Seminggu bergelar isteri kepada Tuan Mahmud, sejujurnya Lisa masih tidak betah untuk menyesuaikan diri. Ada sahaja yang menjadi kekekokannya di villa tersebut. Malah sehingga hari itu, dia masih lagi terkejut melihat potret besar Cik Puan Ramona di ruang tamu villa tersebut. Dia merasakan seperti dia melihat potretnya sendiri daripada potret wajah orang lain.
Kak Gee banyak mengajarnya tentang adat resam di dalam villa tersebut. Pembantu rumah bermulut becok bertubuh gemuk pendek itu tidak pernah kenal erti penat memberi tunjuk ajar kepada Lisa tentang cara untuk menjadi seorang Cik Puan. Sekarang, satu rumah memanggilnya dengan Cik Puan Muda Lisa.
Tapi tidak bagi Mak Biah. Dia sangat bencikan Lisa.
"Tuan, saya rasa baik tuan tukar katil bilik tidur tuan." Mak Biah menyuarakan usulnya ketika seisi rumah itu sedang bersarapan pagi.
"Kenapa pulak, Mak Biah? Katil tu elok je lagi kan?"
"Tuan tak rasa ke yang tuan dah khianat pada arwah Cik Puan Ramona?! Arwah Cik Puan Ramona yang pilih katil tu dulu masa ulang tahun perkahwinan tuan dan arwah yang pertama dulu."
"Jadi? Sekurangnya ia akan jadi suatu kenangan yang memorable pada saya juga kan?"
"Tuan tidur dengan perempuan lain atas katil tu. Itu masalahnya, tuan."
"Biah, saya tak rasa benda tu sepatutnya jadi isu. Saya pun tak rasa yang Ramona akan kisah tentang semua tu.. Ramona was an understanding woman, right?"
Mak Biah terus menarik muka masam. Dia terus membawa langkah ke dapur untuk menyelesaikan kerjanya yang sebenarnya tak penting mana tapi disebabkan dia jelak memandang muka Lisa, maka dia berbuat demikian.
Lisa putus selera untuk menyambung bersarapan. Dia memandang wajah suaminya yang kekal dengan imej perengusnya itu. Ketika Tuan Mahmud memandangnya, pantas dia mengalih pandangannya ke arah lain.
"Mona..."
Lisa memandang tajam ke arah suaminya.
"Maaf, maksud abang, Lisa. Kenapa, Lisa?"
"Takde apa. Lisa cuma takde selera nak makan je."
"Kak Gee masak nasi goreng tak sedap ke, Lisa?"
"Eh, taklah. Kan Lisa dah cakap yang Lisa takde selera tadi. Entahlah, Lisa pun tak tahu kenapa."
Tuan Mahmud menekapkan tangannya ke dahi Lisa. "Lisa demam ke?"
"Taklah."
"Panas sikit. Nanti abang suruh Mak Biah buatkan air limau suam untuk Lisa..."
"Tak payahlah, bang!" Dengan layanan dingin Mak Biah terhadapnya, Lisa malas hendak menyuruh pembantu tua itu melakukan apa-apa kepadanya.
"Dah tu awak demam ni haa. Nak abang bawak pergi klinik?"
"Tak payah. Menjelang petang nanti, kebahlah demam Lisa ni."
"Well, if you said so."
Tuan Mahmud dan Razziq pun keluar ke tempat kerja dan sekolah dengan pemandu mereka yang bernama Jarod. Tinggallah Lisa terkontang-kanting di villa tersebut tanpa teman untuk berbual. Hendak diajak rakan-rakannya datang melawat, dia mana ada ramai sangat kenalan. Dan kalau ada sekalipun, tahukah mereka hendak menuju ke villa tersebut?
Lisa banyak menghabiskan masa dengan berbual bersama Kak Gee. Menurut apa yang diceritakannya, Kak Gee merupakan seorang janda yang bercerai hidup dengan bekas suaminya. Bekas suaminya yang merupakan seorang pesara tentera bertindak menceraikannya dengan talak satu apabila berkenan dengan seorang janda beranak satu di hadapan rumah mereka. Kini tinggallah Kak Gee hidup bersama lima orang anaknya yang dia hantar pulang untuk tinggal bersama dengan ibunya di kampung.
YOU ARE READING
Arwah Cik Puan Ramona
Misterio / SuspensoDalam keadaan yang sangat pelik, Lisa dinikahkan dengan Tuan Mahmud, seorang orang kaya yang sekali ganda usianya. Apa yang menyeramkan adalah dia mempunyai rupa paras dengan arwah Cik Puan Ramona iaitu isteri Tuan Mahmud yang sudah meninggal bertah...