Sinar matahari mulai sedikit terik walaupun bola api gergasi yang tergantung cerah di langit Timur itu baru sahaja naik sepenggalah.Bangunan bercat kelabu dengan jata besar Biro Keselamatan Persekutuan itu mengerlip dalam tampanan sinar matahari .Teguh.Gagah dan berkarisma menongkat langit penghujung musim luruh yang kelihatan biru dan nampak tinggi tanpa sebarang tompokan awan.
Darius melangkah dengan kepala ditundukkan dan diserkupi sehelai jaket kepunyaan salah seorang anggota keselamatan yang dianggap Darius terlalu baik hati kerana sudi meminjamkan jaketnya bagi mengelakkan wajah Darius menjadi mangsa sambaran lensa kamera yang tidak faham dan sangat jauh daripada perkataan simpati.
Sementara itu,sehelai kain berwarna biru tua pula disangkutkan ke pergelangan tangannya bagi menyembunyikan gari besi yang melingkari tangannya.
Sebuah van dengan jata pasukan keselamatan sudah menunggu di hujung tangga.Kedua-dua anggota keselamatan yang menghantarkannya ke perkarangan bangunan tersebut saling bertukar tabik hormat dan kemudian menyerahkan Darius kepada seorang anggota pasukan keselamatan yang bertubuh kekar tinggi lampai dan tampak segak dalam balutan pakaian seragam tersebut.
Darius hanya mengikuti sahaja apabila anggota pasukan keselamatan tersebut yang menguak daun pintu van berpalang besi serta berkunci itu lalu mengisyaratkan agar Darius memasukinya.
Darius melabuhkan punggungnya dengan senyap di sebelah seorang lagi anggota pasukan keselamatan yang bertanggungjawab untuk mengiringinya ke Lokap Pusat sebentar lagi.
Lelaki tegap tinggi tadi kemudiannya memasuki perut van dan menguncinya lalu mengetuk cermin yang memisahkan ruang belakang van tersebut dengan tempat memandu sebagai isyarat untuk mereka mulai bergerak.
Cermin penutup tingkap bertona kelabu gelap di turunkan dan Darius merasakan kenderaan tersebut mulai bergerak perlahan-lahan meninggalkan perkarangan ibu pejabat Biro Keselamatan Persekutuan.
Sementara itu dua buah kenderaan pengiring yang mengiringi van tersebut dengan sebuah kenderaan berada di hadapan manakala sebuah lagi berada di belakang mulai menghidupkan siren pasukan keselamatan dan sayup-sayup Darius masih dapat menangkap bunyi lengkingan siren yang tajam dan membingitkan telinga.
Dalam kadar kelajuan yang sekata,kenderaan pengiring di hadapan mulai memasuki kawasan tengah metropolitan dan siren yang meraung-raung mengisyaratkan agar kenderaan lain yang berada dalam jejalan kesibukan trafik waktu puncak begitu segera memberikan laluan kepada kenderaan pasukan keselamatan tersebut.
Memasuki sahaja susur keluar dari pusat bandar menuju ke lebuhraya empat lorong sehala,ketiga-tiga kenderaan tersebut mulai bergerak dengan laju.
Sementara itu,anggota pasukan keselamatan yang mengekori van tersebut mengerling sahaja daripada cermin pandang sisi kanannya apabila sebuah kereta lain mulai bergerak simpang-siur dan menukar arah lorong sesuka hati membuatkan dia mengetapkan gigi.
Walaupun lebuh raya lengang ketika itu hanya ada beberapa buah kenderaan yang bergerak laju pada lorong paling kanan manakala ada pula sebuah treller panjang beroda dua belas di lorong sebelahnya,rasa tidak senang anggota pasukan keselamatan tersebut tetap sahaja meruap.
" Jangan perdulikan..Paling kurang cuma anak-anak orang kaya yang suka memandang rendah dengan tugas kita.." seru rakannya yang duduk di sebelah " Tak tahu berterima kasih ! Mereka boleh tidur nyenyak kerana ada anggota pasukan keselamatan seperti kita yang meronda setiap malam !!"
Dari sudut matanya , rasa geramnya semakin memuncak apabila kenderaan tersebut memecut laju dan kemudian menukar lorong sehingga kenderaan tersebut sudah berada di hadapan mereka.
Memecut laju dan kemudian menukar lorong lagi ke sebelah kiri dan tampak benar pemandu kenderaan SUV itu sedang cuba mempermain-mainkannya.
Walaupun ditegah dengan rasa gusar,dia tetap sahaja menekan brek sambil mengeluarkan kepala dari tingkap yang diturunkan lalu mengisyaratkan agar pemandu kenderaan tersebut berhenti di gigi jalan.
YOU ARE READING
LAST HUNTER II : VARTRA
FantasyAra-Si Gadis Tiga Darah terlibat lagi dalam pertelingkahan tatkala manusia bukan satu-satunya makhluk yang berada pada tingkat tertinggi dalam rantaian makanan ! Manusia : Pemburu atau diburu? Mangsa atau pemangsa? # Ini adalah sekuel kepada Last Hu...