BAB 2

20 4 0
                                    

BAB 2

PELAJAR sekolah menengah kebiasannya pulang pukul 1:00 petang. Namun, disebabkan adik aku pelajar tingkatan lima, dia keluar sedikit lewat daripada kebiasaannya. Ada kelas tambahan pada setiap hari Isnin, Selasa dan Khamis. Hampir sejam aku bertapa di luar pagar sekolah dengan si Bubu. Terlupa yang adik aku sepatutnya habis sekolah pukul 2:00 petang pada hari itu.

Mujurlah dalam kereta ada pendingin hawa. Tak adalah rasa membahang sangat. Bosan menunggu, aku melalak lagu-lagu nyanyian Olivia Rodrigo dengan si Bubu. Suara Bubu sumbanglah semestinya. Geram pula aku bila berduet dengan dia. Tak feeling langsung!

Pelajar dah mula keluar sedikit demi sedikit sebelum kawasan luar sekolah dipenuhi dengan lautan manusia. Mereka berbondong-bondong berpakaian seragam. Hampir berpinar biji mata aku mencari kelibat Felisha. Semuanya nampak serupa pada pandangan mata kasar.

Harapnya Felisha perasankan kereta aku di bahu jalan ni. Nanti tak fasal-fasal, dia menonong balik ke rumah dengan berjalan kaki. Maklumlah, bukan selalu aku berbaik hati nak mengambilnya di sekolah. Ini pun sebab aku tengah cuti semester. Aku menetap di rumah sewa berhampiran universiti. Hanya pulang ke rumah dua minggu sekali.

Seperti jangkaanku, kelihatan kelibat Felisha menonong jalan bersama rakan-rakannya. Mulut tak henti berceloteh. Sesekali bergelak tawa. Langsung dia tak perasankan kereta cantikku.

Aku menukar gear. Kereta dipandu mendekati kawasan pejalan kaki. Hon dibunyikan, tingkap kereta diurunkan.

"Fel, Mai ... naik lekas!" Aku bersuara sedikit lantang. Memanggil adikku dan seorang lagi gadis di sebelahnya. Hanya dua nama sahaja. Tak kuasa aku nak mempelawa rakan-rakannya yang lain. Bukannya rumah kami satu arah pun. Dan aku tidak dibayar upah untuk menghantar anak orang pulang.

Felisha dan Maisarah menoleh. Lebar senyuman mereka sebelum dua gadis itu berpamitan dengan rakan-rakan yang lain. Usai itu, langkah mereka dilajukan mendekati kereta. Terus Felisha dan Maisarah membuka pintu belakang tatkala melihat tempat duduk hadapan sudah ada penumpang.

"Bubu!" Maisarah mencubit pipi Bubu. Kucing jantan agak berbeza dengan kucing betina. Mereka ada 'pipi' sebagai pelindung. Kadang-kadang aku cemburu bila tengok pipi Bubu sebab Salmah tak ada pipi macam itu. Aku tak boleh nak picit pipi Salmah.

Bubu terus mengiau tatkala melihat muka kakaknya.

Iya, kakak. Maisarah merupakan salah seorang penjaga Bubu, sekali gus merangkap adik kepada si tenuk Hanan. Tapi berbeza dengan Hanan, Maisarah seorang gadis yang periang dan baik hati. Aku sukakan dia. Malah, aku sukakan semua ahli keluarga Hanan kecuali ... Hanan. Dia je yang aku paling anti sepanjang zaman.

Kadang aku bingung. Bagaimana Hanan boleh datang daripada keluarga yang sopan tingkahnya? Perangai Hanan begitu kontra dengan adik-beradiknya yang lain. Mungkin kerana dia seorang saja lelaki dalam keseluruhan adik-beradiknya. Yang lain kesemuanya perempuan. Umpama seekor kumbang liar yang diapit bunga-bunga indah. Patutlah ibu tak nampak sisi hodoh Hanan tu. Semuanya telah dikaburi kerana dia hidup dalam taman bunga!

"Hari ni kelas apa?" soalku basi-basa. Sengaja buka topik. Tangan menurunkan brek di sisi lalu pedal minyak ditekan. Kereta meluncur di atas jalan.

"Kelas tambahan tadi ke?" Felisha bertanyakan aku semula, mahu memastikan konteks persoalan.

"Iya."

"Kelas matematik tambahan."

"Wah! Favourite kau berdua, kan?" usikku bersama sengihan lebar. Mata mengerling cermin pandang belakang. Bila nampak wajah cemberut Felisha dan Maisarah, terus aku hamburkan tawa.

"Eee, bencilah! Tak payahlah buka topik akademik. Penat tahu tak?" Felisha merungut sambil menyilangkan tangan. Bertaut rapat keningnya. Anak mata tajam memandangku dengan riak tak puas hati.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now