BAB 13

19 4 0
                                    

BAB 13

"KENAPA, Felisha?" Flora menyoal saat kelibat Felisha memasuki ruang kerjanya. Diletakkan pen ke tepi, memberi sepenuh perhatian kepada gadis yang baru muncul itu. Kelat saja mukanya. Baru tertelan peria katak ke?

"Kenapa kau datang sekali dengan Encik Taufiq tadi?"

"Dia pelawa untuk tumpangkan payung waktu aku duduk termenung dalam kereta tadi. Kau punya fasal la, Felisha. Payung aku semalam kau rembat pergi pasar malam. Lepas tu, tak letak semula dalam kereta."

Felisha masih dengan muka masam mencukanya.

"Muka macam nak minta kaki tu, kenapa?" tanya Flora lagi apabila dirasakan adik bongsunya itu masih punya hal yang ingin dibincangkan.

"Aku tak sukalah kau rapat dengan Encik Taufiq tu."

"Eh, rapat apanya? Dia kan regular customer kita. Aku layan macam customer jugalah."

"Kau layan dia macam customer tapi dia layan kau melebih-lebih. Sekilas tengok pun, orang boleh tahu dia ada hati dekat kau. Hati-hati sikit."

"Tak adalah. Mengarut kau ni. Encik Taufiq tu memang jenis mesra alam, kan? Dengan kau pun dia layan sama je."

Huh, 'layan sama je', katanya? Kak Flora ni buta ke? Naik pening Felisha dibuatnya.

"Jangan sampai timbul fitnah, kak ..." Felisha mengingatkan lagi. Tak mahu kakaknya itu termakan dengan godaan. Felisha bukannya bodoh tak dapat melihat betapa gigihnya Taufiq cuba untuk memikat Flora. Risau sungguh dibuatnya apabila Flora seakan tak faham dengan tindakan Taufiq itu.

'Dungu sangat ke kakak aku ni? Ataupun terlebih naif?' Felisha tak punya jawapan jelas.

"Aku masih tahu jaga batas. Jangan risaulah."

"Aku ingatkan aje." Felisha menghela nafas. Tak mahu cakap lebih-lebih. Kecil hati pula kakaknya nanti. "Kau dah siap packing untuk ke London besok?" Sudahnya dia menukar topik perbualan.

"Sudah. Sementara aku tak ada untuk sebulan ni, tolong jagakan hotel ni elok-elok. Jangan kasi muflis pula!"

"Eleh, hotel kucing je pun. Tak akan muflis la."

"Eh, hotel kucing inilah yang tanggung yuran universiti kau tau. Duit belanja kau pun datang daripada situ. Berani eh ambil remeh? Aku potong elaun nanti." Flora mengugut. Tahu yang Felisha bakal gelabah kalau duit gajinya diusik.

"Iyalah! Aku gurau je. Janganlah potong elaun."

"Tahu takut."

Felisha memuncung. Tak lama sebelum dia meleretkan kembali suaranya, "Kak ... nanti belikan oleh-oleh banyak sikit. Ehehehe ..."

"Tengoklah ... kau habis cuti sem bila?"

"Dua bulan lagi. Relakslah kak. Kau balik nanti, aku masih cuti. Tak perlu risau sangat pasal hotel ni. Tahulah aku nak menjaganya. Staf lain pun akan bantu."

"Mestilah aku risau. Kelmarin ada customer datang kompelin, kan? Aku tak mahu ada kejadian macam itu berlaku waktu aku tak ada. Kesian pula kalau kau kena handle perangai customer seorang-seorang," ujar Flora sambil membetulkan duduk. Lenguh pula pinggangnya apabila berkeadaan statik sedari tadi.

Kalau dulu, elok saja dia duduk di kerusi lama-lama. Sekarang ini, makin mengada-ngada pula badannya. Tanda-tanda penuaan ke apa? Tapi Flora Humairah masih di pertengahan 20-an. Muda belia. Kulit pun bergetah lagi tau! Tambah-tambah lagi dengan kenyataan: thirty is the new twenty. Flora masih punya empat tahun sebelum umur depannya bertukar angka.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now