BAB 27

21 4 0
                                    

BAB 27

HANYA ada berbaki beberapa hari sebelum Flora pulang ke Malaysia. Pagi ini hujan merembes lagi. Langit gelap tanpa biasan suria. Terbantut segala pelannya untuk merayau-rayau. Sudahnya, Flora hanya bermalas-malasan di ruang tamu bersama selimut tebal yang menyelubungkan badan. Hangat dan tenang.

"Kenapa makin bulat je muka si Salmah tu?"

"Mahu tak bulat? Asyik makan je kerjanya." Felisha membebel. Pipi Salmah dicubit sebelum dia membetulkan duduk kucing Parsi itu di atas ribanya.

Flora tersenyum melihatkan perut buncit Salmah. Gebu betul. Kalau ada di depan mata, memang dia akan picit-picit sampai puas. Tengok melalui skrin komputer riba pun dah terasa geramnya.

"Kak Nurin tengah buat apa?"

"Kerja. Dia baru je gerak tadi." Flora memberitahu. Hujung mata melihat Hanan yang mendekat dengan dua muk berisikan kopi yang baru dibancuh. Membuak-buak aromanya. Dia menghulurkan satu muk kepada Flora. Flora condongkan tangan ke atas, menyambut huluran.

"Terima kasih." Flora berbisik.

Hanan senyum manis. Dia kemudiannya bergerak ke arah kanvas yang telah ditegakkan pada kekuda kayu. Mahu menyambung kerja yang tergendala.

"Kakak?" gamit Felisha.

"Iya?"

"Kau kata tadi Kak Nurin kerja?"

"Ha'ah. Dia ada miting. Petang nanti baru balik agaknya." Flora tak pasti. Itu apa yang dikhabarkan Nurin sewaktu mereka terserempak pagi tadi.

Semenjak kebelakangan ini, Flora tidak lagi tinggal sebumbung dengan Nurin. Hanan punya fasal. Suruh Flora pindah ke unit apartmennya pula. Kalau tidak diturutkan, lelaki itu tayang drama tangkap leleh. Malas Flora nak layan lebih-lebih.

"Habis tu, kau duduk dekat rumah dengan siapa tu?" Felisha menyoal. Sedar akan seseorang yang menghulurkan cawan kepada Flora tadi. Tapi susuk tubuhnya tak terpancar pada kamera kerana dia berjalan di belakang komputer riba. Hanya tangan yang menghulur muk kelihatan.

Flora pegun. Dia mengerling ke hadapan, melihat Hanan yang turut memandangnya. Lelaki itu tersenyum simpul. Terhibur dengan bicara adik iparnya di hujung talian.

"Simpan skandal ke apa?" Felisha mengusik. Bibir mengoyak sebuah senyuman nakal.

Flora senyap. Enggan menjawab.

Melihatkan Flora yang masih diam, Felisha mengerutkan dahi. Curiga. Selalunya, Flora akan membalas gurauan tersebut dengan gurauan juga. Paling tidak pun, dia akan marah Felisha balik kerana menyebutkan hal-hal aneh. Namun kali ini, reaksinya tak sepadan dengan sangkaan Felisha.

Jangan-jangan ...

"Kak, kau memang ada skandal ke? Jangan buat gila!" Felisha meninggikan suara. Terkejut. Biar betul kakaknya ini? Tak fikirkan status sendiri ke? Dia isteri orang, tahu tak? Berdosa besar berhubungan dengan lelaki lain!

"Jangan sibuklah."

"Kak, kau tu isteri orang!" Felisha menegur lagi.

"Miau! Miau!" Salmah yang berada di atas riba itu turut membebel sama. Beriringan dengan Felisha menjadi ustazah. Bagus. Mengamalkan amar makruf nahi mungkar. Mengajak kebaikan, mencegah kemungkaran.

Tapi silap serbu la pula ...

Flora menjeling jengkel. "Sibuk je Salmah tu."

"Miau!"

"Kak, kau dengar tak?" panggil Felisha buat kesekian kali apabila kata-kata mereka diabaikan Flora sedari tadi.

Flora tahan senyum. Naik kejung perutnya. Dari ekor mata, dia dapat melihat Hanan yang sedang menapak ke arahnya. Pasti terhibur mendengarkan makian tak bertapis Salmah itu. Dulu, Hanan la paling banyak kena tengking dengan Salmah. Pasti dia turut rindu hendak bersua dengan kucing parsi itu.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now