BAB 40

35 7 1
                                    

BAB 40

"AWAK nampak serabut."

Taufiq mematikan kaki yang baru hendak melangkah ke dalam sebuah kafe. Niatnya ingin mendapatkan secawan kopi hangat, buat sedapkan hati yang sedang rawan. Siapa sangka dia bakal terserempak dengan wanita itu di sini? Dalam hati, Taufiq menyinis. Lagi-lagi mereka dipertemukan, pada waktu yang tak sepatutnya pula tu. Setelah hati dia baru dipatahkan setengah jam yang lalu.

Sepertinya takdir benar-benar ingin mengejek dia.

"Emma. Buat apa dekat sini?"

Emma kelihatan berbeza berbanding di awal perkenalan mereka. Tiada lagi senyuman mesra yang selalu dia pamer. Baru kali ini Taufiq sedar bahawa perilaku Emma sekadar topeng untuk menjayakan rancangannya. Berpura-pura baik untuk merapatkan hubungan mereka. Lantas, membuatkan Emma punya jalan untuk bertemu adik Taufiq.

Secara ringkasnya, Emma mesra dengan Taufiq untuk memudahkan dia bertemu Adira.

"Nak makan, obviously. Kebetulan ternampak awak yang kelihatan serabut. Ada masalah ke?" Saja Emma bertanya. Bukan kerana prihatin, tetapi atas dasar ingin tahu. Sifat tertanya-tanya itulah yang menjadi tabiat serta tulang belakang kariernya. Justeru tidak terkejut jika Emma kelihatan seperti penyibuk pada pandangan Taufiq.

"Kalau cinta ditolak, kira masalah juga ke?" jawab Taufiq acuh tak acuh.

"Flora tolak awak?"

"Awak tahu saya sukakan Flora?"

"Saya bukan bodoh tak perasankan sesuatu yang jelas lagikan bersuluh. Apa-apa pun, saya tumpang simpati. Pasti perit cintakan isteri orang, kan?"

Taufiq tergelak sinis. Haih, sepertinya semua orang tahu akan status Flora kecuali dia. Kenapalah Taufiq terlalu bodoh untuk tidak bertanyakan Flora sejak di awal perkenalan lagi? Sangkanya Flora bukan milik siapa-siapa.

"Iya, memang perit. Sampaikan saya rasa tak mahu tengok muka Flora lagi."

"Awak masih kena hadap muka dia. Saya harap awak tak lupa yang adik awak punya hutang tertunggak pada Flora." Sinis sekali Emma memberitahu. Mata tajamnya tak lepas memandang.

"Apa sebenarnya yang terjadi, Emma? Saya ada tanyakan pada Adira tapi dia tak beri jawapan."

"Bukan hak saya untuk bercerita. Apa yang boleh saya katakan, adik awak telah aniaya Flora dan Hanan sampai hidup mereka hancur dulu. Dan sekarang, saya datang untuk tuntut hutang sebab saya dah berjanji dengan Hanan. Saya akan pastikan adik awak datang melutut depan keluarga mereka atas perbuatan dia."

"Boleh saya tahu siapa Hanan?" Dia pernah mendengarkan nama itu daripada Emma, tapi dia tak tahu apa hubungannya dengan Flora. Yang dia tahu, gerangan bernama Hanan itu turut menjadi mangsa penganiayaan adiknya.

"Suami Flora. Sahabat satu course dengan saya dulu ... dengan Adira juga."

"Oh ..." Hanan yang dimaksudkan Emma itu lelaki rupanya. Taufiq sangkakan pemilik nama itu perempuan.

Ah, mendengarkan perkataan 'suami Flora' daripada mulut Emma lagi sekali mencucuk jiwa Taufiq. Kenapa patah hati sesakit ini? Taufiq bukannya tidak pernah bercinta. Setiap kali dia memutuskan hubungan dengan bekas kekasih, tak ada pula dia galau seperti ini.

Tetapi seorang Flora Humairah mampu buatkan Taufiq longlai hanya dengan sebuah penolakan. Benar-benar tak masuk akal.

"Kiranya ... adik saya aniaya dua orang serentak?" Taufiq mengeluh panjang. Adira, apa kau dah buat sebenarnya?

"Aku pun rasa malang yang menimpa kau ni berpunca daripada Flora ... berpunca daripada apa yang kau buat pada Flora, lebih tepatnya. How does it feel, Adira? Apa yang kau rasa apabila perkara sama yang kau buat pada Flora dulu berbalik pada kau?"

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now