BAB 26

15 4 0
                                    

BAB 26

Masa kini ...

"ASTAGHFIRULLAHALAZIM ..." Flora tersedu-sedan bersama istighfar yang tak henti-henti meniti di bibir. Serasa luka yang telah lama dia biar berbalut, kini dibuka semula. Tatkala itu, Flora sedar bahawa lukanya tak pernah sembuh. Malah, masih segar berdarah seperti kali pertama ia ditarah.

"Flora ... Flora, sayang ... pandang sini. Jangan macam ni, please ..." Hanan memegang lengan Flora yang sedang menutup muka. Esakannya meremukkan hati Hanan. Lagi-lagi Flora menangis asbab kejadian itu. Sama seperti dulu. Tiada apa yang berubah walaupun masa telah lama meninggalkan mereka semenjak hari itu.

Ah, siapa kata masa memulihkan luka? Dusta semuanya.

"Kenapa ... kenapa sampai macam itu sekali? Apa salah kita pada Adira?" Flora tak mengalihkan lengan, jauh sekali mengangkat wajah. Masih berendam duka dengan fikiran yang bercelaru. Bermacam-macam perkara bermain di benak. Mencari-cari pemicu. Apa puncanya? Apa motifnya? Apa salah dia? Apa dosanya pada Adira sehingga penganiayaan maruah menjadi galang-gantinya?

"Apa salah kita?"

Hanan senyap. Bibirnya diketap menahan sebak juga. Lengan Flora ditarik lagi. Kali ini lebih kuat rentapannya. Dia mahu lihat wajah Flora. Dan dia mahu Flora lihat wajah dia. Namun, Hanan silap langkah saat susuk isterinya menyapa pandangan. Sepatutnya Hanan lebih tahu, bahawa muka Flora yang basah dengan air mata bakal menggoncang segala suis emosinya. Hanan dihenyak dengan kenyataan sendiri; betapa dia merupakan suami tak guna kerana tak mampu mengeringkan air mata itu.

Dia gagal, sejak dulu.

Dari hari pertama mereka diijab kabul, sehinggalah saat ini, mengapa air mata yang sentiasa menghiasi pipi isterinya? Apakah Flora tak pernah langsung bahagia sejak menjadi isteri dia?

"Kau kata, kita tak salah ... kau kata, aku tak salah. Kenapa kau pula yang mencari salah?" Hanan menyoal separa berbisik.

Flora terkesima. Matanya menggeletar. Sepasang iris gelap itu mencari-cari iris Hanan. Luluh-seluluhnya hati Flora saat melihat mata suaminya yang turut bergetar. Buat pertama kalinya, setelah kejadian itu, Hanan cuba berpaut kepada dia. Hanan menghulurkan tangan kepada dia, mengharap dia menyambutnya. Sekali lagi Flora tak nampak semua itu. Hampir tidak nampak bahawa suaminya turut terluka dengan kata-kata dia.

"Memang semuanya jadi sebab salah kita ke, Flora?"

Nafas Flora tersekat. Jika dia mengeya, maka Hanan akan jatuh semula. Jatuh ke pelosok fikiran yang sering menyalahkan diri sendiri. Lalu ia bertukar menjadi parasit yang memakan jiwa sedikit demi sedikit. Sehinggalah otak berkeputusan untuk lari. Pergi daripada semua orang yang tidak mahu mengerti.

Dia ... Hanan ... suaminya pernah melakukan perkara itu suatu ketika dahulu. Hanan lari untuk selamatkan jiwa yang kian mati. Tetapi Flora langsung tak sedar. Dia hanya fikir kesakitannya sendiri. Menyalahkan Hanan kerana tergamak meninggalkan dia. Tanpa Flora tahu bahawa setiap langkah Hanan seperti berpijak pada duri, mencipta luka baru tanpa merawat luka lama. Sudahnya, darah daripada luka itulah menjadi lautan yang menenggelamkan dia.

"Tak ... Aku ... minta maaf. Aku minta maaf ..." Flora menggeleng beberapa kali. Sebagai jawapan kepada persoalan yang menujahnya tadi. Tangannya naik melingkar ke leher Hanan sebelum menarik tubuh suaminya ke dalam dakapan hangat. "Kita tak salah ... kita tak salah ..."

Tiada suara yang bergema di ruang tidur itu lagi. Mereka senyap dalam rangkulan masing-masing. Itu apa yang mereka perlukan sekarang ini. Ruang yang senyap, sunyi, juga sepi supaya masing-masing dapat berfikir panjang. Melusuri segala memori pahit yang suatu ketika dahulu pernah menolak mereka ke bawah lembah yang paling dalam. Namun, jauh di sudut hati, mereka mengharapkan di hujung lembah itu, bakal ada ketenangan yang selama ini mereka idam.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now