Kalau ikutkan, cuaca pada pagi tersebut taklah panas mana tapi cukup panas untuk Lisa memakai cermin mata hitam serta sunblock pada kulit wajahnya. Kulitnya yang sederhana cerah itu boleh naik gelap sekiranya tidak dipakai sunblock jadi untuk mengelakkan hal itu berlaku, adalah lebih elok jika dia mengambil langkah berjaga-jaga.
Lisa masuk ke dalam mall tersebut dengan tiada hala tuju. Selepas sah menjadi seorang penganggur lulusan ijazah sarjana muda, Lisa memutuskan untuk enjoy dahulu hidupnya sebelum memikirkan rasionalnya sekiranya dia berkerja. Duit kebajikan yang diterimanya setiap bulan itu kalau nak diikutkan memang lebih dari cukup tambahan pula keluarga angkatnya juga masih tabah menjaganya daripada kecil.
Sedang Lisa berjalan sendirian, dia terasa perutnya berkeroncong semacam. Barulah dia sedar yang kali terakhir dia makan adalah pagi tadi jam sembilan dan kini jam sudah pun menunjukkan angka empat petang. Matanya mula menerawang mencari mana-mana kedai makan yang menarik minatnya.
Dia memilih sebuah kafe hipster sebagai tempat memuaskan nafsu makan. Dalam hatinya berbisik yang mungkin orang akan fikir dia itu loner tahap teruk sampaikan nak makan pun seorang diri. Tapi Lisa selesa begitu. Dia ada masalah sedikit dalam berkomunikasi dengan manusia ni. Baginya, dia selesa bersendirian kerana dia boleh melakukan apa sahaja mengikut kemahuannya sendiri.
Dia memesan sepinggan spaghetti Bolognese dan segelas jus oren sebelum memulakan misi job huntingnya melalui Internet. Memanglah dia tak terdesak hendak mencari kerja tapi apa gunanya segulung ijazah sekiranya tidak dimanfaatkan? Sia-sia sahajalah dia mengerah otak bertahun dahulu.
Sedang dia menikmati hidangannya, dia perasan ada seorang wanita yang asyik memandangnya dari jauh. Wanita itu memakai dress berwarna hijau dan pada rautnya, dia seperti sudah berusia lingkungan awal 40an.
Lisa mula rasa tidak selesa. Pantas dia membayar makanannya dan keluar dari kafe tersebut. Dia warawiri sekitar mall tersebut mencari mana-mana outlet yang memerlukan pekerja sepenuh masa. Malangnya ketika itu musim pelajar SPM baru habis periksa jadi semua pekerjaan lebih tertumpu kepada pekerja separuh masa sahaja.
"Cik!" Seseorang menegurnya dari belakang. Ianya adalah wanita yang dilihatnya tadi di dalam kafe tersebut.
"Oh, ya. Awak panggil saya ke?"
"Ya, saya panggil cik."
"Kenapa ya?"
"Cik cari kerja ke?"
"Ya?"
Wanita tersebut tersenyum. Kemudian dia menghulurkan kad perniagaannya kepada Lisa.
"Melinda Muhammad, Ketua Editor Majalah Inspirasi."
"Puan Melinda..."
"Cik Melinda."
"Maafkan saya. Cik Melinda nak offer saya kerja apa kat penerbitan ni? Saya bukannya lulusan kesusasteraan atau penulisan pun. Kalau cik rasa nak ambil saya jadi pekerja cik, maaflah cik silap orang. Dan tolong jangan panggil macam ni kat orang lain. Seram tau!"
Wanita itu ketawa kecil. Kemudian dia mengajak Lisa untuk duduk minum di sebuah kafe aiskrim untuk berbincang. Lisa terus bersetuju dengan pelawaan tersebut tanpa sebarang dalih. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia bersetuju.
"Sejujurnya saya tak ada niat pun untuk ambil Cik Lisa berkerja dengan syarikat saya. Untuk pengetahuan cik, saya adalah anak kedua kepada Tuan Muhammad Suboh dan Cik Puan Marseilla. Saya pasti cik tak kenal kedua-dua mereka."
Lisa menggeleng kepala. Sebenarnya dia terasa pelik dengan wanita tersebut dan dalam masa yang sama rasa ingin tahunya membuak-buak.
"Abang saya, Tuan Mahmud Muhammad telah kematian isterinya 20 tahun lepas iaitu Cik Puan Ramona. Cik Puan Ramona adalah seorang wanita yang sangat cantik tapi usianya diambil pada usia yang sangat muda iaitu 25 tahun."
YOU ARE READING
Arwah Cik Puan Ramona
Mystery / ThrillerDalam keadaan yang sangat pelik, Lisa dinikahkan dengan Tuan Mahmud, seorang orang kaya yang sekali ganda usianya. Apa yang menyeramkan adalah dia mempunyai rupa paras dengan arwah Cik Puan Ramona iaitu isteri Tuan Mahmud yang sudah meninggal bertah...