BAB 17

22 4 0
                                    

BAB 17

4 tahun lalu ...

KETUKAN di pintu secara bertubi-tubi. Hampir terlompat Flora dibuatnya. Namun disebabkan kepala yang berat, agak sukar untuk dia membuka mata. Kesejukan yang menampar tubuh membuatkan dia lagi malas untuk bangun. Flora kembali ke dalam dakapan. Selimut ditarik lebih tinggi. Tangan yang memeluk erat pinggangnya menambahkan lagi kehangatan.

Bunyi ketukan bergema lagi. Flora merungut geram. Siapa yang kacau pagi-pagi ni?

Mata dibuka. Keadaan bilik malap. Langsir ditutup kemas. Langsung tiada pencahayaan melainkan samar-samar matahari yang muncul dari celahan fabrik. Flora terpisat-pisat mengenyeh mata. Mulut menahan kuap. Kantuknya masih tak hilang.

Sejuk. Hampir menggigil. Berapa suhu pendingin hawa dalam bilik ni?

Eh ...

Tunggu ...

Ini ... ini bukan bilik dia.

Sekeliling dipandang. Terasa sangat asing. Dia berada di mana?

Pergerakan di sebelah membuatkan badan Flora kaku seperti patung cendana. Dia melirik ke sisi. Mata membulat lebar. Terus dia bertukar posisi daripada berbaring kepada duduk. Apabila selimut melurut jatuh, makin berderau darahnya. Pantas Flora menarik selimut untuk membalut tubuh yang tak punya apa-apa.

Tangan menepuk gerangan yang lena di sisi. Memaksanya untuk celikkan mata sekarang juga.

"Hanan ... Hanan! Hanan, bangun!" Apabila masih tiada respons, Flora menepuk pipinya pula. Usai itu, bahu Hanan digoncang sekuat tenaga.

"Florentine? Kenapa?" Hanan menjawab dengan suara serak basahnya. Langsung tidak membuka mata. Dia penat dan mengantuk. Tak ada masa untuk melayan Flora yang mengganggu pagi indahnya. Flora tu kalau bukan nak mengacau ketenteraman, pasti ada benda yang dia tak puas hati. Hanan sudah biasa dengan karenah keanak-anakkan itu.

Flora berdesis. Resah melihatkan Hanan yang masih tak sedar dengan situasi mereka berdua. Ini bukan kebiasaannya. Mereka tak pernah berada dalam kedudukan sebegini. Seumur hidup dia bersama Hanan, batas pergaulan antara mereka tak pernah dicabuli. Tetapi kenapa bila Flora sedar pagi ini, semuanya berubah sekelip mata?

Kenapa dia bangun dalam keadaan mengaibkan seperti ini?

Flora menampar lengan Hanan. Kuat.

"Hanan, apa yang dah jadi ni?!" teriaknya. Ada getaran dalam suara halus itu. Gerun dengan kebarangkalian.

"Hah?" Hanan terpinga-pinga. Tidak mengerti dengan persoalan Flora. Terpinga-pinga dia keluar dari alam mimpi. Ikutkan hati, dia ingin melekapkan bantal di atas telinga. Perit gegendang pendengarannya tatkala Flora berteriak tadi.

Perempuan ni nak apa?

Hanan celikkan mata kuyu itu. Kabur tetapi dia cuba untuk fokus pada satu subjek. Flora di hadapan mata, sedang duduk di atas katilnya dengan wajah penuh kerisauan. Makin keliru Hanan rasakan. Keningnya berkerut.

Tak pernah-pernah Flora mengejutkannya sebegini. Selalunya jika Flora mahu mengejutkan Hanan daripada lena, dia hanya akan mengetuk pintu atau berdiri jauh dari katil. Paling tidak pun, dia akan ambil mana-mana barang plastik untuk dibaling ke arah Hanan jika keadaan mendesak.

"Hanan!" Flora memanggil lagi.

Selang beberapa detik, Hanan membulatkan mata. Sedar dia bukan berada dalam bilik tidurnya di rumah. Terus dia tegakkan tubuh dan duduk menghadap Flora. Pandangan Hanan menilik Flora yang hanya ditutup selimut. Kemudian, lelaki itu alihkan mata pada tubuh sendiri yang tidak berbaju. Juga bertutup selimut.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now