BAB 9

53 10 14
                                    

"KENAPA awak tak cakap saja perkara sebenar pada Khalil? Khalif bukannya ada serah duit dekat awak pun." Sakinah tidak berpuas hati dengan jawapan suaminya semasa berbual bersama Khalil tadi.

"Saya tak nak Khalil itu susah hati. Awak pun tahu dia macam mana kan?" Faizal menjawab tenang.

"Biarkan saja Khalil tahu yang Khalif itu tipu dia hidup-hidup. Punyalah susah-payah Khalil sampai buat dua kerja, dia boleh saja ambil duit itu untuk diri sendiri." Sakinah geram dengan perangai anak bongsunya.

"Tak payah. Nanti dia orang bergaduh pula. Saya tak nak hubungan adik-beradik dia orang terputus sebab hal kecil macam ini. Lagipun, saya tak kisah fasal duit. Saya masih mampu tanggung keluarga ini. Saya tak nak susahkan anak-anak," ujar Faizal.

"Awak itu memang. Selalu sangat manjakan anak. Lagi-lagi Khalif. Sebab itu sikap dia makin hari, makin menjadi-jadi. Awak tengok, dia mana pernah berlembut dengan awak. Dia kurang ajar dengan awak setiap hari, tapi awak masih biarkan. Tak marah... Sedangkan Khalil masa kecil dulu? Awak rotan, marah, suka menyalahkan dia. Kadang-kadang Khalif yang bersalah, tapi awak marah Khalil. Alasan? Sebab dia tak reti jaga adik," terang Sakinah, panjang lebar.

"Saya mengaku semua ini salah saya. Saya gagal didik anak dengan baik," kata Faizal. Sakinah melepaskan nafas berat.

"Awak dah makan ubat ke belum?" soal Sakinah. Faizal mengangguk sedikit.

"Awak dah lama tak jumpa doktor. Minggu lepas saja dua kali rawatan awak tak pergi. Saya risau sakit itu makin memburuk." Sakinah tidak sanggup melihat keadaan suaminya yang sakit itu. Dia hanya mahu Faizal sihat seperti sediakala.

"Saya redha, Sakinah. Allah itu maha penyembuh. Saya yakin, semuanya akan baik-baik saja," ujar Faizal. Dia bangkit dari tempat duduk lalu memasuki bilik untuk berehat.

Sakinah menghantar suaminya ke bilik melalui lensa penglihatan.

— — —

PEN yang berada di tangan diketuk-ketuk pada meja dengan perlahan. Syah merenung ke arah dinding biliknya. Jikalau renungan itu boleh mengeluarkan laser, pastinya dinding itu sudah ditembusinya.

"Tak payah mimpilah kau nak dapat balik rumah itu. Bapak aku nak letak atas nama aku. Kau itu, entah-entah penipu yang datang menyamar jadi Syahir. Budak itu takkan lah bijak sangat sampai boleh tahu dia ada harta lagi."

"Aku tak akan serahkan satu sen pun harta arwah adik aku untuk kau walaupun kau itu anak kandung dia."

"Tak payah nak berceramah dengan akulah budak! Macam mana sekalipun, duit yang arwah adik aku tinggalkan itu aku takkan bagi pada kau. Muktamad!"

Syah menggelengkan kepala. Dia juga tidak faham dengan sikap pak cik, mak cik dan saudaranya.

Tidakkah mereka tahu bahawa memakan harta anak yatim itu adalah salah satu perkara yang Allah SWT larang? Ia sudah terang lagi bersuluh termaktub di dalam kalamullah serta hadis-hadis Rasulullah SAW.

Sekali lagi sebuah gelengan dia berikan. Pen itu diletakkan di atas meja. Kedua tangan naik menyapu wajah.

"Jaga adik baik-baik, Syah."

Dia sudah malas mahu berfikir tentang harta peninggalan arwah ayahnya. Lebih baik dia berfikir tentang amanah besar yang telah diberikan oleh arwah ayahnya.

Soal harta itu, jika mereka sudah sedar bahawa apa yang dilakukan itu salah, maka mereka boleh saja menyerahkan ia kepadanya. Jika tidak, tanggunglah dosa itu hingga ke hari akhirat kelak.

"Abang... Pergilah tidur dulu. Rehatkan minda, rehatkan badan. Nanti abang penat waktu kerja." Syahidah yang muncul di muka pintu bilik abangnya memberikan sedikit nasihat khidmat masyarakat.

"Baiklah, adik abang yang baik hati. Abang nak tidur lah ini. Idah pun sama kena tidur awal. Jangan tengok anime pula. Abang rampas telefon dengan komputer itu, baru tahu!" Sengaja dia memberikan amaran sekadar untuk menakutkan adik kesayangannya itu.

"Janganlah rampas! Okey, okey. Idah tidur awal. Janji, janji, janji!" Tiga kali dia sebut perkataan janji itu untuk memuaskan hati Syah.

"Baru betul! Dah, dah. Selamat malam, dik. Assalamualaikum," ucap Syah, ramah.

"Selamat malam juga. Waalaikumussalam." Syahidah menutup pintu bilik abangnya lalu masuk ke bilik sendiri untuk tidur.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now