Tuan Zhenith yang duduk bersandar pada sofa berukir bersebelahan tingkap hanya menoleh apabila kedengaran pintu ditolak dari luar dan memperlihatkan wajah Kiyo di celah daun pintu.Sebaik sahaja dia menutup semula pintu, Kiyo membongkok hormat.
" Kalau Kiyo datang pasal Darius, saya tak boleh benarkan."
Tuan Zhenith menghembus nafas seraya menyandarkan kepalanya ke bahagian atas sofa tersebut dan kemudian menutup mata. Pusing dengan permintaan yang aneh-aneh dari anak lelaki bongsunya sekejap tadi.Memberikan apa sahaja bukan perkara sukar kepada Tuan Zhenith namun permintaan Darius kali itu dianggapnya sedikit melampau.
Mungkin bagi Darius ia bukan membawa makna apa-apa tetapi bagi Tuan Zhenith,permintaan Darius agar membenarkannya keluar dari Istana Templar dan cuba untuk hidup berdikari di luar sangat tidak boleh diterima.Rasanya tidak ada yang kurang di Istana Templar.Segalanya ada tetapi tetap sahaja Darius mengatakan hal sebaliknya.
Berdikari dan cuba untuk hidup seperti orang lain adalah antara alasan yang disebutkan anak bongsunya itu sebentar tadi.Merasa tidak diendahkan, Darius keluar tanpa sebarang kata dengan bahu yang merosot lemah dan muncung panjang sejengkal.
" Boleh saya bercakap bukan sebagai penjaga Darius, Tuan? " Kiyo menatap wajah Tuan Zhenith yang memejam mata"Tapi sebagai seorang sahabat dan saudaranya."
Mendengar kata-kata lelaki tersebut, Tuan Zhenith membuka semula matanya dan menatap Kiyo dalam-dalam.Jarang.Malah amat jarang Kiyo membangkitkan hal itu di hadapannya dan ia membuatkan Tuan Zhenith menyedari ada sesuatu yang jauh lebih serius daripada sekadar tentang permintaan aneh daripada Darius -anak lelaki bongsunya itu.
" Sepanjang hidup saya, saya tak pernah meminta apa-apa , Tuan.Jasa Tuan menyelamatkan saya dan Puan Besar ketika saya hampir menjadi mangsa kepada Foxit Greyback belasan tahun lalu tak akan mampu saya balas sampai bila-bila dan kerana jasa Tuan jugalah saya berada ditempat saya sekarang."
"Darius kah yang minta supaya Kiyo datang jumpa saya?"
" Tidak,Tuan " Kiyo menggelengkan kepalanya seraya tersenyum " Cuma saya minta Tuan tunaikanlah permintaan Tuan Muda Darius demi saya dan janji saya kepada Puan Besar."
Tuan Zhenith menatap wajah Kiyo yang bersungguh-sungguh itu dengan pandangan menyelidik.Kiyo, anak kecil yang membesar menjadi teman dan sekaligus penjaga kepada Darius dengan menyembunyikan identiti sebenarnya yang hanya diketahui mereka berdua waima Darius sekalipun.
Walaupun puluhan tahun sudah berlalu dan Kiyo sudah membesar menjadi seorang pemuda yang boleh diharapkan, namun rahsia tentang kelahiran sebenarnya tetap sahaja tersimpan rapi sebagai rahsia yang akan dibawa mati oleh mereka berdua bahawa Kiyo dan Darius adalah adik-beradik daripada ibu yang sama !
Memandang wajah Kiyo, Tuan Zhenith tidak dapat menafikan dia melihat sekelibat bayangan wajah Emerya -ibu kepada Kiyo.Wanita yang memegang seluruh hati dan kehidupannya selepas kematian ibu kepada Keii.Bertahun-tahun hidup bersendirian membesarkan Keii tidak pernah sekalipun dia terfikir bahawa dia akan bertemu lagi dengan seorang wanita terlebih lagi seorang wanita daripada kalangan bangsa manusia yang berjaya menyita seluruh perhatian hanya dalam sekelip mata.
Namun ternyata wanita berwajah redup dan senyuman teduh itu membuatkan hidupnya kucar-kacir buat seketika.Tangisan lirih wanita itu yang menatapnya dengan wajah basah meminta agar dia dan anak kecilnya dilepaskan dalam satu situasi dimana sepatutnya dia dan rakan karibnya-Tuan Muda Foxit dari Keluarga Grayback berkongsi habuan lama dulu tatkala pemburuan terbuka masih dibenarkan seakan-akan membius segenap kewarasan akalnya ketika itu.Mendadak sahaja entah dari mana, rasa laparnya hilang serta-merta dan digantikan dengan rasa kasihan dan tidak sanggup melihat wanita tersebut memeluk kejap satu susuk tubuh anak kecil yang menangis ketakutan.
YOU ARE READING
LAST HUNTER II : VARTRA
FantasyAra-Si Gadis Tiga Darah terlibat lagi dalam pertelingkahan tatkala manusia bukan satu-satunya makhluk yang berada pada tingkat tertinggi dalam rantaian makanan ! Manusia : Pemburu atau diburu? Mangsa atau pemangsa? # Ini adalah sekuel kepada Last Hu...