah cuma tersenyum tanpa membalas.

Syahidah pula yang mengangkat wajah dan memasang riak terkejut.

"Cepatnya! Lagi sebulan lebih saja." Hati kecilnya berbicara sendirian.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now