BAB 42

57 10 27
                                    

SARUNG lengannya yang terselak sedikit dibetulkan semula dengan cepat agar tidak terdedah kepada pandangan lelaki. Tiga hari tinggal di rumah kerana sakit pinggang membuatkan Syahidah bosan.

Lebih-lebih lagi dengan sikap abangnya yang asyik membebel apabila dia melakukan kerja-kerja rumah. Kini, dia boleh bekerja dengan bebas dan menikmati masa cutinya.

Waktu itu, dia ternampak kelibat Hilman yang baru masuk ke dalam kafe tersebut. Hilman berjalan ke arah kaunter untuk memesan minuman.

"Ya, Hilman. Awak nak order apa?" soal Syahidah bersama senyuman manis namun pandangannya ditundukkan.

"Iced latte," pesan Hilman. Syahidah mengangguk sedikit dan memberitahu rakan sekerjanya tentang pesanan itu.

"Syahidah, maaf sebab ganggu waktu kerja awak, tapi saya ada sesuatu nak cakap dengan awak. Boleh?" Hilman teragak-agak untuk memberitahu hal itu.

"Boleh sebab sekarang ini memang tak ramai orang... Tapi jangan lama sangat." Syahidah mengangguk sedikit. Dia keluar dari meja kaunter itu menuju ke meja yang Hilman ingin duduk.

Mereka berdua duduk secara berhadapan. Suasana kedengaran sepi seketika.

Hilman bungkam. Dia tidak tahu bagaimana ingin memulakan perbualan tersebut. Nafas ditarik dalam-dalam terlebih dahulu.

"Syahidah, tiga hari lepas Khalil ada cerita yang awak kena ganggu lepas balik kerja. B-Betul ke? Atau... Dia yang ganggu awak?" Soalan Hilman membuatkan Syahidah memejamkan mata rapat-rapat.

"Khalil dah cerita, tapi awak tak percaya apa yang dia cakap... Sebenarnya saya pelik, apa masalah awak dengan abang saya sampai tak boleh nak bersangka baik dengan Khalil? Kenapa?" Syahidah mengerutkan dahi.

"Tak. Saya cuma nakkan penjelasan daripada awak saja. Bukan saya tak percaya langsung cakap Khalil. Yalah, dia datang rumah awak tengah hari buta, katanya nak pulangkan bekas makanan. Entah-entah memang betul apa yang saya cakap, Khalil yang ganggu awak. Tapi awak sengaja nak sorokkan kebenaran itu sebab dia sepupu awak." Hilman menyatakan apa yang terkandung dalam fikirannya.

"Apa yang awak merepek ini, Hilman? Bukan Khalil yang ganggu saya... Dia yang datang selamatkan saya, awak tahu tak? Kalau tidak, saya dah kena rog-"

"Janganlah cakap macam itu, Syahidah. Tak baik," ujar Hilman.

"Dah itu? Semua benda awak tak nak percaya. Awak ini sama saja macam abang saya," balas Syahidah.

"Awak tak faham saya, Syahidah... Saya cuma risaukan awak. Mana tahu Khalil itu memang ada niat tak baik dengan awak," kata Hilman.

"Apa? Hilman, awak itu yang tak faham saya! Khalil itu sepupu saya dan dia tak akan pernah berniat untuk menjatuhkan maruah saya sebagai perempuan macam yang awak sangkakan. Dahlah, Hilman... Lebih baik awak balik. Selagi awak tak minta maaf dekat Khalil, selagi itu saya takkan maafkan awak!" Syahidah terus berlalu pergi dari situ untuk menyambung kerjanya.

Hilman terkedu seketika. Dia terus keluar dari kafe itu walaupun minuman yang dipesannya tadi belum diterima.

Syahidah hanya memerhatikan pemergian Hilman melalui lirikan mata. Hatinya masih tidak berpuas hati dengan tuduhan yang dilemparkan Hilman ke atas Khalil.

— — —

WAJAH Syahidah masam mencuka setelah pulang dari tempat kerja. Lebih-lebih lagi setelah Syah menegurnya dengan ceria di ruang tamu tadi.

Dia teringat akan kata-kata Hilman dan itu membuatkan dia turut menzahirkan rasa marahnya terhadap Syah sekali.

"Idah... Muram saja abang tengok. Kenapa? Ada masalah ke dekat kafe?" Pertanyaan itu dibalas dengan tatapan tajam daripada Syahidah.

"Idah muram, sebab abang dengan Hilman. Tak habis-habis menyalahkan Khalil. Yang Hilman, dah tahu cerita sebenar tapi tak nak percaya. Abang pula, langsung tak nak dengar penjelasan daripada Khalil dengan Idah." Nafas Syahidah tidak teratur kerana terlalu marah.

"Dah memang dia yang kacau Idah-"

"Dia yang selamatkan Idah daripada lelaki jahat itu! Lepas itu, abang balik saja terus tampar dia tanpa dengar apa yang dia nak beritahu. Abang tuduh dia yang bukan-bukan. Kenapa dengan abang ini? Susah sangat ke nak percaya cakap orang?" tegas Syahidah.

Syah menelan liur kelat. Rasa bersalah mula berputik di hati.

"Abang m-minta maaf, Idah. A-Abang mengaku salah abang..." Syah meraup rambutnya yang terjuntai ke belakang.

"Tak payah minta maaf dekat Idah. Lebih baik abang pergi minta maaf dekat Khalil dulu. Selagi Khalil tak maafkan abang, selagi itulah Idah tak nak bercakap dengan abang." Syahidah terus masuk ke bilik tanpa berpaling ke arah Syah yang masih terkebil-kebil.

Syah duduk di atas sofa dan memicit pelipisnya perlahan. Dia mula sedar akan kesilapannya terhadap Khalil.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now