BAB 19

45 7 28
                                    

BUKU teks dan buku latihan Sejarah serta kotak pensel dibawa bersama untuk ke perpustakaan atas arahan guru matapelajaran tersebut. Helmi yang merupakan orang terakhir dalam barisan berjalan sedikit laju supaya tidak ketinggalan.

Ketika itu, seorang pelajar perempuan daripada arah bertentangan terjatuh di hadapannya. Helmi menghentikan langkah.

"Awak okey?" soalnya prihatin. Pelajar itu memandang ke arah Helmi sambil tersenyum nipis.

"Okey..." Helmi sempat menilik tanda nama pada belah kanan tudung pelajar tersebut. Alisha namanya.

Helmi bertindak mengambil kotak pensel Alisha yang terjatuh lalu memberikan ia semula. Kotak pensel berwarna ungu itu bertukar tangan.

"Terima kasih," ucap Alisha, perlahan. Helmi senyum dan terus menyambung langkahnya yang terhenti tadi.

"Pelajar baru ke?" bisik hati kecil Helmi.

— — —

LOCENG berbunyi tanda waktu rehat telah tiba. Semua pelajar berpusu-pusu ke kantin untuk membeli makanan kecuali Helmi yang hanya bersantai di meja batu bersebelahan koperasi.

Dia tidak makan bukan kerana tidak mempunyai wang untuk membuat pembelian, tetapi wang yang diberikan abahnya akan dimasukkan ke dalam tabung. Katanya mahu membeli kereta dan rumah besar suatu hari nanti.

Dia membuka buku teks Sains untuk membuat ulang kaji pantas agar lebih mudah semasa waktu pembelajaran sebentar lagi.

"Hmm... Boleh saya duduk sini?" Teguran daripada seseorang menghentikan bacaannya. Helmi mengangkat muka menatap wajah pelajar yang menegur itu.

Alisha.

"Boleh. Duduklah," ujar Helmi, ramah. Alisha pun melabuhkan duduk di kerusi berhadapan Helmi. Perasaan malu dan takutnya bercampur-baur.

"Awak darjah berapa? Tak pernah nampak pun sebelum ini." Helmi memulakan perbualan agar situasi antara mereka tidak janggal.

"Darjah tiga. Saya pelajar baru," jawab Alisha. Penutup bekas makanannya dibuka. Aroma mi goreng menusuk ke hidung Helmi membuatkannya terliur seketika. Sudahlah perut sedang berkeroncong minta diisi waktu itu.

Helmi mengambil nafas dalam-dalam dan menahan rasa laparnya.

"Nama penuh awak apa?" Satu lagi soalan diajukan Helmi.

"Nur Ain Alisha binti Mohd Wafiq." Helmi meng'oh'kan sahaja.

"Saya Muhammad Helmi bin Abdul Halim. Darjah empat." Helmi sengaja memperkenalkan diri.

"Abang Helmi." Melopong mulut Helmi apakala dipanggil sedemikian. Dia menggeleng kepala dengan laju.

"Janganlah panggil saya abang. Tak biasa," jujur Helmi.

"Tapi--"

"Tak apa, saya tak kisah kalau awak panggil nama saja," tutur Helmi, rendah diri.

"Tak nak lah. Nanti orang kata saya tak hormat orang yang lagi tua dari saya. Saya tetap nak panggil Abang Helmi." Alisha berkeras tidak mahu. Helmi menghela nafas panjang.

"Susah juga nak memahamkan budak kecil ini... Patutlah abang selalu mengeluh bila aku tak dengar cakap dia." Perlahan saja nada suara Helmi. Dia berharap agar Alisha tidak dengar apa yang dikatakannya itu.

"Abang mesti budak pandai, kan?" tanya Alisha.

"Kenapa pula?" Helmi berkerut tidak mengerti.

"Yalah, orang lain sibuk makan, abang sibuk baca buku Sains. Budak pandai saja yang buat macam itu setiap kali waktu rehat." Petah sungguh Alisha berbicara.

"Tak adalah. Biasa-biasa saja. Cuma, saya ulang kaji sikit supaya lagi faham masa cikgu mengajar. Senang nak jawab soalan nanti." Helmi menggaru kepala. Dia tidak biasa membahasakan dirinya sebagai abang kerana sudah biasa dipanggil adik di rumah. Sengihan kecil memekar di bibir. Alisha mengangguk faham.

Loceng yang menunjukkan waktu rehat sudah tamat berbunyi juga akhirnya. Alisha bangun dari tempat duduk. Begitu juga dengan Helmi.

"Terima kasih, Abang Helmi. Sebab teman Alisha makan!" ujar Alisha, ceria.

"Sama-sama, Alisha. Ini saya nak pesan... Lain kali, waktu berjalan itu, berhati-hati ya. Risau awak jatuh lepas itu terhantuk dekat mana-mana permukaan kasar atau keras. Bahaya," pesan Helmi.

"Baik, abang! Alisha takkan jalan laju-laju lagi dah. Janji!" Tapak tangan kanan diangkat seperti sedang berikrar. Helmi tertawa geli hati melihat gelagat Alisha itu.

"Okeylah, saya masuk kelas dulu. Takut Cikgu Muammar marah sebab lambat. Bye!" Tangan kiri dilambaikan ke arah Alisha lalu dia berlari ke bilik darjah.

Alisha menggeleng kecil.

"Dia suruh kita berhati-hati, lepas itu dia pula yang lari. Apalah Abang Helmi ini," monolog Alisha sendirian.

Namun, dalam diam dia mengukir senyuman manis.

"Macam ini ke rasanya ada kawan?" Hatinya berbisik.

"Mama, papa, Icha ada kawan!" jerit hati kecil Alisha dengan penuh rasa gembira.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now