BAB 24

20 4 0
                                    

BAB 24

HANAN membisu. Bagaimana dia boleh terlupakan tanggungjawab sebesar itu? Sedangkan dia telah menggalas tanggungjawab itu buat kali pertama tujuh tahun yang lalu. Sewaktu kakak sulungnya diijabkabulkan, Hananlah yang menjadi walinya. Kali ini kakak keduanya yang bakal bernikah pula.

Patutlah Nurin beria-ia menyuruhnya pulang. Sehingga berbatu-batu membawa Flora terbang ke negara orang.

"Hanan ... pulang dengan aku? Kita balik ke Malaysia ya?" pujuk Flora buat kesekian kali.

Sama seperti selalu, kebisuan yang melanda dulu sebagai balasan. Justeru, Flora setia menunggu bersama degup jantung yang berdetak laju. Berdebar menanti jawapan verbal daripada Hanan.

"Flora, aku—"

"Please ..." Flora memintas. Tidak sanggup rasanya apabila permintaan itu ditolak lagi. Cukup-cukuplah empat tahun dia hidup berjauhan dengan suami sendiri. Flora tidak betah menanggung perpisahan lagi.

"Aku akan balik untuk jadi wali Kak Neena nanti," jawab Hanan.

"... Dan menetap terus di Malaysia?" soal Flora semula.

Hening.

"Hanan ..." Luluh hati Flora. Jawapan Hanan bukan atas kedegilannya semata-mata. Flora dapat merasakan ada sebab lain ... alasan lain yang menghalang Hanan pulang. Tapi apakah ia? Apa yang menjadi pengikat sehingga Hanan tidak mahu kembali ke Malaysia?

"Kau tahu tak betapa hopeless aku rasa? Duduk berjauhan selama empat tahun sampaikan aku tak tahu apa yang terjadi dalam hidup suami sendiri ... Kau sihat atau tidak? Kau gembira atau tidak? Aku tak tahu langsung. Please, jangan buat aku macam ni ..."

"... Hari-hari aku tunggu kau pulang, Hanan. Sebelum aku ke London hari itu pun, aku risau nak ikut Kak Nurin. Aku risau kau pulang bila aku tak ada di sana. Aku tak mahu kau balik dalam keadaan rumah kosong. Aku tak mahu kau fikir yang aku dah lupakan kau."

Air mata tak dapat ditahan. Laju meluncur membasahi dada Hanan. Flora menyembamkan wajah. Sebaknya tak tertahan sehinggakan dia tidak sanggup mengangkat muka.

"Kenapa kau tak mahu balik, Hanan?"

Esakan Flora memenuhi ruang bilik tidur.

Hanan memejamkan mata rapat-rapat. Tangisan isterinya membuatkan seluruh tubuhnya kejung. Sifat posesifnya automatik muncul. Dia mahu lekas-lekas lakukan sesuatu untuk menghentikan tangisan itu. Tak betah dia membiarkan Flora bersedih.

Namun, Hanan menahan diri daripada berbuat begitu, kerana dia sedar Flora mahu peluang untuk berterus-terang. Segala isi hati yang dia pendam selama ini, dihumbannya keluar. Segala yang dia tanggung gara-gara keputusan yang Hanan ambil empat tahun lalu, juga Flora luahkan semuanya.

"Flora ... aku ..."

"Jujur dengan aku, Hanan. Apa yang kau sorokkan daripada aku? Kenapa kau tak mahu pulang?"

Hening lagi.

Beberapa minit ruang bilik tidur itu sunyi.

Hanan mengetap bibir. Lama mereka berdiam diri. Hanya kedengaran bunyi esakan halus diselang-selikan dengan suara titisan hujan di luar.

"I can't face mama ..."

"Kenapa?" Flora tahu kenapa tetapi secara dasarnya sahaja. Hanan dan mamanya bergaduh besar setelah tragedi empat tahun lalu. Tapi jujur Flora katakan, dia tak pasti punca pergaduhan itu menjadi besar. Jika hanya kerana maruah keluarga yang tercemar, semua ahli keluarga sudah menerima qadak dan qadar.

"Kau tak perlu risau, Hanan. Semuanya dah okey. Mama pun dah terima apa yang berlaku empat tahun lalu, adalah takdir yang kita tak boleh kawal."

Hanan menggeleng. Semuanya masih belum okey. Semuanya masih belum baik. Hati dia ... masih sakit. Jiwa dia ... masih perit. Lukanya belum kering, jauh sekali sembuh pulih.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now