BAB 27

49 7 22
                                    

HANYA senyuman nipis saja yang menghiasi bibir Helmi semasa mengambil kad laporan tadi. Dia masih terkesan dengan apa yang berlaku sebelum ini.

Hilman mengusap belakang si adik agar diberi ketenangan. Maklumlah, ini pertama kali dia disergah begitu oleh insan yang bergelar ibu.

Berbeza pula dengan Hilman yang sudah biasa dengan sikap Laila sejak perjumpaan mereka di hospital dua tahun lalu.

Bahkan, sewaktu Laila ingin keluar dari rumah setelah berpisah dengan Halim juga dia pernah ditolak kasar oleh wanita itu kerana ingin memeluk tubuhnya.

"Adik... Nak air tak?" soal Hilman. Helmi menggeleng sebagai balasan. Mulutnya seakan-akan terkunci rapat.

"Minumlah sikit. Bibir adik dah kering itu," pujuk Hilman. Dia tahu adiknya itu akan termakan dengan pujukannya.

Air kotak berperisa coklat yang sejuk itu dihalakan kepada Helmi. Si kecil itu tetap dengan pendiriannya. Hilman melepaskan nafas berat.

"Kan abang dah cakap, jangan fikir sangat fasal tadi itu. Perangai mama memang dah lain. Dia dah tak mengaku kita ini anak dia lagi, adik." Bulir bening yang mulai turun dari birai mata Helmi diseka lembut oleh si abang.

Hilman menjatuhkan pandangan ke arah tasik buatan yang luas itu. Sengaja dia bawa Helmi ke tempat seperti itu untuk mendamaikan fikiran dan hati yang sakit meskipun dia tahu hanya abahnya saja yang dapat memujuk hati kecil Helmi yang terluka ini.

"Sayang, kenapa makan kek sampai comot mulut ini? Kan mama suruh adik minta tolong abang suapkan..."

"Adik apar. Abang itu syibuk main saja!"

"Yalah, yalah... Biar mama suapkan baby mama yang comel ini ya?"

Memori pendek yang lalu di layar minda itu membuatkan tangisan Helmi semakin menjadi-jadi.

"Adik benci mama! Adik benci!" hambur Helmi. Dia ditarik masuk ke dalam pelukan Hilman. Kehangatan tubuh Hilman sedikit sebanyak dapat menyalurkan kekuatan kepadanya.

Helmi memencilkan diri di dalam pelukan Hilman. Haruman kasturi kijang menusuk hidung Helmi saat itu. Dia kini terasa lebih tenang daripada sebelumnya.

"Adik, tenang. Istighfar, selawat banyak-banyak. Jangan cakap macam itu... Tak baik. Walau macam manapun, kita tak boleh benci orang yang dah bersusah-payah lahirkan kita. Kita tetap seorang anak dan tak ada sesiapa dapat mengubah semua itu. Faham?" Ubun-ubun kepala si adik diusap dengan penuh kasih sayang.

"Berhenti menangis. Abang nak adik senyum," tutur Hilman. Dia meleraikan pelukan tersebut. Air mata yang deras menuruni kelopak mata Helmi terus dikesat.

Helmi menayangkan senyuman nipis. Hilman pula bertindak menyikat rambut yang kusut milik Helmi dengan tangan. Kolar baju sekolah yang tidak kemas itu dielokkan semula.

"Kan segak! Macam ini baru namanya adik kesayangan abang!" puji Hilman bersama senyuman ceria.

"Abang, nak air." Helmi menghalakan jari telunjuk ke arah air kotak di sebelah kiri Hilman.

"Tadi berlagak masa abang bagi. Sekarang baru nak minta," kata Hilman, sengaja mengusik.

"Tadi lain, sekarang lain. Nak..." rayu si kecil itu. Hilman tergelak-gelak saat menghulurkan air kotak itu.

"Cengeng punya budak." Pantas Helmi menghadiahkan tamparan pada paha abangnya. Geram!

"Dahlah, jom balik. Abah tunggu dekat rumah itu." Hilman bangkit dari tempat duduk dan pergi membuang botol air mineral yang telah kosong ke dalam tong sampah.

Helmi pula meluru ke arah motosikal abangnya sambil membawa air kotak di tangan kanan. Mereka akhirnya pulang ke rumah.

— — —

KERTAS slip keputusan peperiksaan pertengahan tahun ditunjukkan kepada Halim. Tersenyum lebar Halim dibuatnya.

Huruf A pada setiap matapelajaran itu cukup membuatkan hatinya terharu dengan anak bongsunya.

"Tahniah, adik. Abah bangga dengan keputusan ini. Nanti untuk peperiksaan akhir tahun, buat betul-betul. Dapatkan markah yang terbaik. Abah nak, dua-dua anak abah ini berjaya. Bukan saja di dunia, di akhirat pun sama. Boleh?" Pandangan ditalakan pada wajah Helmi.

Si kecil itu mengangguk tanda faham. Hilman pula hanya berdiam diri. Dia tidak mahu mengganggu abah dan adiknya berbual.

"Man, senyap saja. Ada apa-apa yang nak diceritakan dekat abah?" Baru saja dia memasangkan niat untuk tidak mengganggu, abahnya sudah menegur.

"Tak adalah, abah. Hilman cuma tak nak menyampuk," jelasnya. Halim tertawa kecil.

"Ada pula macam itu? Ini, macam mana dekat kelas tadi? Okey?" Soalan tersebut dibalas dengan anggukan kepala dari Hilman.

"Macam biasalah, abah. Bosan sikit saja sebab tak jumpa Khalil dengan Syahidah hari ini... Khalil demam, Syahidah pula duduk dengan kawan-kawan dia." Dia mengadu kepada Halim.

"Biarlah Syahidah nak duduk dengan kawan-kawan dia. Takkan dia nak duduk dengan kamu berdua saja. Kan tak selesa itu," ujar Halim.

"Itulah... Kalau Khalil ada pun, Syahidah cuma berbual sekejap saja. Abang dia pun tak bagi dia terlalu rapat dengan budak lelaki. Man faham sangat, sebab itu Man tak kisah." Hilman senyum.

"Baguslah kalau begitu. Satu saja abah nak nasihat, jangan sampai tali persahabatan yang terbina antara kamu dengan Syahidah itu mengundang fitnah. Susah nanti." Kata-kata Halim itu membuatkan Hilman menelan liur kelat.

Dia teringat akan kata-katanya ketika Aina menghulurkan hadiah ketika di sekolah menengah dahulu.

"Saya dan Syahidah tak terlalu rapat. Dia pun jaga batas pergaulan dengan lelaki. Saya kenal dia lebih awal daripada awak kenal dia. Ambil semula hadiah ini. Maaf, saya tak nak ia membawa fitnah ke atas kita berdua."

"Man?" Panggilan daripada abahnya itu menyentakkannya daripada lamunan.

"Betul lah apa yang abah cakap itu. Man akan jaga batas pergaulan antara kami berdua. Insya-Allah, tiada apa yang akan berlaku." Senyuman nipis menghias bibirnya.

"Yalah..." balas Halim.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now