BAB 23

47 7 23
                                    

PUNTUNG rokok yang masih bernyala itu dicampak ke dalam sungai. Khalif menyerabutkan rambutnya yang sudah tersisir kemas. Remaja yang masih beruniform sekolah tingkatan enam itu sedang dilanda keserabutan yang melampau.

Baru saja keputusan STPM semester satunya keluar. Dan dia telah gagal dalam peperiksaan tersebut.

Meskipun sudah mengulang kaji pelajaran dan membuat pelbagai jenis latihan pada akhir-akhir waktu sebelum minggu peperiksaan, dia tetap mendapat keputusan yang teruk.

Waktu itu, Rushdi tiba di pondok tersebut. Dia tersenyum senget melihat keadaan Khalif yang tidak serupa manusia normal itu.

"Lif, nampak tak tenang saja kau ini... Apa hal?" soal Rushdi. Khalif mengalih pandangan ke arah rakannya itu.

"Sem satu aku gagal, Rush. Macam mana aku nak tenang?" Punggung dihenyakkan di atas kerusi batu.

Rushdi menggigit dalam pipi. Tangannya pula ligat mengeluarkan sesuatu untuk diberikan kepada Khalif. Matanya melilau-lilau melihat sekeliling agar tiada sesiapa yang nampak perbuatannya.

"Khalif... Aku ada sesuatu nak bagi dekat kau ini. Benda ini, kalau kau ambil, confirm kau tak serabut lagi. Kau boleh lupa apa yang kau gagal sekarang ini." Plastik kecil yang berisi serbuk berwarna putih yang nampaknya seperti kristal itu diseretkan di atas meja ke arah Khalif.

"Kau nak suruh aku ambil barang sial ini ke? Aku tak nak!" Khalif menolak dengan kasar. Dia tahu benda yang diberikan oleh Rushdi itu boleh membawa dirinya kepada bahaya yang datang dari semua sudut.

Jadi lebih baik dia menolak awal-awal.

"Sikit saja, Lif. Ambil... Ke kau sanggup nak hadap kegagalan ini? Sanggup kau dengar mak bapak kau bebel fasal result kau yang macam orang tak pergi sekolah ini?" Rushdi cuba mengapi-apikan Khalif.

"Kau tak payah nak hasut akulah bodoh! Aku tak nak!" Khalif segera mencapai topi keledarnya lalu memakainya. Dia kemudiannya menunggang motosikal untuk pulang ke rumah.

Dia malas hendak melayan sejenis manusia yang tidak habis-habis nak mempengaruhinya untuk melakukan perkara yang terlarang. Cukuplah sekadar merokok dan berlumba haram. Dia tidak mahu melibatkan diri dengan dadah sama sekali.

Khalif tahu bagaimana rasanya apabila masuk ke dalam kancah dadah ini setelah melihat rakan-rakannya di sekolah menengah dahulu ditangkap oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

"Aku bukan bodoh macam kau Rush." Khalif bermonolog sendiri.

Setibanya dia di rumah, seperti biasa ibunya akan menegurnya bersama senyuman di hadapan pintu.

"Ibu dengar keputusan sem satu dah keluar... Macam mana dengan keputusan kamu? Okey?" Sakinah bertanya dengan lembut kepada anak bongsunya seorang itu.

Khalif menghela nafas berat. Dia mengeluarkan telefon pintar lalu diberikan kepada ibunya tanpa roman muka ceria langsung. Sakinah melihat isi kandungan slip keputusan dalam talian itu.

Terkejut Sakinah setelah mengetahui keputusan yang diperoleh anaknya.

Setahunya, setiap malam Khalif akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan semester satu itu. Tetapi dia tidak pula sangka Khalif akan mendapat CGPA sebanyak 3.0 seperti ini.

"Lif, kamu ada masalah ke? Cuba cerita dengan ibu." Lemah-lembut saja Sakinah menyoal. Dia tidak mahu membebani minda anaknya dengan bebelan yang tidak sepatutnya.

"Khalif bukan penting pun dalam keluarga ini. Kalau gagal pun, ibu tetap akan bandingkan Khalif dengan si Khalil itu. Dahlah." Telefonnya dirampas dari tangan Sakinah.

Khalif membawa diri ke dalam bilik. Pintu bilik dikunci terlebih dahulu.

Sakinah melepaskan nafas berat di ruang tamu. Kelibat suaminya yang baru pulang dari kebun menyapa pandangan.

Dia berlalu pergi ke dapur untuk sambung kerja memasaknya yang terhenti tadi.

— — —

FIKIRANNYA melayang jauh entah ke mana. Tingkap dan langsir bilik yang tidak dibuka membuatkan biliknya terasa gelap dan suram sahaja.

"Khalif... Ayah tak pernah marah pun kalau kamu tak lulus dalam peperiksaan. Tapi, janji dengan ayah yang kamu akan buat yang terbaik. Okey?"

Kata-kata ayahnya terngiang-ngiang di telinga saat itu. Khalif meraup wajah dengan kasar.

Tali leher dibuka dan dicampakkan ke atas katil. Butang baju juga dibuka sebelum dia membuka baju dan hanya membiarkan singlet putih saja yang tersarung pada tubuh.

Waktu itu, pintu biliknya diketuk perlahan. Suara ibunya memanggil untuk makan tengah hari bersama menyapa halwa telinga.

Khalif tidak menjawab sebaliknya membiarkan panggilan tersebut berakhir begitu saja. Sangkaannya meleset apakala pintu bilik itu dibuka menggunakan kunci oleh Sakinah.

"Lif, kalau ya pun kamu tak puas hati dengan keputusan itu, makanlah dulu alas perut. Jangan berkurung dalam bilik saja. Nanti kamu makin tertekan," ujar Sakinah.

Melihat anaknya tidak membalas apa-apa, dia mendekati Khalif.

"Kan boleh ambil peperiksaan ulangan... Jangan menyerah kalah macam itu saja, Khalif. Ibu yakin kamu akan berjaya. Yang penting usaha sungguh-sungguh. Lepas ini, kamu cubalah tinggalkan semua perkara negatif yang mempengaruhi gaya hidup kamu itu. Jangan bergaul dengan budak-budak degil dekat luar sana kalau kamu nak berjaya," sambung Sakinah.

Khalif menggumam perlahan sebagai balasan. Dia melangkah keluar dari bilik untuk ke meja makan dan meninggalkan ibunya berjalan di belakang.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now