Bab 32

546 14 2
                                        

TIARA terjaga selepas mendengar bunyi jam loceng di telefon pintarnya. Jam tersebut dimatikan sebelum dia menggosok kelopak matanya sebelum bangun dari pembaringan.

Eh? Tiara tercengang. Mata ditonyoh sekali lagi. Pandangan yang tadinya samar-samar kini sudah kembali jelas. Tiara memandang ke segenap ruang. Dia berada di dalam bilik? Seingat Tiara, semalam dia berada di dalam bilik teater dan dia tertidur di situ. Tetapi macam mana dia boleh berada di dalam bilik dan tidur di atas katil sendiri?

Dahinya berkerut. Pelik. Siapa yang angkat dia semalam? Tengku Jahran? Mustahillah lelaki itu. Dia berani kerat jari kalau lelaki itu yang mendukung dia naik ke dalam bilik. Hantu? Tiba-tiba bulu romanya berdiri tegak. Rasa seram pula bila bercakap mengenai hantu sebelum masuk subuh ini. Ataupun dia berjalan di dalam mimpi? Ish!

Tiara menggeleng kepala. Tidak mahu memikirkan perkara tersebut. Dia turun dari katil untuk mengambil wuduk. Entah di mana silapnya, Tiara tersadung di atas lantai. Gedebush! Seperti nangka busuk jatuh menyembah bumi. Kakinya tersilap mengatur langkah. Itulah orang kata, lepas bangun tidur kena tunggu dulu sebelum nak bangun. Kan tak pasal-pasal dah cium lantai.

"Adoiii!!!" Jerit Tiara agak kuat. Kakinya terasa sakit. Dah kenapa dengan dia pagi ini? Pagi-pagi lagi dah dapat sakit. Buku lali dipegang. Rasa berdenyut saja. Tiara cuba untuk berdiri. Berjaya tetapi disebabkan sakit yang masih terasa membuatkan dia berdiri tidak utuh. Terjengket-jengket dia ke katil semula.

"Sakitnya." Aduh Tiara sambil memegang kakinya. Agak kemerahan. Wajahnya berkerut menahan kesakitan.

Tok... Tok... Tok...

Ketukan di pintu kedengaran. Tiara memanggungkan kepala ke arah pintu tanpa sahutan.

"Camellia! Are you okay?" Suara Tengku Jahran kedengaran di luar bilik. Kuat sangat ke dia menjerit sehinggakan Tengku Jahran boleh mendengar jeritan dia?

Namun tetap tiada balasan daripada Tiara. Pintu terus dikuak dari arah luar. Tersembul wajah tampan milik Tengku Jahran di muka pintu. Lelaki itu mengenakan T-shirt putih bersama kain pelikat. Mungkin mahu menunaikan solat subuh.

"Kenapa kau menjerit tadi?" Wajah lelaki itu sedikit kerisauan. Dia memandang ke arah Tiara yang sedang duduk di birai katil bersama kerutan di dahinya.

"Saya terjatuh tadi." Tiara mengeluh. Kaki diurut perlahan. Sakit masih lagi terasa.

"Macam mana boleh jatuh?" Tengku Jahran merapati Tiara. Dia mengambil tempat di sebelah isterinya itu.

"Tersadung."

"Macam mana boleh tersadung?" Tiara mengetap gigi mendengar soalan terakhir suaminya itu.

"Kun fayakun." Balas Tiara. Sudahlah kaki berasa sakit, ditambah pula dengan soalan budak tadika negeri mana dia ambil.

Bibir Tengku Jahran menyenget apabila mendengar balasan daripada Tiara.

"Aku ingat nangka busuk manalah jatuh tadi. Risau jugak kalau lantai rumah aku ni retak." Selamba badak saja lelaki itu bercakap. Tiara menjeling tajam ke arah Tengku Jahran.

"Tengok." Terus kaki Tiara ditarik supaya dekat dengannya. Matanya jatuh pada buku lali Tiara yang semakin bengkak. Dia menekan sedikit di bahagian situ.

"Arrghhh!" Menjerit Tiara dibuatnya. Ingin saja tangannya melayang ke arah Tengku Jahran. Main picit-picit kaki orang pula.

"Terseliuh ni." Ujar Tengku Jahran. Dia mengurut perlahan kaki Tiara. Tiara hanya diam. Matanya sesekali melirik ke arah Tengku Jahran. Ini kali pertama dia melihat lelaki itu mengurut. Tidak menyangka Tengku Jahran pandai mengurut juga. Ingatkan pandai memerintah saja.

Mysterious One: T.J. (ONGOING)Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang