Bab 25

140 10 2
                                    

TENGKU Jahran menyandarkan belakang tubuhnya di kerusi. Pen di jari dipusingkan beberapa kali. Fikirannya melayang teringatkan gadis bernama Tiara Camellia. Kerjanya tergendala disebabkan oleh gadis itu. Sesekali wajah cantik Tiara datang menerjah ke dalam benak fikirannya. Selak dokumen nampak muka Tiara, minum air nampak muka Tiara. Dimana-mana saja nampak wajah Tiara. Tengku Jahran menggeleng kepalanya berulang kali. Jangan jadi gila, Ran.

Ketukan pintu mengganggu lamunan Tengku Jahran, membuatkan lelaki itu kembali ke dunia nyata. Dengan pantas, dia memperbaiki posisi duduknya. Tubuhnya ditegakkan.

"Termenung apa tu?" Sapa Syed Riyaz bersama sengihan panjang pada wajahnya. Dia melangkah masuk ke dalam bilik pejabat lelaki itu. Syed Riyaz melihat Tengku Jahran yang sedang membetulkan lengan bajunya. Nak coverlinelah tu.

"Teringatkan bakal isteri ke?" Usik Syed Riyaz. Dia memandang Tengku Jahran bersama kening yang dijoget. Sewaktu Tengku Jahran memberitahu mengenai perkara tersebut, mahu gugur juga jantungnya akibat rasa terkejut yang melampau. Sepanjang dia mengenali lelaki itu, tidak pernah sekali pun Tengku Jahran bercerita mengenai perempuan. Kali ini lain pula jadinya. Lagi mengejutkan dia apabila majlis akan berlangsung beberapa minggu saja lagi. Sangat tidak sabar.

Tengku Jahran menjeling ke arah Syed Riyaz. Bibirnya masih tertutup rapat, malas mahu membalas setiap bait bicara sahabat baiknya itu.

"Dato' Tahir macam mana? Dia setuju ke?" Soal Syed Riyaz setelah tiada balasan daripada Tengku Jahran. Dia memandang ke arah Tengku Jahran yang sedang meneliti dokumen di tangannya. Lagak seperti orang terpaling sibuk.

"Walau macam mana sekalipun, dia tetap kena setuju." Balas Tengku Jahran tanpa nada. Jangankan si anak, si bapak turut dipaksa untuk bersetuju.

Syed Riyaz menggeleng perlahan. Pening dia dengan sikap Tengku Jahran.

"Pelik betullah kau ni."

Berkerut dahi Tengku Jahran apabila sahabat baiknya berkata seperti itu. Dia tidak dapat menghadam maksud yang ingin disampaikan oleh lelako itu.

"Apa yang pelik?" Soalnya sambil memandang ke arah Syed Riyaz yang sudah duduk di kerusi yang berada di hadapannya.

"Kaulah pelik. Tak pernah-pernah cakap soal kahwin. Dengan Tiara pulak tu." Balas Syed Riyaz. Suaranya senada saja. Mimpi apa lelaki itu sehingga mengambil keputusan sedrastik ini?

"Nak bagi dia rasa ada keluarga yang lengkap." Balas Tengku Jahran bersama wajah tanpa perasaan. Hanya sekadar alasan atau...?

Dahi Syed Riyaz mula berkerut.

"Bukan sebab kau dah mula sayangkan dia ke?" Teka Syed Riyaz. Wajah beku lelaki itu dikerling sekilas. Alasan macam tak logik saja.

Tengku Jahran diam. Sayang? Dia tidak pernah ada rasa seperti itu terhadap gadis itu. Syed Riyaz sudah menyungging sinis. Dia menggaru hidungnya buat seketika.

"Apapun selamat pengantin baru, sahabat. Moga terus kekal hingga ke anak cucu cicit cucit." Ucap Syed Riyaz. Entah ikhlas ataupun tidak. Tidak lama lagi, lelaki itu akan berkeluarga. Cepatnya masa berlalu. Rasa seperti baru semalam mengenali Tengku Jahran. Kedengaran seperti klise tetapi dia tumpang gembira dengan lelaki itu. Entah bila pulalah giliran dia untuk beristeri. Bosan hidupnya apabila sudah lama membujang. Nak juga merasa ada isteri.

Tengku Jahran mengeluh perlahan. Pelipis kening diurut perlahan.

"Ada apa kau datang sini?" Soal Tengku Jahran setelah agak lama mendiamkan diri. Syed Riyaz bagaikan baru tersedar. Hampir terlupa dia dengan tujuan asal datang ke pejabat lelaki itu. Syed Riyaz tersengih lagi.

"Oh haa. Malam ni kau free tak?" Sengaja Syed Riyaz menyoal walaupun hakikatnya dia tahu lelaki itu tidak pernah mempunyai masa lapang. Masanya dihabiskan dengan urusan kerja saja. Hidup dan matinya hanya dengan kerja. Mujurlah Tiara muncul di dalam hidup Tengku Jahran, nampaklah berwarna-warni sikit hidup lelaki itu.

Mysterious One: T.J. (ONGOING)Where stories live. Discover now