BAB 42

15 4 0
                                    

BAB 42

"FLORA ..." Emma memanggil sejurus dia melihat Flora yang sedang turun dari pangkin. Wanita itu menyarungkan selipar lalu menapak pergi. Serba salah Emma jadinya. Berdasarkan reaksi itu, Emma sedar bahawa sahabatnya itu sudah tahu Adira yang menganiaya dia empat tahun lalu.

"Flora, nak pergi mana tu?" Puan Fitrah menyeru dari pangkin. Terkebil-kebil melihat anak perempuannya yang kelihatan tegang. Flora tak mahu bertemu Emma ke? Mustahil itu sebabnya. Jadi Puan Fitrah membuat kesimpulan bahawa wanita yang datang bersama-sama Emma itulah menjadi asbab perubahan kelakuan Flora.

"Adira," panggil Emma. Dia membuat isyarat mata. Menyuruh wanita itu menguruskan hal peribadinya secepat mungkin sebelum kelibat Flora semakin jauh.

Adira tak tunggu lama sebelum mendekati Flora. Lengan wanita itu dipaut lembut.

"Flora ..."

Flora refleks menepis tangan itu. Badannya bergetar menahan rasa. Entah emosi apa yang sedang diproses otaknya. Apa yang pasti, semuanya bercampur-baur sehinggakan Flora rasa hendak pitam.

Melihatkan hal itu, Hanan merapati mereka. Bahu isterinya dipaut lalu dia mengiring Flora pergi. Sama-sama melangkah ke rumah keluarga Flora. Adira yang berada di belakang langsung tak dipandang. Lebih tepatnya, mereka tak mampu hendak memandang. Tak mahu berdepan, juga tak mahu dengar apa-apa daripada wanita itu.

"Aku minta maaf! Flora, Hanan, aku minta maaf," kata Adira bersama oktaf yang lebih kuat daripada kebiasaan. Memastikan pasangan yang hendak beredar itu, termasuklah ahli keluarga mereka yang menjadi pemerhati di pangkin sana, mendengar bait bicara tersebut.

Adira kemudiannya memusingkan badan. Menghadap beberapa orang lain. Turut ada Emma berdekatan mereka.

"Saya nak minta maaf pada keluarga Hanan dan Flora juga ... Saya minta maaf sebab perangkap mereka empat tahun lalu."

Hening.

"Kamu ... yang aniaya adik-adik kami?" Nurin menyoal dulu dengan suara yang hampir tak terkeluar.

Adira angguk.

"Saya tahu apa yang saya buat hampir menjatuhkan maruah keluarga. No, bukan hampir. Saya tahu ia menjatuhkan maruah, merosakkan air muka. Saya minta maaf."

"Menjatuhkan maruah keluarga? Tak ... bukan." Neena turun dari pangkin lalu merapati Adira. Bibirnya tersungging senyuman manis. Suara lunaknya kembali berkata, "Maruah keluarga kami bukan setakat jatuh ... keluarga kami pecah-belah!"

Tangan Neena melekap di tepi kepala Adira sepantas halilintar.

Bukan pelempang, bukan penampar. Tetapi hentakan yang berdentum bunyinya. Tepat di tepi kepala, berhampiran telinga. Sengaja tidak disasarkan ke pipi kerana Neena beranggapan tamparan di situ tidak dapat menyaingi sakit di hati. Disebabkan tindakan itu, Adira tersungkur ke tepi.

"Neena! Neena, sabar!" Nurin tarik lengan Neena yang masih punya tanda hendak hinggap ke tubuh Adira. Adiknya itu diseret ke tepi dengan susah payah. Namun, Neena seperti enggan beralah. Pautan Nurin cuba dileraikan.

"Dia puncanya, kakak! Dia punca Hanan pergi tinggalkan kita tanpa khabar berita. Dia punca Flora berkurung sampai takut nak hadap orang luar! Kau suruh aku sabar, kak? Empat tahun ... empat tahun dah aku sabar! Hidup Hanan dan Flora hancur selama empat tahun tu!" laung Neena. Tiada lagi muka yang sengaja dimaniskan, malah diganti dengan rupa bengis.

"Aku tahu, Neena. Tapi tak ada gunanya kita mengamuk macam ni. Dia datang nak minta maaf."

"Fel bangkang! Maaf, Kak Nurin, tapi Fel setuju kalau Kak Neena mengamuk. Sebab Fel pun ..." Felisha menghadap Adira yang telah berdiri. Tangannya naik, turut menampar pipi wanita yang sama tinggi dengannya itu. "... Rasa nak cincang-cincang perempuan ni!"

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now