BAB 4

25 4 0
                                    

BAB 4

"NAK makan apa malam ni?"

"Aku nak masak tom yam."

Wah, rajin betul. Macam tak percaya jawapan itu keluar daripada mulut Emma.

"Tapi Maggi tom yam la ..." Emma menjawab sambil memeluk bantal gulingnya. Mata dah mula kuyu. Kalau dibiarkan, mahu terlelap perempuan tu.

Aku berdesis. Dah agak dah. Sengaja betul beri harapan tinggi melangit pada aku. Baru nak terbayang-bayang kuah masam-pedas tom yam di ruang udara. Sekali dia nak masak mi segera pula.

Tak apalah, aku tetap mahu beli tom yam juga malam ni. Emma punya pasal. Siapa suruh sebut menu itu? Datang sudah mengidam aku.

"Jangan tidur lepas asar, Emma." Aku mencuit betisnya.

"Hmm ... mengantuk ..." Emma capai telefonnya. Tindakan yang selalu diambil bilamana dia mahu hilangkan kantuk. Tak sampai beberapa minit, kedengaran bunyi-bunyi asing dari arah telefonnya.

Tengok ASMR atau Mukbanglah tu. Hobi tetap Emma pada masa lapang. Kadang-kadang, dia layan video seperti itu sampai dua, tiga pagi. Lepas tu, meroyan sendiri sebab lapar dan terliur.

Aku keluar dari bilik tidur. Badan segar-bugar setelah mandi air sejuk. Perut pula terasa lapar tapi masih terlalu awal untuk makan malam. Jarum jam terarah pada angka enam. Selalunya aku makan malam selepas maghrib. Mungkin aku patut tanak nasi dan pergi beli lauk dulu sebelum masuk waktu.

Sejurus tiba ke ruang dapur, kedengaran perbualan rancak. Najihah dan Lili; rakan serumah aku. Bergelak tawa macam nak roboh siling. Entah apa yang dibualkan mereka.

Sedar akan kewujudanku, mereka tersenyum lebar.

"Nak masak nasi ke?" Lili menyoal sambil memanjangkan leher.

"Ha'ah. Kau orang makan malam dekat rumah ke hari ni?" tanyaku sambil mencedok beras ke dalam periuk nasi. Kalau mereka makan di rumah, aku mahu masak lebih. Namun, dua gadis itu kerap kali makan di luar. Lebih gemar begitu sebab katanya, mereka serba salah asyik bolot beras aku.

Macamlah aku kesah. Beras ini ibu yang sponsor. Memang niatnya untuk berkongsi dengan rakan-rakan serumahku. Sedia maklum kami semua pelajar. Duit belanja terhad. Walau tak banyak, sekurang-kurangnya dapat jimat duit beli nasi.

"Tak kut. Aku dah janji dengan kawan aku untuk buka puasa di luar sama-sama." Lili memberitahu sambil menongkat dagu.

"Oh, kau puasa ganti ke?"

Lili mengangguk. "Aku datang bulan dua kali puasa tahun lepas. Sepuluh hari cuti. Jenuh nak ganti balik."

Aku tergelak. Sambil-sambil itu, fikiran kembali mengingati hari yang sepatutnya aku ganti puasa. Masih ada empat hari berbaki. Bila entah aku nak ganti. Kalau ikutkan perangai malas aku sejak azali ini, mungkin seminggu sebelum Ramadan baru aku gelabah nak ganti.

"Kau pula, Najihah? Makan dekat rumah ke malam ni?"

"Aku dah makan tadi. Mungkin kenyang sampai malam." Najihah menjawab. Bibirnya membentuk senyuman simpul. Ada biasan kemerah-merahan pada kedua belah pipi.

Aku mengerutkan dahi. Pelik melihatkan reaksi luar alam itu.

Lili di sebelah sudah letuskan tawa, "Member tengah happy tu ... tak makan pun boleh kenyang."

"Happy? Apa yang buatkan kau happy sampai tak nak makan tu?"

"Dia beri hadiah pada crush dia tadi. Itu yang senyum sampai ke telinga." Lili jadi tukang jawab. Masih lagi dengan senyuman mengusiknya.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now