BAB 21

26 4 0
                                    

BAB 21

4 tahun lalu ...

"KENAPA?" Tersangat lirih suara itu bertanya.

"Maaf sangat-sangat, Emma. Flora memang tak mahu jumpa sesiapa. Aunty dah puas pujuk dia." Puan Fitrah berkata. Gadis sebaya anak perempuannya itu dipandang serba salah. Terbit rasa kasihan apabila Emma tak henti-henti merayu kepadanya. Dia tahu Emma risau.

"Kenapa Flora tiba-tiba jadi macam ni? Dia sakit ke?" Emma menyoal lagi.

Kelakuan Flora tiba-tiba bertukar aneh. Dia tak pergi ke kampus. Dia tak balik ke rumah sewa. Dia tak jawab panggilan telefon. Hilang tanpa jejak selama sebulan. Sehinggakan Emma nekad untuk ke rumah orang tuanya.

Puan Fitrah menggeleng. Entahlah ... nak kata anak perempuannya itu sakit, mungkin ada benarnya. Namun, bukanlah secara fizikal yang dapat dilihat dengan mata kasar. Flora merana secara mental.

"Apa yang buatkan dia jadi macam tu?"

"Emma ..." Suara garau yang tiba-tiba memanggil mengagetkan Emma dan Puan Fitrah.

Emma menoleh, melihat ke arah pintu bilik tidur Flora yang dikuak. Ada seorang lelaki baru keluar dari situ.

"Hanan? Apa yang jadi sebenarnya? Kau dan Flora dua-dua tak masuk kelas. Pensyarah pun tanya tau! Kawan-kawan kita yang lain risau sangat!" Emma merapati lelaki itu bersama persoalan bertubi-tubi. Wajah Hanan tak seperti yang selalu dia lihat. Lelaki itu pucat dan tampak lesu. Ada lingkaran hitam di bawah mata bundarnya. Pipi yang memang sedia kurus, makin cengkung.

"Shh, Flora tidur." Hanan memberitahu sambil menjeling ke arah pintu bilik yang tertutup rapat.

Emma tergamam. Terus dia tutup mulut. Tak mahu suaranya mengganggu.

"Emma, can we talk for a bit? Di luar rumah."

Emma angguk laju. Dia memang ingin berbincang dengan Flora mahupun Hanan yang lama tak munculkan diri. Ada sesuatu yang terjadi. Dia pasti akan hal itu. Namun, apa yang sedang berlaku sejak sebulan kebelakangan ini? Emma terdengar beberapa khabar angin daripada mulut-mulut pelajar sefakulti yang lain. Malah, rakan serumahnya yang berbeza fakulti turut mengatakan hal serupa.

Emma sama sekali tidak mempercayai khabar angin itu. Dia mahu dengar daripada tuan badan sendiri.

Mereka beriringan ke arah tangga. Masing-masing turun ke bawah. Puan Fitrah hanya membiarkan. Dia turut bersetuju jika Emma mengetahui semuanya. Tak adalah gadis itu terkapai-kapai mencari sebab. Tapi untuk memaklumkan sendiri kepada Emma, Puan Fitrah tak sanggup. Biarlah Hanan yang menguruskannya.

"Oh ya ... apa kau buat di rumah Flora ni, Hanan?" soal Emma sejurus mereka tiba di halaman rumah. Beg tangannya diletakkan di atas meja kayu. Dia melabuhkan duduk. Hanan turut mengambil tempat di hadapan gadis itu.

"Aku jumpa Flora tadi. Rumah aku dekat sebelah ni."

"Kau berdua berjiran? Aku tak tahu pun ..."

"Ha'ah. Aku kenal Flora dari kecil."

"Oh ..."

Jeda.

"Jadi, apa yang telah berlaku? Kau dan Flora tiba-tiba hilang. Pihak fakulti siap tanyakan kepada kami tau! Mereka kata keluarga kau berdua tak dapat dihubungi. Flora pun nak dekat sebulan tak balik ke rumah sewa. Aku risau, tahu tak?"

"Emma, berapa banyak yang kau tahu?"

"Tahu apa?"

"Aku pasti ada khabar angin tengah berlegar di kampus, kan? Khabar angin tentang kami."

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now