BAB 12

23 3 0
                                    

BAB 12

4 tahun kemudian ...

GERIMIS pagi. Pasti ada rahmat dan keberkatan yang dibawa turun ke bumi untuk seluruh umat manusia. Dia tenangkan hati, berbisik ke naluri. Mengambil kesempatan itu sepuas-puasnya untuk panjatkan doa. Semoga Tuhan lapangkan dadanya untuk menghadap ujian dunia. Semoga segala urusan sepanjang hari ini dipermudah untuknya.

Entah berapa lama dia berteleku sendiri. Badan disandarkan. Ralit dia melihat titisan hujan yang menampar cermin keretanya. Semakin lama, semakin lebat. Walaupun dia tahu hujan itu rahmat, dia tetap risau melihatkan betapa derasnya hembusan angin yang sungguh kuat. Sampaikan dia terpaksa menunda niatnya untuk melangkah keluar daripada perut kereta.

Jarak tempat keretanya diparkir tidaklah jauh dari destinasinya pagi ini. Dari sini pun, dia sudah dapat melihat papan tanda sebesar alam. Purrfect Staycation. Sebuah hotel kucing dua tingkat yang sudah dua tahun bertapak.

Dekat, tapi dia perlu berjalan kaki untuk ke sana. Malangnya, payung yang sentiasa tersedia dalam kereta baru dikeluarkan semalam. Semuanya angkara adiknya yang ingin meminjam payung untuk ke pasar malam.

Bukanlah dia mahu menyalahkan adiknya. Dia bukan peramal masa depan, mengetahui cuaca apa yang bakal membalut kota itu. Malah, ramalan cuaca juga bukannya selalu betul. Sewaktu dia bangun tadi, ramalan cuaca mengatakan Kuala Lumpur bakal cerah sehingga petang. Namun, belum sampai tengah hari, hujan sudah merembes.

Haih, mujurlah dia bos. Tiada siapa yang hendak marah jika dia masuk lambat. Entah-entah, staf-staf lebih suka bila dia lewat.

Tok! Tok!

Hampir terlompat dibuatnya. Dia pandang ke sisi cermin. Ada seseorang sedang berdiri di situ bersama payung yang melindung kepala. Lelaki yang kemas berkemeja. Gaya untuk ke pejabat. Di sebelah tangannya, tersisip sebuah sangkar kecil.

Cermin kereta diturunkan sedikit. Cukup untuk bersua dengan gerangan yang muncul tiba-tiba. Tempias hujan sesekali mencucuk kulit. Mujurlah payung lelaki itu menghalang titisan air masuk ke dalam keretanya.

"Encik Taufiq?"

"Cik Flora, nak ke hotel kucing ke?"

Flora terpinga-pinga untuk beberapa detik sebelum mengangguk.

"Ha'ah, tapi hujan lebat. Saya tengah tunggu hujan reda."

"Jomlah, saya hantarkan. Saya pun nak ke sana. Mahu hantarkan Coco, macam biasa," pelawa Taufiq bersama senyuman manis. Kebetulan dia melihat kereta pemilik hotel kucing tersebut. Dia cukup kenal dengan tuan empunya nama Flora itu. Wanita yang selalu ramah menegurnya setiap kali Taufiq datang ke hotel kucing untuk meninggalkan Coco pada hujung minggu.

"Eh, tak perlu susah-susah. Sikit lagi reda la hujan ni."

"Tak susah pun, Cik Flora. Lagipun, awak selalu jagakan kucing saya. Apalah sangat setakat saya tolong payungkan awak ke sana."

Flora pandang ke hadapan kereta dan Taufiq silih berganti. Sudahnya dia bersetuju. Tak tahan duduk di dalam kereta lebih lama. Sejuk walaupun pendingin hawanya berada di suhu paling rendah. Separuh hati ralat hendak menolak pelawaan niat baik orang. Mungkin Tuhan betul-betul memakbulkan doanya tadi. Urusannya untuk ke tempat kerja dipermudah walaupun ada ribut badai sedang melanda.

Enjin kereta dimatikan. Flora melangkah keluar daripada kereta. Berhati-hati. Takut kain labuhnya basah terkena lecak. Apabila dia selamat duduk di bawah payung, barulah mereka berdua beriringan ke hotel kucing berjarak seratus meter dari tempat parkir itu.

Apabila kakinya melangkah masuk ke dalam bangunan, barulah Flora dapat menarik nafas lega. Bersyukur dia tidak basah lencun bermandikan tangisan langit sana.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now