BAB 16

23 4 0
                                    

BAB 16

"HANAN!" Nurin muncul dari dalam restoran. Tercungap-cungap bagaikan baru mengejar sesuatu. Apabila dia melihat Flora dan Hanan berdua di hadapan pintu, langkah Nurin mati. Mata turut membulat. Dipandang mereka silih berganti sebelum bibirnya diketap erat. Salah langkah.

Bukan begini ...

Nurin tidak bercadang untuk pertemukan mereka dengan cara begini.

Flora memandang kedua beradik itu silih berganti. Sudahnya, anak mata Flora berhenti pada susuk Hanan. Iris hitam pekatnya sudah sedia menyambut. Beberapa detik mereka bersabung mata sebelum Flora mengurangkan jarak.

Selangkah ke hadapan.

Flora mendongak.

Tangan diangkat.

Pang!

Kepala Hanan terteleng ke sisi.

Flora menarik nafas dalam-dalam. Mengapa tiada siapa pernah memberitahunya bahawa menampar seseorang bakal mengerah tenaga? Sepertinya dia baru saja meletakkan segala kudrat juga emosi di atas tapak tangan dan melepaskannya kepada gerangan sana. Segala kemarahan, kesedihan, kerinduan yang menggunung dilepaskan semuanya.

Hanan diam. Tak berganjak. Tak juga melawan. Hanya melirik Flora dengan mata yang hampir ditutup rambut hitamnya. Dia sedar ini yang sepatutnya dia dapat. Memang layak ditampar. Salahnya pergi meninggalkan Flora tanpa sebarang bicara yang kukuh. Hanan sedar semua itu.

Tatapan mata Flora membuatkan seluruh tubuh Hanan merinding kekesalan. Namun, untuk berpatah balik dan membetulkan segalanya, dia tak mampu. Disebabkan itu, Hanan hanya diam menerima hukuman yang Flora berikan.

Kepalanya kembali diposisikan seperti sedia kala. Air muka Hanan tidak memberikan reaksi apa-apa. Beberapa detik berlalu sebelum Hanan menoleh ke tepi. Melihat ke arah kakaknya yang sedari tadi menjadi pemerhati.

"Apa yang akak buat ni? Kenapa bawa Flora ke sini?" Hanan mencerun ke arah Nurin.

"I told you; I'll do anything to bring you back."

"Sudah-sudahlah tu, kak ... Setiap kali kakak ke sini, itu sajalah yang kita gaduhkan. Kenapa perlu kaitkan Flora sekali?"

"Betul, setiap kali kita berjumpa, itu ajelah topik yang kita gaduhkan. Aku dah putus asa untuk paksa kau sebenarnya. Disebabkan itulah, aku guna cara terakhir ni. Kalau aku atau mama tak mampu jadi penyebab utama kau pulang, aku harap isteri kau mampu jadi penyebabnya, Hanan."

Flora terpempan. Alisnya bertaut. Cuba untuk memproses situasi.

Ah, begitu ...

Sekarang dia sudah faham hujung pangkal. Rupanya selama ini, Nurin tahu keberadaan Hanan. Malah, Flora tak terkejut kalau sebenarnya Nurin sendiri yang membawa Hanan ke sini empat tahun lalu. Pasti dia bersubahat sekali mengikut keputusan adiknya itu.

Agaknya setelah sekian lama, Nurin tak sanggup hendak tutup jejak. Dia juga pasti ingin mengheret Hanan pulang.

"I need an explanation." Flora memecahkan keheningan. Tak guna mencipta spekulasi. Belum tentu sahihnya. Lebih baik dia mendengar penjelasan daripada tuan badan sendiri.

"Hanan will give you one. Masuk. Both of you. Especially you, Hanan. Jangan lari." Nurin memberi amaran siap-siap. Dia memusingkan badan seraya menolak kembali pintu restoran.

Flora melirik Hanan. Lelaki itu melakukan hal serupa. Masing-masing senyap. Flora sendiri tak tahu mahu bicara apa padanya. Apa yang perlu dia katakan? Patutkah dia marah dan memaki Hanan? Patutkah dia menangis melepaskan rindu? Atau dia patut bergelak ketawa lega kerana gembira dapat bersua muka setelah sekian lama?

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now