BAB 18

17 4 0
                                    

BAB 18

4 tahun lalu ...

"FLORA, aku buat keputusan untuk pergi."

"Ke mana?"

"Jauh."

Flora mengelipkan kelopak mata. Setiap sudut struktur wajah Hanan ditatap. Dari atas mata, turun ke hidung sehinggalah ke ulas bibir yang tidak lagi merah seperti selalu. Raut Hanan lebih kurang dengan dirinya. Lesu, pucat dan langsung tak berona. Bagaikan mayat hidup. Jasad tanpa nyawa.

Flora masih berbaring di atas katil. Hanan pula duduk di atas lantai dan bersandar pada kerangka katil. Kepala mereka sebelah menyebelah. Saling bertatapan.

"Sampai bila kau nak berkurung macam ni, florentine?"

Flora tutup mata. Memikirkan untuk bangun saja sudah mengerah tenaganya. Kepala berat. Fikiran bising. Sepertinya ada orang lain sedang berfikir menggunakan otak dia. Suara-suara bingit itu hanya akan berhenti saat dia tidur. Sebab itulah, Flora tak mahu berganjak dari katilnya. Dia mahu terus tidur. Itu saja caranya supaya otak dia senyap dan berhenti berfikir buat seketika.

"Aku dah tak tahu nak buat apa, Hanan. Hidup aku hancur sekelip mata," lirih Flora dengan suara yang bergetar. Dia menangis lagi. Sampaikan Flora kagum dengan tubuh sendiri. Walau berkali-kali dia menangisi nasib, air matanya tak pernah kering.

Hanan senyap. Hanya tangannya bergerak naik ke pipi Flora, mengusap air mata yang mengalir. Sudah menjadi tugas rasmi Hanan menyeka air mata itu setiap kali Flora menangis. Kadang sepanjang malam dia berjaga, menemani Flora yang tak mampu lelapkan mata.

"Hanan ..."

"Hm?"

"I got my period last night."

Hanan tidak mempedulikannya. Tiada sebarang suara yang keluar daripada ulas bibir itu. Dia masih dengan tugasnya, mengusap pipi cengkung Flora yang basah dengan air mata.

"Aku tak mengandung." Bulan lepas dia tak didatangi haid. Mungkin kerana stres dan kurang tidur. Hormonnya terganggu. Namun untuk melakukan ujian kehamilan, Flora tak berani. Walaupun Hanan ada memujuk untuk Flora mengambilnya, dia menolak sekeras-kerasnya. Tidak bersedia dengan kebarangkalian dia berbadan dua.

"Hanan ... dengar tak ni?"

"Aku dengar."

"Kau boleh lepaskan aku kalau kau mahu. Aku tak mengandung. Tiada apa yang perlu dipertanggungjawabkan lagi."

"Kau bukan objek yang boleh aku buat sesuka hati, Flora. Jangan cakap seperti diri kau boleh diambil dan dilepaskan begitu aje."

Flora terdiam. Kelu lidah hendak membalas. Sudahnya dia mengangguk. Mengerti keputusan Hanan.

"Sudah, tidurlah ... dah lewat malam." Hanan bangun daripada duduknya. Selimut yang membalut Flora dibetulkan. Usai itu, dia tunduk mengucup dahi isterinya. Flora membiarkan. Terbiasa dengan rutin itu semenjak dua bulan lalu.

"Hanan ..."

"Ya?"

"Apa akan jadi kalau ianya berlaku pada salah seorang daripada kita?"

Hanan mengerutkan dahi. Dia melabuhkan kembali duduknya. Bukan di atas lantai kali ini, tetapi di birai katil. Soalan Flora menggamit perhatiannya.

"Apa akan jadi kalau ... pada malam itu ... bukan kau yang ada dengan aku ... atau bukan aku perempuan yang bersama kau?" Bibir Flora bergetar.

"Flora ... jangan fikirkan benda yang tak penting."

"I'm glad it was you, Hanan." Teresak lagi. Tangisan yang menjadi peneman tiap malamnya kembali menjenguk. Dada terasa sesak. Flora hanya mampu menarik nafas daripada rongga mulut. Hidungnya sudah lama tersumbat dengan hingus.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now