BAB 15

52 8 34
                                    

BAJU kemeja yang selalu dipakai oleh Syah diambil dari ampaian untuk digosok. Kasihan pula dia lihat abangnya yang kepenatan setelah pulang dari kerja.

Telefonnya tiba-tiba berbunyi. Nama Syah yang tertera pada skrin membuatkannya pelik. Pada waktu bekerja juga si abang sempat melihat telefon dan membuat panggilan.

Salam diucapkan terlebih dahulu sebelum menyoal.

"Abang? Ada apa?" soal Syahidah.

"Idah, abang balik lambat ya malam ini. Tak payah tunggu abang. Lepas itu, Idah tak payah masak banyak-banyak. Abang makan luar saja, okey?" Syah memberitahu adiknya awal-awal. Dia tidak mahu Syahidah menunggunya terlalu lama.

"Okey, abang. Haa, abang boleh pula call Idah sekarang? Tak ada pesakit ke? Ponteng eh..." Sengaja Syahidah mengusik abangnya sambil tergelak tanpa bunyi.

"Mana ada... Abang tak ada pesakit lah. Suka-suka saja cakap orang ponteng! Hm!" Syah mengomel sendiri dengan nada rajuk.

Syahidah ketawa terbahak-bahak.

"Abang ingat comel sangat ke buat macam itu? Nak Idah cubit abang?" Kalaulah si abang itu ada di depan matanya, pasti dia sudah cubit-cubit lengan itu.

"Tak adil lah main cubit-cubit... Sakit tahu!" Syah berkerut dahi. Dua orang jururawat yang lalu di hadapannya tersenyum-senyum sambil memandangnya.

Syah menunduk segan.

"Abang letak dulu lah. Nanti abang telefon kalau ada apa-apa. Okey?" Syah ingin mengundur diri.

"Okey, abang. Assalamualaikum," ucap Syahidah. Syah menjawab salam sebelum memutuskan panggilan.

"Doktor berbual dengan siapa itu? Buah hati ke?" soal salah seorang jururawat. Tercengang Syah dibuatnya.

"Sejak bila pula saya ada buah hati? Saya berbual dengan adik saya. Kenapa cik?" Syah bercakap tanpa memandang wajah kedua jururawat wanita tersebut meskipun dari luaran orang lain akan kata dia melakukan hal sedemikian. Sebaliknya, dia menatap dinding di belakang dua jururawat itu sahaja.

"Tak ada apa-apa... Cuma, manalah tahu doktor dah ada girlfriend. Yalah, doktor kan segak, mesti senang orang perempuan terpikat." Syah terdiam sejenak.

"Ada-ada saja cik ini. Err... Saya pergi dulu ya. Assalamualaikum." Syah melarikan diri daripada dua jururawat tadi. Dia risau lebih banyak pertanyaan yang diajukan kepadanya jika berlama-lama di situ.

"Waalaikumussalam..." jawab kedua mereka serentak.

"Malu-malu kucing pula Doktor Syahir itu," ujar salah seorang daripadanya.

- - -

LIMA keping wang kertas bernilai RM100 dihulurkan kepada Wafiq. Tangan Hilman agak bergetar saat itu. Tiga ratus ringgit daripada itu merupakan wang hasil titik peluhnya bekerja di restoran untuk bulan tersebut sudah lesap.

"Baguslah. Hutang kau dengan aku pun dah selesai. Jadi, lepas ini aku harap orang macam kau boleh berhati-hati sikit masa bawa motor." Wafiq memberikan sedikit pesanan. Hilman mengangguk kecil.

"Kejap. Muka kau ini lebih kurang sama macam..." Fikiran Wafiq mula mengimbas kembali memori yang lalu.

"Halim. Bekas suami kepada isteri aku sekarang. Kau anak dia ke?" tanya Wafiq.

"Ya, saya." Perlahan saja nada suara Hilman.

"Oh, kau lah budak yang menangis bila aku bawa mak kau keluar daripada rumah itu? Kau budak comel yang sedih-sedih sambil peluk abah kau?" Wafiq menggunakan nada sedih ketika menutur kata. Sengaja mahu mengejek Hilman.

Hilman menggenggam penumbuk sambil matanya menekur lantai.

"Apa cerita ayah kau sekarang? Dah mampus ke dia itu? Harapnya macam itulah. Cuma... Aku nak minta tolong kau sesuatu. Cakap dekat Halim, aku dah dapat isteri dia, dan aku dah buktikan yang aku boleh bagi Laila sepenuh kebahagiaan. Boleh?" Dia merapati Hilman bersama senyuman sinis.

Dengan sepenuh kekuatan, Hilman menghadiahkan sebuah penumbuk sulung ke wajah Wafiq. Terteleng sebentar muka lelaki itu dibuatnya. Hilman menarik kolar baju Wafiq dengan kasar.

Tiada secalit pun senyuman pada roman mukanya.

"Mulut kau itu jaga sikit! Tak payah nak merendahkan abah aku. Hidup kami sekeluarga, jauh lebih bahagia daripada hidup kau. Abah aku boleh bahagiakan aku dengan adik. Kalau tak ada isteri kau pun, kami tetap gembira sama-sama." Hilman menolak tubuh Wafiq ke belakang sehingga terjelepuk jatuh di atas lantai pejabatnya.

Dua orang pengawal keselamatan datang untuk mengawal keadaan. Mereka menjauhkan Hilman daripada Wafiq agar tiada apa-apa perkara yang lebih teruk berlaku.

"Hey, budak! Kalau dah hidup miskin, tak payah cakap dengan aku soal kebahagiaan lah. Sebab orang yang tak ada duit, mana pernah gembira dalam hidup?" Wafiq memandang Hilman atas bawah.

"Tak guna!" Hilman ingin melayangkan satu lagi penumbuk, tetapi sempat dihalang oleh pengawal.

"Aku harap, Allah bagi balasan yang setimpal dekat kau atas semua ayat penghinaan yang kau lemparkan dekat keluarga aku. Tunggu sajalah," tutur Hilman.

Tidak mahu menatap wajah yang dibenci itu, dia terus melangkah pergi dari pejabat tersebut. Bertikam lidah dengan orang yang bermulut longkang memang menyakitkan hati.

Hilman pun pulang ke rumah dengan hati yang dilanda amarah yang meninggi.

"Umur baru setahun jagung dah pandai kurang ajar dengan orang. Bapak tak ajarkan adab agaknya..." monolog Wafiq. Dia menepuk-nepuk seluarnya yang sedikit berhabuk lalu masuk ke dalam pejabatnya semula.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now