BAB 41

52 9 16
                                    

KHALIL menerpa ke arah ibunya yang sedang duduk di ruangan menunggu sambil termenung melihat pintu wad yang tertutup. Dia menegur ibunya perlahan.

"Ibu, doktor ada cakap apa-apa lagi fasal ayah?" soal Khalil. Sakinah menggeleng perlahan.

"Khalif ada telefon ibu tak?" tanya Khalil, lagi.

"Nak tunggu dia jawab telefon pun susah," jawab Sakinah. Khalil memejamkan mata — rapat.

Dalam hati, Khalil benar-benar menzahirkan rasa kecewa dengan sikap adiknya yang langsung tidak mengambil berat soal kesihatan ayah mereka.

Khalil duduk di sebelah ibunya. Bahu si ibu diusap lembut untuk menyalurkan sedikit kekuatan.

"Kita usaha cari penderma untuk ayah sama-sama ya, ibu?" tutur Khalil, sopan. Sakinah menyengguk kecil.

Getaran telefon pintar dari poket seluar menghentikan perbuatan Khalil. Dia mengambilnya lalu menjawab panggilan tersebut tanpa melihat nama yang tertera pada skrin.

"Assalamualaikum." Ucapan salam diujarkan terlebih dahulu.

"Kau dengan ibu ini dah kenapa telefon aku banyak kali? Serabut lah otak aku!" Salam tersebut tidak dijawab, malah Khalil terus disergah sebegitu oleh Khalif.

Khalil bangun dari kerusi yang didudukinya lalu berjalan sedikit jauh daripada situ. Dia tidak mahu perbualan mereka diketahui oleh Sakinah. Risau ratu hatinya itu terkecil hati pula.

"Kau tengah serabut ke sekarang ini? Maaflah sebab ganggu." Gelakan sinis diselitkan dalam ayatnya.

"Hey, Khalif... Aku lagi serabut lah ada adik macam kau. Tak habis-habis menyusahkan orang. Kau tahu tak, ayah tengah sakit dekat hospital? Buah pinggang ayah makin teruk. Doktor suruh cari penderma cepat-cepat. Kau pergi mana sampai seminggu tak balik? Tak kesian ke dekat ibu ayah?" Khalil cuba mengawal amarahnya. Dia melontarkan istighfar berkali-kali di dalam hati.

"Ada aku kisah? Biarlah orang tua itu nak masuk hospital ke, nak mampus terus ke... Aku tak nak ambil peduli lagi. Lepas ini, kau tak payahlah nak telefon aku beritahu fasal bapak kesayangan kau itu. Aku meluat!" Khalif lantas mematikan telefon setelah itu kerana malas mahu mendengar apa-apa balasan daripada abangnya.

Turun naik dada Khalil menahan emosi. Dia memasukkan telefonnya ke dalam poket seluar semula.

"Tak guna punya adik," bisik hati Khalil.

"Khalif cakap apa dengan kamu?" Soalan daripada Sakinah dibalas dengan senyuman nipis di bibirnya.

"Dia tidur rumah kawan. Ada kerja sikit katanya sampai tak sempat balik rumah," ujar Khalil.

"Dia cakap macam itu? Ya ke ini?" Sakinah seolah-olah tidak percaya.

"Lebih kurang macam itulah... Tapi bahasanya tak sesopan itu." Khalil tergelak kecil. Sakinah menggeleng perlahan.

"Tak pernah nak berubah adik kamu itu." Itu saja yang Khalil dengar dari mulut ibunya.

Khalil berjalan ke arah kerusi menunggu itu lalu melabuhkan punggung di sebelah ibunya semula.

— — —

BAJU yang baru dikeluarkan dari mesin basuh itu dimasukkan ke dalam bakul sebelum diangkat untuk disidai di ampaian luar rumah. Namun, langkahnya dihentikan oleh Syah.

"Pinggang Idah itu belum betul-betul sembuh lagi. Boleh tak, Idah duduk diam-diam?" Bakul itu pantas diambil Syah.

"Abang... Idah tak bolehlah duduk diam-diam. Bosan tahu tak," adu Syahidah. Ia dibalas dengan gelengan kecil dari Syah.

"Susah nak bercakap dengan orang yang keras kepala macam Idah ini." Nafas berat dihela bersama.

"Biar abang yang sidai kain, Idah rehat. Dengar cakap abang, jangan degil. Kalau tak..." Ayat itu sengaja dibiar tergantung.

"Kalau tak apa yang abang nak buat?" Kening sebelah kanannya terangkat spontan.

"Abang tarik telinga Idah sampai tercabut!" ugut Syah bersama tawaan halus di bibir.

"Macamlah abang nak buat betul-betul... Ingat Idah takut ke?" balas Syahidah, mencabar.

"Jangan main-main dengan abang," kata Syah.

"Yalah, yalah... Idah rehat." Syahidah dengan akur berjalan ke ruang tamu. Televisyen dibuka walaupun dia tahu tiada apa yang menarik untuk ditonton.

"Tahu takut," bisik Syah sambil ketawa kecil.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now