BAB 33

17 5 0
                                    

BAB 33

KAITAN benang halus berwarna putih ditarik mata jarum bercangkuk kecil. Sangat teliti. Bagaikan kain renda yang dicetak menggunakan mesin. Namun, hasil jari runcing itu lebih memukau. Flora ralit melihat pergerakan tangan itu.

"Flora nak belajar mengait?"

"Tangan Flora keras macam kayu la, mama ..."

Puan Meeya tersenyum simpul. Mata tak lepas daripada memandang benang kaitnya. Walaupun dia sudah terbiasa menyimpul dan mengikat alur, setiap pergerakan perlu dilakukan dengan berhati-hati. Kerana jika tersilap langkah, amat susah untuk dibetulkan semula.

Seperti hidup manusia juga. Jika tersilap langkah, amat payah untuk membetulkan keadaan seperti sedia kala. Kadang perlu berpatah balik, merungkai semua benang itu walaupun hanya satu langkah yang salah. Tetapi kecacatan satu kaitan benang itu sudah cukup untuk menghodohkan keseluruhan sulaman.

"Mama ada lima orang anak perempuan. Seorang pun tak reti mengait. Anak lelaki mama pula yang halus tangannya. Dia lebih reti mengait berbanding kakak dan adiknya." Suara merdu Puan Meeya kedengaran setelah lama menyepi.

Flora terkebil-kebil.

"Iya? Flora tak pernah tahu pun."

"Memanglah Flora tak tahu. Dia tak pernah mengait setelah arwah ayahnya melarang dulu. Kata ayahnya, itu kerja orang perempuan. Anak lelaki tak patut buat."

"Oh ..." dan Hanan mengikut kata? Hampir tergelak sinis Flora dibuatnya. Sejak bila lelaki itu mendengar cakap? Selalunya makin dilarang, makin galak dia buat.

"Dia tak bantah sebab dia tak mahu arwah ayahnya buang semua alat mengait dalam rumah ni. Kalau ianya dibuang, mama akan sedih. Itu hobi mama." Puan Meeya bagai tahu-tahu apa yang bermain dalam fikiran Flora.

Flora terpempan sebelum hujung bibirnya menggaris senyuman tipis. Hanan memang ... Hanan. Memberontaknya kuat, tetapi patuhnya juga kuat. Kadang Flora tak dapat mengagak apa tindakan Hanan dalam menempuh sesuatu situasi. Ada kalanya, dia boleh membaca tindak-tanduk Hanan. Kadang-kala, Flora bagaikan membuka buku baru yang tak pernah berusik, dalam bahasa yang tak dapat difahami. Itulah apa yang dia rasa setiap kali berdepan dengan Hanan.

"Orang kata ... jaga anak perempuan itu lebih susah daripada menjaga sepuluh orang anak lelaki. Tetapi pada mama, menjaga setiap anak itu ada dugaan tersendiri sebab semuanya punya ragam masing-masing. Perihal menjaga anak lelaki, mama tak berapa reti. Mama membesar dengan adik-beradik perempuan. Kebanyakannya, mama serahkan didikan Hanan pada arwah suami mama." Puan Meeya bercerita lagi.

Flora diam. Selesa menjadi pendengar. Pertama kali ibu mentuanya membuka cerita lama. Flora ingin tahu karakter Hanan dari sudut pandang mama kandungnya. Pasti berbeza dengan karakter yang selalu dia lihat sebagai seorang sahabat dan isteri.

"Arwah memang garang orangnya. Flora pun tahu, kan? Dengan kakak-kakaknya, arwah ayah tak berkeras sangat. Tapi disebabkan dia satu-satunya anak lelaki ... cara didikannya lain sikit dengan adik-beradik lain."

Flora tahu.

Arwah ayah mentuanya memang terlampau garang. Hanan pula jenis keras kepala. Sememangnya dua beranak itu selalu tak sebulu. Namun, disebabkan mereka berdua saja lelaki dalam keluarga itu, terbit jugalah ikatan dan pertalian jiwa. Hubungan anak-beranak itu sama sekali tidak akan putus walaupun kedua-duanya bagai langit dan bumi.

"Hanan manja dengan mama. Mungkin sebab dia banyak ikut personaliti mama. Cara pembawakan diri, cara bercakap ... semuanya persis mama. Degilnya pun ikut mama juga." Puan Meeya tawa halus di hujung ayat. Mata merenung jauh ke dalam simpulan benang. Mengenang memori lama.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now