BAB 15

18 3 0
                                    

BAB 15

HAMPIR seminggu Flora berada di kota London. Badan pun dah terbiasa dengan suhu yang jauh beza daripada suhu di tanah air sendiri. Gembira kerana dia tak demam dek perubahan cuaca. Hari ini, Flora berseorangan lagi. Nurin benar-benar sibuk menguruskan kerjanya. Berulang-alik dari rumah ke studio seni yang terletak di Fulham. Kadang-kala, lewat malam baru nampak batang hidungnya.

Kini, Flora baru pulang daripada mengambil angin. Sekadar berjalan untuk dapatkan cahaya matahari buat tubuhnya. Acah-acah seperti tumbuhan yang memerlukan fotosintesis. Tetapi 'fotosintesis' Flora tak lama. Setelah sejam, dia kembali semula ke apartmen.

Flora menekan nombor pin sambil bersenandung kecil. Apabila terdengar bunyi kunci dibuka, Flora ingin membukanya. Namun tak semena-mena, tangannya terhenti tatkala sebuah pandangan menjamah mata. Di tepi pintu unit sebelah, terdapat sebuah lukisan yang tersandar.

Karya pemandangan malam yang diserikan dengan pelbagai jenis bunga. Kesemua bunga itu pula berwarna putih bersama tinta kemerahan, berlatar belakangkan bintang-bintang yang bergemerlapan. Sebuah penciptaan yang sangat memukau mata. Melihatkan keadaan kanvas yang masih baru rupanya, Flora ligat membuat spekulasi.

Mungkin lukisan yang baru dibeli.

Atau ...

Jiran sebelah ini juga seorang pelukis seperti Nurin?

"Miau!"

Flora tersentak. Terpasung tangannya yang mahu membuka pintu rumah. Dia menoleh ke belakang, melihat suara yang datang bertandang. Di situ, ada seekor kucing berbulu kelabu. Bercorak belang, bermata biru. Sedang melangut bagaikan ingin sesuatu.

"Hai!" Flora terus bercangkung. Kucing yang menegurnya itu diusap beberapa kali. Tiada bantahan daripada si belang akan sentuhan Flora. Malah, makin disuakan muka, minta diusap-usap.

Apabila perasankan sesuatu di lehernya, Flora membelek lama.

"Bianca?" Flora membaca tag nama di kolar kucing itu.

"Miau!" Iya!

Flora sengih. Bukan main sedap namanya. Flora mengintai di belakang. Oh, kucing betina. Jika berkolar, pasti kucing ini ada tuannya. Mesti milik jiran tetangga. Patutlah dia tak takut merayau. Sudah terbiasa agaknya.

"Bianca dah makan?"

Senyap.

Hmm, tak faham bahasa Melayu agaknya. Maklumlah, lahirnya di kota London.

"Have you eaten yet?"

"Miau!"

Oh, benarlah dia tak faham bahasa Melayu.

Flora bangkit. Jika kucing ini milik jiran tetangga di apartmen ini, tiada apa yang perlu dirisaukan. Tahulah dia mencari jalan pulang. Yakin dengan telahannya, Flora kembali membuka pintu unit rumahnya. Mahu masuk ke dalam.

"Eh, no no ... you can't follow me." Flora menghalang apabila Bianca turut mengekor. Dia menahan tubuh si kecil itu daripada mengikut jejaknya. Satu hal pula kalau tuannya cari. Mahu menangis pemiliknya kalau kucingnya hilang mengikut jejak orang.

Flora faham perasaan menghadapi situasi kucing hilang. Salmah dulu pun pernah merajuk sampai tak mahu pulang ke rumah. Tapi untuk dua hari sajalah hilangnya. Salmah dijumpai semula di tepi rak selipar masjid pada waktu senja.

"Bye!" Setelah memastikan Bianca tidak lagi mengendeng, Flora melambaikan tangan. Pintu ditarik.

Bianca terpinga-pinga sebelum dialihkan muka dari pintu tersebut. Dia melangkah ke tepi, merapati kanvas yang terletak di sisi. Hampir lima minit dia termenung di hadapan lukisan itu sambil diselang dengan aktiviti mendadan bulu-bulunya. Sesekali dia menghadap pintu yang tertutup. Menunggu.

Purrfect Match (Revamp)Where stories live. Discover now