BAB 20

30 5 0
                                    

BAB 20

"AH, comelnya! Macam Salmah!" Lukisan berlatar belakangkan suasana musim luruh di bawah langit biru. Di atas longgokkan daun-daun kuning yang berguguran itu, terdapat seekor kucing Parsi berwarna putih. Sedang tertidur pulas.

"Tapi Salmah lebih kecil." Hanan turut memberi komen.

"No. Badan Salmah lebih kurang saiz kucing ni la," kata Flora. Masih tak mengalihkan pandangan pada lukisan yang dipamerkan, "Itulah ... siapa suruh lama sangat tak pulang ke Malaysia? Sampaikan terlepas tengok tumbesaran Salmah. Bubu pun makin gemuk tau."

Hanan diam. Asal dia buka mulut saja, pasti dia akan disindir.

"Tak terkilan ke? Terlepas pandang pada sesuatu yang kau sayang. Gigi depan Bubu semuanya dah patah tau. Tinggal gigi taring dia je. Salmah pula dah tak segarang dulu. Mungkin dia penat nak marah-marah sebab dah tua." Flora bercerita. Memaklumkan pada Hanan beberapa perkara yang berlaku sepanjang ketiadaannya.

Hanan menoleh, melihat isterinya yang berdiri di sisi. Beberapa saat dia berdiam diri. Menilik wanita itu dari atas kepala hingga ke hujung kaki.

"Terkilan jugalah. Kali terakhir aku tengok, mata dia masih bersifat polos. Suara dia masih nyaring. She was reckless. Tak peduli dengan keadaan sekeliling. Banyak bercakap. Tapi sekarang, mata dia nampak matang. Suaranya lebih datar dan lembut. Personalitinya lebih tenang dan dia banyak diam memerhati keadaan sekeliling. Aku rasa macam bertemu seseorang yang baru."

Flora teguk liur. Kelat.

Bukan Hanan saja yang rasa seperti itu. Jika mahu bercakap soal terkilan, Flora turut merasakannya. Empat tahun bukanlah tempoh sekejap walaupun dia merasakan waktu berlalu sekelip mata. Masa tidak pernah berhenti berjalan. Dalam pada dia bernafas ini pun, masa tetap berlalu.

Dan dalam tempoh empat tahun itu, pelbagai perkara berlaku. Bayi menjadi kanak-kanak, kanak-kanak menjadi remaja dan remaja menjadi dewasa. Seperti anak sungai yang sering berubah, Hanan dan Flora turut menjalani fasa itu. Fasa perubahan hidup yang menjurus kepada perubahan personaliti dan gaya berfikir. Segalanya seakan berbeza.

"Dia juga makin sensitif. Mata tu ... asyik nak bergenang aje."

Hanan mengusap ibu jarinya ke pelupuk mata Flora apabila sedar akan pandangan isterinya yang mula berkaca. Wanita itu tidak menolak. Hanya membiarkan jari suaminya turun ke pipi, mengusap lembut tepi bibirnya pula. Sentuhan kasih yang sudah sekian lama Flora tidak rasakan.

"Dia masih menangis setiap malam. Even until now. Kalau itu yang kau mahu tahu." Flora menambah kenyataan Hanan.

Hanan terkesan. Masih segar di ingatannya saat-saat dia menjadi peneman tangisan wanita itu setiap malam. Selama dua bulan berturut-turut sebelum Hanan pergi meninggalkan bumi Malaysia.

Justeru pada malam pertama dia berada di kota London, Hanan bagai tercari-cari kelibat isterinya. Kerisauan yang bertandang dalam hati benar-benar memberatkan dada. Bagaimana kalau Flora menangis lagi malam itu? Siapa yang akan menemaninya? Siapa yang akan mengusap tangisnya? Siapa yang akan menunggu sehingga dia lena?

Tipulah kalau Hanan kata tiada penyesalan dalam tindakannya. Dia risau. Dia resah. Dia rindu. Emosi yang bercampur-baur itu bukan senang untuk dia hadap. Meskipun begitu, dia kuatkan hati. Hanan yakin Flora akan lebih tenang tanpa dia di sisi.

Hanya di awal perpisahan bakal menyakitkan. Hari-hari seterusnya, Flora akan lebih bahagia. Itu tanggapannya.

Tapi kenapa ... Flora menyatakan sebaliknya?

"Kau pun banyak berubah, Hanan."

"Iya ke?"

Flora angguk.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now