BAB 43

16 4 0
                                    

BAB 43

"ADIRA." Hanan menyeru datar. Kini ada mereka berdua di meja itu. Flora baru sahaja menapak pergi untuk mendapatkan Emma yang sedang bersembang di atas pangkin. Disebabkan Emma datang bersama Adira, maka dia juga perlu pulang bersama Adira. Lalu Flora lekas-lekas mahu bertemu sahabatnya setelah Adira berpamitan meminta diri.

"Ya?" sahut Adira perlahan.

"Kau kata tadi, kau dianiaya juga, kan? Ada orang masukkan dadah dalam minuman kau?"

Adira angguk.

"Was it your ex-husband?"

"Tak, bukan dia. Waktu tu ..." Adira senyap tiba-tiba. Mata sedikit menunduk. Kuyu. Kemudian, dia tersenyum pilu.

"Aku rasa memang balasan Tuhan atas perbuatan aku. Aku tak kenal pun stranger yang beri aku dadah tu, dan aku tak rasa dia berdendam dengan aku untuk buat begitu. Nak kata dia mahu perangkap aku pun, tak juga. He left after he spiked my drink."

"Kau tak report polis?"

Adira geleng.

"Nama lelaki itu pun aku tak tahu. Dia bagi tahu nama palsu."

"Nama palsu? Apa dia?" Hanan menyoal ingin tahu. Walaupun entah kenapa ... jauh di sudut hati, dia bagaikan dapat meneka. Tapi Hanan berdoa bukan sebaris nama dalam fikirannya yang bakal Adira sebut. Kerana empat tahun lalu ...

Bukan Emma sahaja yang berjanji pada Hanan untuk buatkan Adira melutut.

"Luck. Ironic, isn't it? Espescially when luck is not on my side that night." Adira tergelak dengan kata-katanya meskipun dia tahu, tawa itu sekadar hendak menutup sakit sendiri. Luck itu ... Adira merasakan lelaki itu benar-benar menyedut segala tuah daripada Adira sehingga kering. Kerana malam tersebut merupakan hari paling malang dalam hidup Adira.

"Aku minta diri dulu la ... Terima kasih sebab sudi terima maaf aku," ujar Adira seraya bangkit daripada kerusi.

Hanan senyap. Tidak lagi memanjangkan perbualan.

***

"AKU dah tuntut hutang." Emma berkata dengan sengihan lebar. Mereka kini sedang beriringan ke kereta. Mahu menghantar pemergian Emma. Pada kereta yang elok diparkir di hujung halaman itu, kelihatan Adira sedang bersandar. Menanti Emma yang masih ingin berbual kosong bersama Hanan dan Flora.

"Maksud kau?"

"Ingat tak aku kata yang aku akan tuntut hutang pada Taufiq? Inilah dia ... aku tuntut bagi pihak kau."

Makin dalam kerutan di dahi Flora. Tidak mengerti. Apa kaitannya dengan Taufiq?

"Taufiq dan Adira adik-beradik," jawab Emma tanpa dipinta. Terlebih mengerti dengan reaksi keliru Flora.

"Adik-beradik?" Membuntang mata Flora. Terkejut. Terus dia menoleh ke arah kereta tempat Adira sedang bersandar di sana. Patutlah dia rasakan seperti pernah melihat kereta yang Emma dan Adira naiki tadi. Kereta Taufiq rupanya.

"Siapa tu?" Hanan menyoal saat mendengarkan sebaris nama yang tak dikenalinya.

"Regular customer di Purrfect Staycation ... dia selalu hantar kucing dia selama dua tahun kebelakangan ni. Aku tak sangka dia abang Adira." Flora memberitahu.

"Kecilnya dunia."

"Bukan setakat dunia ini kecil. Aku rasa memang takdir membawa kau orang bertemu supaya Adira boleh minta maaf pada kau dan Hanan. Semua yang berlaku bukan kebetulan," sela Emma sambil melajukan langkah. Mendekati Adira yang setia menunggu di tepi kereta itu.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now