BAB 5

63 12 17
                                    

BEG berwarna hitam itu dia capai dari meja belajar. Sempat lagi dia menilik tudung yang dipakai. Risau tersenget atau tidak kemas pula.

"Idah! Cepatlah. Abang tinggal nanti, baru tahu!" laung Syah dari ruang tamu.

"Inilah perempuan! Lambat sungguh bersiap." Syah mengomel sendirian. Geram sungguh nampaknya.

"Ya, ya. Idah betulkan tudung saja. Jangan marah," ujar Syahidah. Dia berlari keluar dari bilik ke pintu rumah. Membiarkan abangnya mengunci pintu sendiri.

"Kurang asam betul. Abang juga yang kena kunci pintu." Bibir itu membebel lagi.

"Abang ini, bebel saja. Mulut itu sebiji macam punggung ayam," komen Syahidah. Syah pantas ke arah adiknya lalu mencubit pipi tembam itu perlahan.

Syahidah mengembungkan pipi sebelum menaiki kereta. Syah yang melihat gelagat si adik itu tertawa kecil lalu memasuki pacuan empat rodanya.

"Jom, kita ke tempat yang sepatutnya!" Syah memakai tali pinggang keselamatan. Doa dibaca secara berbisik.

Dia pun memulakan pemanduan. Sekejap-sekejap mata melirik ke arah Syahidah yang sudah tersengguk-sengguk menahan kantuk.

"Idah bangun! Dah sampai!" jerkah Syah. Syahidah terus terbangun. Dia menjadi tergesa-gesa atas jerkahan abangnya itu.

"Berhenti situ saja abang. Idah boleh jalan kaki." Pegangan pada beg dikemaskan. Syah semakin galak mentertawakan adiknya.

Syahidah membuang pandangan ke luar tingkap kereta. Rupanya mereka baru sahaja beberapa meter dari rumah. Wajah mendatar ditayangkan kepada Syah.

"Marah?" Selamba Syah menyoal. Syahidah menghela nafas panjang.

"Ya Allah, kurniakan hamba-Mu ini kesabaran yang tinggi untuk menghadapi dugaan sebegini," doanya kuat-kuat. Tangan disapukan ke wajah.

"Aamiin..." Syah menyambung.

"Siapa suruh tidur? Ini mesti tidur lewat malam tadi, kan?" Mata masih fokus memandang jalan raya di hadapan.

"Ya, abang. Tertidur lewat." Syahidah tersenyum nakal.

"Memang nak kena Idah ini..." tutur Syah. Syahidah masih dengan sengihannya.

Syah membuka radio semasa berhenti di simpang kerana lampu isyarat bertukar merah. Melihat tiada apa yang menarik, dia menutup semula radio tersebut.

"Bosan pula dengar lagu." Setelah warna lampu isyarat bertukar hijau, dia kembali memandu.

"Habis itu? Apa saja yang ada dalam radio selain lagu? Takkan cerita anime pula?" Syahidah menekup mulutnya sendiri. Sedar diri itu sudah terlepas bicara.

"Abang dah agak! Idah tengok anime kan malam-malam buta? Astaghfirullahal'azim... Dah nak masuk sembilan belas tahun umur pun, masih tengok cerita macam itu?" Syah menggeleng kecil.

"Apa salahnya? Cerita itu semua best tahu?" Syahidah bermain-main dengan jari telunjuknya.

"Salah itu tidaklah. Tapi cuba beringat sikit. Idah itu pelajar, kena cukup rehat. Kalau tidak, susah nak fokus dalam kelas. Nanti gagal periksa, mulalah nak sedih bagai, healing lah, apalah... Berhibur pun kena ada had, Idah." Panjang lebar Syah memberi ceramah percuma.

"Baik, abang. Idah minta maaf," ujarnya. Syah tersenyum kecil.

"Bukannya abang marah. Itu pun nak minta maaf. Idah, Idah..." kata Syah.

— — —

ZIP jaketnya ditarik hingga ke atas. Hujan yang turun mencurah-curah lebatnya itu membuatkan dia tidak tahan sejuk.

"Hilman, seorang saja ke dekat sini?" Khalil menegur dari belakang. Sempat dia mengucapkan salam lalu ia dibalas oleh Hilman.

"Kau ada nampak orang lain ke, Khalil? Mestilah seorang," jawab Hilman. Khalil menggelakkan diri sendiri atas soalan tak munasabah yang dia beri itu.

"Man. Aku... Nak tanya sikit boleh?" Hilman memandang wajah Khalil yang sepertinya sedang dilanda masalah itu.

"Apa?" Tutup botol air mineral dibuka. Dia meneguk sedikit demi sedikit air tersebut setelah melafazkan basmalah.

"Kau tahu tak kerja-kerja kosong yang ada dekat sini? Aku, terdesak sikit." Khalil menutur dengan jujur.

Sejak semalam lagi dia asyik teringat akan ibu dan ayahnya di Johor. Tambahan pula, ayahnya menghidap penyakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis. Dan sebulan, anggaran kos yang diperlukan adalah sebanyak RM3000.

Itu bukan jumlah yang kecil buat insan yang kurang berkemampuan sepertinya.

"Kerja dekat tempat aku saja lah. Rasanya bos aku memang tengah cari pekerja." Ia menimbulkan satu sinar baru dalam diri Khalil.

"Kau kerja apa, Man?" soal Khalil terlebih dahulu.

"Kedai makan saja. Jadi cashier," kata Hilman.

"Mantap juga! Bolehlah. Terima kasih ya." Lafaz tahmid meniti di bibir Khalil.

Walaupun dia sudahpun bekerja sebagai tukang cuci kereta selepas tamat kelas, jumlah gajinya masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan ibu ayahnya.

"Restoran itu buka malam. Kau okey saja, kan?" Hilman senyum nipis. Khalil cepat-cepat mengangguk.

"Akhirnya... Dapat kerja!" Teruja sungguh nada Khalil waktu itu.

"Kau ada masalah ke, Lil?" Pertanyaan itu serta-merta mengubah keterujaan tadi kepada rasa sebak yang menguasai dada.

Khalil menunduk ke bawah.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now