BAB 47

57 9 18
                                    

KAKI mengorak langkah ke arah Khalil yang sedang fokus melihat skrin telefon.

"Assalamualaikum." Syah dan Syahidah mengucapkan salam secara serentak.

Khalil mengalihkan pandangan kepada mereka. Bibirnya menjawab salam tersebut perlahan bersama senyuman kecil. Wajah Khalil jelas menunjukkan bahawa dia tidak cukup rehat.

Khalil dan Syah saling bersalaman manakala Syahidah pula meluru ke arah Sakinah untuk bersalaman.

"Syahidah, kan? Ya Allah, bila mak cik tengok muka kamu, teringat pula dekat arwah Syafiah." Mereka membalas pelukan sesama sendiri.

"Mak cik apa khabar?" soal Syah. Sakinah tersenyum manis.

"Alhamdulillah, sihat," jawab Sakinah. Syahidah dan Syah mengucapkan tahmid secara berbisik.

"Ayah ada dekat dalam abang. Masuklah," ujar Khalil, sopan. Syah mengangguk perlahan.

Dia mengikuti langkah Khalil memasuki wad tersebut. Manakala Syahidah duduk di sebelah Sakinah untuk berbual mesra bersama.

Pelbagai perkara diceritakan oleh Sakinah kepada Syahidah. Syahidah pula tekun mendengarnya. Disebabkan itu, dia dapat tahu kesemua yang berkaitan keluarga arwah ayahnya.

"Keluarga belah arwah ayah kamu seboleh-boleh nak jaga kamu berdua, sampaikan masa mak cik nak jaga kamu, mereka halang. Rupanya, mereka nakkan harta saja. Lepas itu, mereka tinggalkan kamu berdua dekat rumah anak yatim." Kekura tangan kanan Syahidah diusap-usap.

Ia secara tidak langsung membuatkan Syahidah sebak. Baginya, cukuplah dengan usapan daripada Sakinah meskipun dia tidak sempat mendapat semua itu daripada ibu kandungnya sendiri.

"Tak apalah, Idah. Abaikan saja semua itu. Mak cik rasa gembira sangat lepas dapat jumpa kamu," kata Sakinah. Syahidah mengukir senyuman manis.

— — —

"KHALIL, aku minta maaf sangat-sangat. Aku tak patut fikir kau buat benda bukan-bukan dekat Syahidah. Sorry, Khalil." Hilman benar-benar menyesali perbuatannya terhadap Khalil.

"Tak ada apalah, Man. Aku tak ambil hati pun. Cuma, kenapa kau tak percaya cakap aku?" Khalil melabuhkan duduk di atas bangku taman permainan di wad kanak-kanak.

"Aku terlalu ikutkan rasa cemburu. Maaf, Khalil." Hilman menunduk ke bawah. Dia menukar kedudukan telefonnya ke telinga kiri.

Khalil tergelak halus.

"Dengan aku pun, kau nak jealous. Kan aku dah kata yang aku dengan Idah itu sepupu... Buat apa aku nak suka dia. Man, Man... Dahlah, jangan rasa bersalah sangat. Aku tak marah pun." Khalil menyandarkan tubuhnya pada badan kerusi.

"Kau ini sebenarnya ada satu masalah... Trust issue. Kau kena ubah semua itu, Man. Tanamkan kepercayaan dalam hati itu bila berdepan dengan orang. Jangan pukul rata cakap semua orang tak boleh dipercayai dan ada niat tak baik. Eh, ini aku bagi nasihat saja tau! Kau jangan marah aku pula," sambung Khalil.

"Terima kasih, Khalil. Sebab nasihatkan aku," ucap Hilman.

"Sama-sama. Tak ada hal lah... Kau kan sahabat aku," balas Khalil.

Sejurus selepas itu, panggilan mereka ditamatkan. Khalil bergerak ke wad yang menempatkan ayahnya semula. Dalam hati, dia tidak sabar untuk menunggu keputusan ujian pemeriksaan berkaitan pemindahan buah pinggang itu.

Dia berharap sangat agar buah pinggangnya sesuai dengan ayahnya. Sekurang-kurangnya, adalah sesuatu yang dia dapat lakukan untuk membalas jasa ayahnya yang tidak ternilai itu.

— — —

SYAH menyeluk poket seluar dan mengeluarkan sedikit wang. Dia berniat untuk membantu Khalil dan keluarganya meskipun jumlah itu tidak terlalu besar dan tidak cukup mana untuk membiayai kos pembedahan tersebut.

"Lil... Abang dengan Idah nak balik dah ini. Abang doakan ayah Khalil cepat-cepat sembuh." Dia berjabat tangan dengan Khalil. Wang itu dia selitkan bersama ketika bersalaman.

"Abang, apa ini?" Khalil menyoal.

"Ambil saja. Abang tak dapat bagi banyak, tapi harapnya cukup untuk tampung kos itu." Bahu Khalil ditepuk lembut.

"Terima kasih, bang," ucap Khalil. Syah tidak membalas dengan kata-kata tetapi dia hanya mengangguk perlahan.

Syahidah juga berbuat sama. Dia memberikan sedikit wang kepada Sakinah atas niat untuk membantu. Sakinah pada awalnya menolak, tetapi setelah dipujuk oleh Syahidah, dia akur jua.

"Mak cik pun kena jaga kesihatan juga. Tak usah terlalu banyak berfikir, nanti mak cik pula yang tak sihat," tutur Syahidah, lemah-lembut.

"Macam-macam mak cik kena fikir Idah... Dengan Khalif yang asyik buat hal lagi. Entahlah, mak cik cuma harap yang dia akan berubah saja." Syahidah menyengguk kecil tanda setuju.

"Insya-Allah, mak cik. Idah pun harap macam itu." Syahidah mengucup tangan Sakinah sebelum mendekati abangnya.

"Kami balik dulu ya. Assalamualaikum..." Ucapan salam itu dijawab oleh Khalil dan Sakinah. Mereka menghantar pemergian kedua beradik itu dengan pandangan mata.

"Dua-dua saling tak tumpah macam arwah ibu dengan ayah dia orang," jelas Sakinah.

"Betul itu, ibu." Khalil senyum.

MENANTI KAMU 2 [C]Where stories live. Discover now