Tangan yang diletakkan di atas lutut sudah berkali-kali dikepal cuba untuk mengurangkan rasa gugup tetapi jelas sekali tangannya terasa menggeletar dan berpeluh dingin.Jantungnya sudah seakan hendak melompat keluar dari sangkar rusuk.
Ruangan itu samar-samar dengan sinaran malap api yang berderak-derak meratah kayu di pendiangan.Cahaya bulan menerobos dari cermin tingkap yang tinggi mencecah siling sesekali mengintip dari sebalik langsir yang berat menjadikan suasana ruangan tersebut gelap dan hangat tetapi tetap membuatkannya panas dingin dengan butiran peluh merenik-renik di pangkal dahi.Meleleh menuruni pelipis.
Berbalam-balam dari kerusi tinggi nun dihujung meja sana yang terlindung daripada jangkauan sinaran api dari pendiangan kelibat susuk tubuh yang sejak tadi hanya memerhatikannya dari celah kegelapan sudah cukup membuatkan dia tidak senang duduk.
Suasana ruang tamu tersebut sangat merimaskan dan membuatkan bulu romanya berdiri tegak kerana dia tahu ada sepasang mata yang sedang memerhatikannya dari hujung meja.Satu tatapan mata yang terasa tajam mencekik dan menikam ubun-ubun.Menarik nafas pun lelaki itu terasa mengah sendiri.
" Kilang di Sektor 2 Pangea Utara." Suara dari dalam gelap itu kedengaran kering tetapi berat dan dalam " Perlu aku turun sendiri untuk selesaikan masalah tu??"
Seorang lagi lelaki lain yang turut berada di dalam bilik tersebut terlonjak berdiri.Menyedari pertanyaan dalam nada rendah itu ditujukan khas kepadanya.Suara berat yang bertanya kepadanya itu datar sahaja tetapi menyeramkan pada pendengarannya.
" Ssaayyyyaaaa akannn selessaiiiikkannn , Tuann..Diaa cummma annggota baru dari akademi.Ttakk ttahhu appa-appppaa"
" Kau tahukan apa akibatnya?"
Dalam samar-samar lelaki yang ditanya itu hanya menganggukkan kepalanya.Jika sahaja seluruh ruangan itu terang benderang, pasti sesiapa pun dapat melihat betapa lesi wajah nya ketika itu.Tekaknya kering mendadak sehingga menyukarkan dia untuk menyahut.
Berurusan dengan orang-orang dari rumah agam di atas bukit itu tidak pernah sekalipun menjadi satu urusan yang menyenangkan.Dia sangat tahu.Menyinggung mereka samalah seperti menempah maut sendiri.
Bukan tidak pernah orang yang dihantar menjadi wakil setiap kali pertemuan diadakan tidak pernah lagi dilihat selepas itu.Hilang seperti ditelan bumi ataupun ditemui beberapa hari kemudian terapung di tengah laut ataupun tertanam didalam timbunan daun kering dengan keadaan mayat yang mengerikan.
Begitu-begitu sahaja.Riuh sebentar dan kemudian senyap dengan kesimpulan-kesimpulan aneh tentang penyebab kematian mereka dan yang pasti tidak ada sesiapa pun yang cukup gila untuk mempersoalkan hal itu sehingga hari ini.
" Kami akan usahakan secepat mungkin untuk menyiapkan semula kilang itu, Tuan.Tapi.."
Satu suara lain dari hadapan sana menyahut takut-takut.
" Masalah dana?"
" Kami dapat maklumat akan ada kapal dari seberang mendarat malam lusa .Sekurang-kurangnya dalam 25 orang.."
" Jumpa dengan Ertha selepas ni."
" Baik, Tuan.."
" Dan kau " Suara kering nan berat dari hujung meja itu kedengaran lagi." Ada apa-apa perkembangan?"
Bagaikan dicucuh dengan bara ,lelaki tersebut bingkas bangun dengan gelisah yang membuak-buak.Ingin segera menamatkan perjumpaan yang sama sekali tidak menyenangkan ini dan cepat-cepat keluar dari ruangan tersebut.
Berada di dalam ruangan tersebut tidak ubah rasanya seperti sedang berada di dalam kandang singa yang lapar.Duduk diperhati.Berdiri dipandang.Bersuara ditatap tajam malah diam sekalipun terasa sedang dilihat dengan mata menusuk membuatkan dia benar-benar salah tingkah.
YOU ARE READING
LAST HUNTER II : VARTRA
FantasyAra-Si Gadis Tiga Darah terlibat lagi dalam pertelingkahan tatkala manusia bukan satu-satunya makhluk yang berada pada tingkat tertinggi dalam rantaian makanan ! Manusia : Pemburu atau diburu? Mangsa atau pemangsa? # Ini adalah sekuel kepada Last Hu...