BAB 37

18 4 0
                                    

BAB 37

"MAMA!"

Puan Meeya menjeling dengan ekor mata. Apa lagi si Kayna ni? Pasti ada masalah yang dia buat di luar itu. Pasu bunga pecah lagi?

Apa-apa pun yang terjadi, Puan Meeya harap tak ada kecederaan berlaku. Cukuplah Kayna menerima tiga jahitan di kaki sebulan yang lalu gara-gara terlanggar kaca pasu bunga yang pecah.

"Mama!"

"Apa yang termama-mama dari tadi? Benda apa pula yang pecah kali ni?" Puan Meeya keluar dari ruang dapur. Kelibat anak bongsunya yang muncul dengan muka merah penuh air mata dan hingus itu membuatkan Puan Meeya pegun di tempatnya berdiri. Keningnya bertaut.

"Kenapa menangis pula ni?" Hati Puan Meeya dijentik risau. Bukan selalu anaknya itu menangis. Sewaktu kakinya menerima jahitan dulu pun, Kayna selamba aje reaksinya. Memang sejenis hati kering. Lalu apa yang membuatkan si bongsunya itu teresak-esak begini?

"Mama ..." Kayna tersedu-sedan lagi. Tercungap-cungap menarik nafas.

"Iya, kenapa?"

"Kak Flora ... Kak Flora balik dengan ..."

"Hei, cakap elok-elok. Mama tak faham ni." Puan Meeya cuba tenangkan si anak. Bicaranya celaru seperti budak kecil. Ditambah dengan tangisan yang tak henti membuatkan ayat Kayna sukar ditafsir telinga Puan Meeya.

"Mama."

Puan Meeya pegun. Suara garau yang datang dari arah belakangnya mematikan sekali sedu-sedan Kayna. Kedua beranak itu menoleh ke arah datangnya suara itu. Kayna masih dengan limpahan air mata, manakala Puan Meeya sudah terpaku kejung.

Dua individu saling bertatapan. Puan Meeya merasakan telinganya berdengung. Umpama masa berhenti berjalan. Fokusnya hanya pada satu subjek di hadapan.

Matanya tidak salah lihat, kan?

Di hadapannya kini ... anak dia, kan?

"Mama," seruan daripada kotak suara yang sama kembali menggamit perhatian Puan Meeya.

"Hanan ..."

"Mama, Hanan minta maaf." Hanan mengurangkan jarak mereka. Tangan mamanya dipaut lalu Hanan tunduk mengucup. Mata yang sedari tadi kering kini basah dengan tangisan. Saat bersemuka dengan Kayna, Hanan tidaklah sesebak ini. Namun, apabila dia menghadap mamanya, segala emosi yang dipendam tumpah dalam linangan.

"Hanan ..."

"Hanan minta maaf sebab lukakan hati mama dulu. Hanan minta maaf sebab pergi tinggalkan keluarga. Hanan minta maaf sebab lama tak pulang. Hanan minta maaf ..." Berulang-ulang dia memohon kemaafan. Mengharapkan kasih ibu masih berpihak kepadanya.

Melihatkan anak lelakinya merayu, makin menggunung serba salah dalam hati Puan Meeya. Sedar perit perpisahan itu boleh dielakkan jika dia menurunkan egonya sebagai seorang ibu. Namun, Puan Meeya tidak berbuat begitu. Saat Hanan berada di puncak kemurungan, Puan Meeya langsung tidak memberi sokongan.

"Hanan, anak mama ... anak mama pulang ..." Puan Meeya melurut longlai. Tenaganya bagai disedut keluar daripada badan dek memikul emosi yang sangat berat. Serentak itu Kayna dan Hanan memaut tubuhnya. Mereka bertiga terduduk di atas lantai marmar itu.

"Mama, abang Hanan dah balik ... dia dah balik, mama ..." Setiap patah yang keluar daripada bibir Kayna kedengaran terketar-ketar. Bukan kenyataan yang diberi kepada Puan Meeya, tetapi lebih kepada kenyataan yang dia sematkan pada diri sendiri. Kayna memberitahu diri sendiri bahawa abangnya telah pulang ke sisi mereka.

Sungguh-sungguh, Kayna tak sangka kerinduan yang ditanggung empat tahun ini, ada noktahnya.

"Maafkan Hanan, mama ... Hanan janji Hanan takkan pergi lagi. Hanan takkan lari lagi."

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now