Pelanggan terakhir keluar dari celah daun pintu selepas membayar harga makanan yang dipesannya tepat hanya beberapa minit sebelum jam sepuluh malam.Sementara wanita separuh usia yang merupakan pemilik restoren kecil dan bertindak sebagai juruwang d ihadapan kaunter mula mengira hasil yang diperolehi hari tersebut, Ara mengunci pintu hadapan setelah memasang tanda 'TUTUP' pada permukaan pintu dan memulakan kerjanya untuk membersihkan meja dan lantai seperti kebiasaanya sebagai persediaan awal untuk memulakan perniagaan pada keesokan harinya.
Walaupun restoren kecil itu sebenarnya tutup tepat jam sepuluh malam, namun Ara hanya akan dapat balik hampir jam dua belas kerana menyudahkan kerja-kerja membersih dan mengemas serta membereskan hal lain di belakang.
Memang kedengaran mungkin sedikit keras apabila disebutkan jam waktu bekerja yang bermula dari pukul lapan pagi dan berakhir tepat jam sepuluh malam lima hari seminggu, namun bagi Ara ia jauh lebih baik daripada terkurung berhari-hari menghadap dinding putih yang kosong tanpa mengetahui apakah hari di luar sana masih siang ataupun sudah malam.
Gaji yang diperolehi masih boleh disisakan sedikit untuk keperluan lain kerana Ara tidak perlu risau tentang perbelanjaan makanannya setiap hari.Sarapan,makan tengah hari dan makan malam semuanya disediakan dan tidak ditolak daripada gaji yang dibayar setiap dua minggu sekali.
Selepas selesai membersihkan meja dan mengemop lantai, Ara mengucapkan selamat tinggal kepada sang majikan dan keluar melalui pintu belakang dengan menjinjit beg plastik berisi sampah untuk dicampakkan ke dalam tong sampah besar di belakang restoren nanti.
Ara menaikkan hud baju luarnya menyerkupi kepala dan kemudian mula melangkahkan kaki menuju ke perhentian bas yang terletak belasan meter daripada restoren kecil dimana dia diterima bekerja dua minggu yang lalu.Tidak jarang juga dia terpaksa menunggu berjam-jam kerana sering terlepas bas akibat malam yang sudah semakin larut.
Seperti malam ini.Lampu-lampu jalan menyorot lemah dalam gerimis yang halus dan perhentian bas lengang sekali.Perubahan cuaca yang terlalu drastik dan tidak terduga .Siang tadi matahari memancarkan cahaya dengan terik dan menjelang lewat malam,gerimis mulai turun menyebabkan Ara hanya menghela nafasnya berat.
Mujur sahaja Ara mengenakan baju berhud .Jika tidak, kepalanya pasti basah diguyuri hujan yang titisannya terasa semakin kasar dibawa angin yang sejuk.
Deretan kedai yang memagari jalan tersebut semuanya sudah berkunci rapi dan hujan yang turun menyebabkan jalanraya mahupun lorong hadapan kedai sunyi sepi.Hanya sesekali apabila kenderaan melintas, deruan enjin kedengaran dan sorot lampu kelihatan.
Dan kemudian keadaan kembali menjadi senyap dengan bunyi rintik hujan berderak-derak menimpa cucur atap perhentian bas.Apabila angin bertiup kasar, Ara mengerekot kesejukan akibat tempias yang menyinggahi wajah.
Namun,tiba-tiba tanpa sedar Ara terlonjak berdiri.Nun di seberang jalanraya di hadapannya,tiga orang lelaki berpakaian hitam yang membalut tubuh tegap mereka sedang cuba untuk mengheret satu susuk tubuh lain dan dia kelihatan berusaha untuk melepaskan diri daripada pegangan lelaki-lelaki tersebut.
Ara menatap gelisah kejadian dihadapan matanya itu.Seboleh-bolehnya dia tidak mahu untuk mencampuri urusan orang lain tetapi akan dikemanakankah rasa bersalahnya nanti jika lelaki yang diserkup tersebut akhirnya dipaparkan dalam Buletin Pagi keesokan harinya sebagai seorang mangsa bunuh?
Dan bagaimana pula jika penjenayah tersebut melihatnya dan mulai mencarinya kerana dianggap sebagai saksi mata bagi jenayah yang mereka lakukan? Urusan pasti berat jika hal tersebut berlaku.Meleret-leret dan buat masa terdekat ini-berurusan dengan pasukan keselamatan adalah perkara pertama yang paling ingin dihindari Ara selepas kejadiannya melarikan diri daripada hospital tempoh hari.
YOU ARE READING
LAST HUNTER II : VARTRA
FantasyAra-Si Gadis Tiga Darah terlibat lagi dalam pertelingkahan tatkala manusia bukan satu-satunya makhluk yang berada pada tingkat tertinggi dalam rantaian makanan ! Manusia : Pemburu atau diburu? Mangsa atau pemangsa? # Ini adalah sekuel kepada Last Hu...