BAB 1

43 5 0
                                    

BAB 1

"HUH, lelaki semuanya sama! Lepas puaskan nafsu, tak nak bertanggungjawab. Dah buntingkan adik aku, dia buat bodoh je. Dasar jantan tak guna, jantan dayus!"

"Eh, Cik Flora! Kalau tak kerana adik kau yang goda dan menyondol pada dia, benda ni tak akan terjadi. Sendiri tak tahu jaga diri, lepas tu nak salahkan adik kita pula!"

Adik kami — Salmah dan Bubu — hanya memandang dengan riak polos. Terkebil-kebil mata mereka. Aneh mungkin melihatkan kakak dan abang mereka bertekak di luar rumah. Mujur saja rumah kami jauh dari rumah jiran lain.

Maklumlah, duduk di kawasan kampung ... rumah jarak-jarak. Rumah kami aje yang tak mengamalkan SOP. Dibina sebelah-menyebelah.

"Apa kamu berdua ni? Dah namanya pun kucing! Memang mengawan je kerjanya." Ibu menjenguk dari pintu rumah. Sebelah tangan pegang senduk, sebelah lagi cekak pinggang. Tak tahan agaknya dengar suara kami bertekak semedang. Pasti ibu nak memasak pun tak senang.

Serta-merta itu, ibu kupandang. Muka cemberut bersama bibir yang dijuihkan. Hati tentunya ingin meradang.

"Siapa nak bertanggungjawab pada Salmah ni, ibu? Nak jaga dia seekor pun semput tau. Siapa nak jagakan anak dia selepas dia beranak nanti?"

"Bagi saja anaknya pada orang lain. Ramai dekat luar tu mahukan kucing. Nanti kamu letaklah iklan dalam Facebook." Mudah sekali jawapan ibu.

Aku geleng beberapa kali. "Eee, tak boleh! Kejamlah pisahkan ibu dan anak. Kalau tak kerana Bubu punya angkara, Salmah takkan bunting."

"Tak habis lagi nak salahkan adik aku! Adik kau tu yang gatal." Hanan berdecit keras. Mencerun matanya memandang. Jelas tak berpuas hati dengan kenyataanku.

"Sudah ... asyik nak bertekak aje kerjanya. Flora, bawa Salmah masuk dalam. Jangan nak menyusahkan Hanan dengan karenah kamu." Ibu mengeluarkan arahan veto. Tangannya yang memegang senduk dari tadi, dihayunkan beberapa kali. Jelas sedang beri amaran. Gambaran kepadaku; jika aku berani membangkang kata, pasti tangkai senduk itu dihunus ke mata!

Aku jeling Hanan dengan ekor mata. Lelaki itu tarik senyuman sinis. Sukalah tu ibu berada di pihaknya.

Ibu pun satu hal. Asyik nak sebelahkan si Hanan aje. Mana satu anak kandung sebenarnya? Anak jiran pula ditatang bagai minyak penuh. Sepenuh jiwa, lebih tepatnya! Huh, menyampah!

"Flora Humairah!" seru ibu lagi. Kali ini berserta nama penuhku. Mujur tak disekalikan dengan binti. Jelaslah bahawa itu merupakan amaran terakhir. Dengan pantas aku dukung Salmah dan ligat masuk ke dalam rumah. Kucing Parsi kesayanganku itu pula hanya diam membisu.

Sempat lagi aku panahkan jelingan tajam pada Hanan untuk kesekian kali. Beri tanda-tanda bahawa perbalahan kami masih tak berakhir. Tunggu episod dua nanti! Hanan dan adik pungutnya si Bubu, akan aku sembur sehabis hati. Bila aku jeling, Hanan hanya tayang sengihan sinis. Langsung tak tergugat walau sekelumit.

"Usah dilayankan sangat si Flora tu, Hanan. Kamu bawa Bubu masuk." Dari ruang tamu, aku dengar suara ibu berbual dengan Hanan. Makin panjang muncungku. Tak puas hati.

Selalunya memang begitu. Jika aku bertekak dengan Hanan, ibu pasti menyebelahi dia. Benci betul. Situasi tak pernah berubah sejak aku kecil. Asyik Hanan, Hanan, Hanan!

Siapa Hanan? Hanan itu jiran kami. Dia sebaya aku. Mungkin sebab itu kami selalu bertekak. Dari kecil kami memang tak sebulu ketiak mahupun bulu kaki. Dialah tunggak utama kalau ibu nak banding-bandingkan aku. Kamu tengoklah Hanan tu ... Kenapalah tak jadi macam Hanan? Hanan budak baik ... dan bla bla bla. Serabut!

Sebab itulah aku anti dengan Hanan. Setiap kali nampak muka dia, pasti darah aku mendidih bagai nak gila. Semuanya gara-gara perangai Hanan yang suka cari fasal. Belum lagi bab dia buka mulut dan keluarkan segala ayat puaka kelas satu dia tu. Buatkan kepalaku rasa hendak meledak persis gunung berapi Irazu.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now