SPECIAL CHAPTER

154 11 28
                                    

PINTU bilik chalet itu dibuka Syahidah. Dia baru sahaja selesai mandi dan bersiap-siap setelah Hilman menariknya masuk ke dalam laut tadi. Habis pakaian dan stokin yang baru dipakai tak sampai beberapa minit itu basah kuyup.

Aman yang sedang duduk di hadapan khemah kecil di luar itu ditegurnya.

"Aman, boleh tolong kakak sekejap tak?" soal Syahidah. Aman pastinya terus mengangguk.

Dia benar-benar bersemangat untuk membantu sesiapa yang inginkan pertolongan.

"Tolong kakak ambilkan bekas yang ada daging perap dekat meja itu, then bagi pada Abang Syah. Dia orang dah mula nak bakar-bakar nampaknya," kata Syahidah.

"Betul juga. Okey, kak. Serahkan semuanya pada Aman!" Senyuman bangga ditayangkan sebelum dia melangkah ke arah meja lipat di bawah pohon rendang.

Di situ, memang tempat Syahidah, Riana dan Naura menyiapkan bahan-bahan masakan untuk digunakan sepanjang tempoh percutian mereka.

"Sayang!" Hilman memanggil Syahidah dari jauh sambil berlari-lari.

Lantas si isteri itu menyilangkan tangan ke dada lalu berpaling melihat arah lain.

"Janganlah merajuk. Abang tak buat lagi macam itu. Janji!" Tangan kanan dinaikkan persis sedang berikrar.

"Abang tipu." Syahidah membalas senada. Dia masih tidak berpuas hati atas tindakan Hilman tadi.

Ingin saja mengadu pada Syah, tetapi dia sedar dirinya itu sudah bersuami. Nanti digelar mengada-ngada pula!

"Ya. Abang janji... Ini, sayang. Jom kita duduk sana. Dia orang semua duduk situ," pujuk Hilman.

Pipi Syahidah dicuit perlahan. Pantas ia bertukar kemerahan.

"Yalah, Encik Hilman. Saya menerima pujukan encik itu," ujar Syahidah. Hilman mengukir senyuman manis.

Dia memegang tangan kanan Syahidah lalu membawanya ke tempat mereka yang lain berkumpul. Masing-masing sedang sibuk menyiapkan bahan untuk barbeku.

Keduanya duduk di atas kerusi lipat sambil memerhatikan pemandangan indah di Laut Cina Selatan itu.

"Tengok itu, dah berapa tahun jadi pasangan suami isteri... Dah ada anak pun, tapi tetap bermanja-manja macam baru kahwin semalam." Syahidah memandang ke arah Syah dan Riana yang sedang mengusik sesama sendiri di hadapan dapur gril barbeku.

"Yang sana pula, pengantin baru. Memang tak boleh buat apalah. Romantik dia orang lain macam," kata Hilman.

"Kita yang pengantin tengah-tengah ini, macam mana? Terpaksa tengok sajalah orang lain romantik." Kepala disandarkan pada bahu kekar Hilman.

"Kita ada sisi romantis kita sendiri... Betul tak, sayang?" Dia bermain-main dengan jemari runcing milik Syahidah.

Syahidah mengangguk tanda setuju.

"Idah sayang abang. Forever." Kata-kata Syahidah itu membuatkan senyuman Hilman semakin lebar.

"Abang pun sayang sangat dekat Idah sampai bila-bila," balas Hilman.

Hubungan yang dulunya hanya diikat dengan tali persahabatan, kini diikat dengan ikatan pernikahan.

Tiada lagi batasan di antara mereka. Tiada lagi yang boleh menjadi penghalang kepada mereka untuk menzahirkan rasa cinta.

"Sayang tahu tak-"

"Man! Giliran kau pula bakar daging ini! Aku nak rehat," laung Khalil.

Hilman mengerutkan dahi tanda geram.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now