BAB 3

21 5 0
                                    

BAB 3

CUTI semester sudah berakhir. Hari ini merupakan hari ketiga untuk semester baru. Manakala aku ... sudah mengira tarikh. Kalendar di telefon aku belek. Bila boleh dapat cuti lagi ni? Baru hari ketiga, aku dah rasa nak mati.

"Bila nak habis kelas ni?" Rungutan Emma menerjah halwa telinga. Aku tak membalas tapi turut mengeyakan kata-katanya. Sama seperti Emma, aku juga sedang menunggu jarum jam bergerak dengan lebih pantas persis kelajuan cahaya.

"Moving on to your project ..."

Aku mengeluh tatkala mendengarkan ayat tersebut daripada pensyarah di hadapan kelas. Puan Naimah ni kan ... tak boleh ke bincangkan tugasan pada hari lain? Aku lemau betul hari ni. Namun, bila mengingatkan markah yang bakal menentukan keseluruhan GPA, aku gagahkan diri untuk kekal fokus.

Norma peraturan hidup seorang pelajar di universiti; Jangan lewat dapatkan maklumat kalau tak mahu hidup susah. Segalanya perlu dilakukan dengan pantas dan cekap. Walau tertinggal satu maklumat sekalipun, semua kerja dan rutin boleh lingkup. Aku bercakap melalui pengalaman okey! Sebab aku pernah sambil lewa waktu semester pertama dulu.

Padahnya? Ah, malas aku nak kenang.

"You'll be doing this in a group of four. Boleh baca di guideline untuk informasi lanjut. Nanti saya akan hantar guideline dalam grup WhatsApp. Tapi ..."

Aku menguap. Tahan diri daripada terlentok.

"... Saya yang akan tentukan ahli kumpulan."

Terbantut kuapan aku.

Pensyarah akan tentukan ahli kumpulan? Fikir ini zaman sekolah ke? Aduhai, sudahlah ada beberapa orang pelajar yang aku tak suka. Bukan sebab perangai tak seiring tapi ada daripada mereka suka jadi freerider. Aku dah pernah kena semester-semester lepas. Sampaikan aku tak tidur semata-mata mahu menyiapkan tugasan freeriders itu.

Aku kata 'freeriders' ya. Perhatikan huruf s di belakang tu. Plural. Lebih daripada satu. Maksudnya, memang ada ramai pelajar berperangai serupa itu.

"Saya buat begini sebab saya perhatikan, ramai antara kamu suka sangat memilih kelompok. Tak nak bercampur dengan orang yang bukan kawan sendiri. Tak bolehlah macam itu. Nanti awak akan terhadkan information dan pandangan dalam sesuatu kes. Bila dah kerja nanti, awak akan kurang minta pendapat senior ataupun yang lebih arif kerana terlebih selesa dengan kelompok awak."

Logik apa tu? Apa kaitannya?

"Alah Flora, aku nak satu kumpulan dengan kau ..." Emma mula gelabah. Tangannya mencuit-cuit lenganku. Aku pun ikut sama gemuruh. Memang aku dan Emma bercadang untuk buat tugasan bersama-sama untuk semester ini. Lebih mudah sebab kami sudah tahu rentak kerja masing-masing.

"Itulah ... aku pun nak satu kumpulan dengan kau."

Puan Naimah berdeham sekali. Dia mengambil dua keping kertas yang aku jangka merupakan senarai nama pelajar dalam kelas ini.

"Saya tentukan ahli kumpulan berdasarkan pointer awak semester lepas ya."

Aku mengeluh lemah. Reda sajalah. Kalau ada freeriders dalam kumpulan aku, memang aku nekad untuk buang nama dia masa hantar tugasan nanti. Biarlah nak kata aku hati kering sekalipun.

"Ada lima orang yang aku blacklist teruk. Kalau dapat salah satu, memang aku melutut pada Puan Naimah untuk tukar," bisik Emma. Dirapatkan bibirnya ke telingaku supaya tiada siapa mendengar bicaranya.

"Aku pun ada beberapa orang yang aku tak suka juga. Kau ingat kan ... aku sampai berdarah hidung sebab tak cukup tidur semester lepas semata-mata hendak siapkan tugasan seorang freerider ni? Paling celaka sekali, ahli kumpulan aku yang lain tak sampai hati nak buang nama dia. Lepas tu, kumpulan kami dapat markah paling tinggi dan dia turut dapat markah yang sama. Sakitnya hati aku!" Tiba-tiba aku teringatkan pada seorang pelajar perempuan yang pernah menjadi ahli kumpulanku semester lepas.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now