BAB 9

16 3 0
                                    

BAB 9

TAK tahu bila aku terlelap, sedar-sedar saja, kepala aku kena tunjal dengan Hanan. Dalam keadaan terpinga-pinga, aku pandang sekeliling. Kami berada dalam kereta tetapi kenderaan beroda empat ini sudah diberhentikan. Betul-betul dalam kawasan halaman rumah keluarga Hanan.

Aku pandang tepi. Ada rumah aku.

Jam di dashboard turut ditatap. Pukul 11:47 malam.

Apa ... aku buat dekat sini?

Seketika aku teringatkan sesuatu.

Salmah!

Tanpa menunggu Hanan, aku terus buka pintu dan meloloskan diri dari perut kereta. Pintu rumah tertutup rapat dan pasti berkunci. Aku terus bergerak ke halaman belakang. Bilik stor ada di sana dan pintunya tidak pernah berkunci. Dalam samar-samar lampu halaman, aku terus mendekati daun pintu.

Tombol dipulas dan aku masuk ke dalam bilik stor. Suis lampu ditekan.

Terus mata tertancap pada kotak besar di satu sudut. Ada Salmah di situ.

Bilik stor ini memang tempat lepak Salmah. Bila dia nak mengopi ataupun termenung, di sinilah pilihan utamanya. Ada sebuah pintu yang bersambung dengan dapur tapi pintu itu berkunci. Bahagian bawah itu pula, ayah telah buatkan satu lubang sebagai pintu kecil. Muat-muat saja dengan tubuh Salmah.

"Salmah." Aku menyerunya.

Salmah berpaling lalu mengiau kuat. Dia ke hulu ke hilir dalam kotak besar itu. Aku merapati dengan berhati-hati. Selalunya, kucing tak mahu bersalin depan orang.

"Nak bersalin ke? Kau bersalin je atas lapik ni. Aku tunggu dekat sana." Aku memberitahu sambil membetulkan lapik. Salmah merebahkan tubuh. Usai itu, aku melangkah ke tepi dan duduk bersila. Badan disandarkan pada almari kosong yang dipenuhi dengan tin cat.

Kotak Salmah ada di belakang almari itu. Aku tak mahu memunculkan diri nanti dia tak selesa nak meneran.

Telefon ditatap. Mahu buka aplikasi media sosial sementara menunggu Salmah buat apa yang patut.

"Miau!"

Kedengaran suara Salmah menjerit. Bila aku pandang tepi, dia sedang menapak ke arahku. Paha aku digagau beberapa kali sebelum seluar aku ditarik dengan kukunya.

"Miau! Miau!"

"Kenapa?" soalku.

"Miau!" Salmah menjawab.

"Aku tak fahamlah. Cakap bahasa Melayu boleh tak?"

"Miau!"

"Kau nak aku duduk sana ke?"

"Miau!"

Iyalah agaknya tu. Aku bangun dan duduk di sebelah kotak besar itu. Salmah terus masuk ke dalamnya dan mengiau lirih. Sesekali dia mengubah posisinya. Bahagian punggungnya sedikit terangkat.

Haih, jadi bidan terjun nampaknya aku hari ini.

Aku alihkan pandangan. Tak sanggup nak tengok. Aku takut darah. Nanti tak pasal-pasal aku yang pengsan dekat sini.

Dalam pada aku duduk termenung, entah berapa minit sudah berlalu. Sedar-sedar saja, ada bunyi mencicit. Aku pandang ke arah Salmah. Di tepi kakinya ada dua ketulan daging yang bergerak-gerak. Berwarna merah jambu terang.

Mata ditutup. Ngeri dan ngilu. Sumpah, ini kali pertama dan terakhir aku temankan sesiapa beranak. Lepas ni, aku tak mahu ada kaitan dengan apa-apa perihal bersalin atau mengandung. Aku sendiri tak mahu beranak. Child-free forever.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now